Tuesday, September 8, 2009
KADAR MINIMUM KANDUNGAN SESEORANG WANITA
Allah yang maha bijaksana semenjak penciptaan manusia pertama telah menjanjikan perkembangan zuriat Adam AS akan berlaku dengan pesat. Adam atau makhluk jenis manusia telah dipilih untuk memakmur serta mentadbir bumi dengan menobatkan mereka sebagai khalifah di muka bumi. Pembiakan baka keturunan manusia telah diteruskan oleh Allah dengan pensyariatan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga. Allah berfirman:
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur" (al-A’raf[7:189]).
Keajaiban zuriat keturunan manusia kemudiannya berkembang biak dengan cara kandungan yang disebutkan oleh ayat di atas. Kesusahan mengandung pula hanya akan dirasai serta ditanggung oleh kaum wanita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.
Menyebut tentang kehamilan dan kandungan yang dialami oleh ibu-ibu, ilmu sains moden telah menemui berbagai-bagai fakta yang menarik mengenainya. Di antara satu fakta yang sudah diakui ilmu perubatan moden ialah tempoh minimum kandungan bayi yang lahir ialah 6 bulan.
Walaupun begitu, kes tentang kelahiran minimum ini ternyata amat jarang berlaku. Bahkan hanya teknologi perubatan di sesetengah Negara maju sahaja yang mampu untuk menjamin keselamatan bayi yang lahir bagi tempoh minimum itu.
Menyentuh tentang isu atau kadar minimum kandungan seseorang wanita, Allah telah berfirman:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
(al-Ahqaf[46:15]).
Secara terangnya ayat di atas menerangkan tentang keutamaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa terutama sekali ibu kita yang sememangnya banyak berkorban demi untuk membesarkan kita. Tugasan seseorang ibu bukan hanya mengalami kesusahan ketika mengandungkan bayi sahaja, bahkan berlanjutan sehingga habis tempoh susuan. Tempoh kandungan dan susuan itu pula berlanjutan selama 30 bulan.
Secara tidak langsung ayat di atas mempunyai bukti saintifik yang cukup unik, iaitu tentang tempoh minimum kandungan seorang wanita iaitu selama 6 bulan. Fakta ini ternyata diakui sahih oleh pengamal perubatan moden.
Untuk menjelaskan lagi fakta ini, elok kiranya kita rujuk kepada satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya (Tafsir ibn Kathir).
Pada zaman khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan telah berlaku suatu peristiwa, di mana seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita daripada Bani Juhaynah.
Wanita itu kemudiannya telah melahirkan anak setelah kandungannya cukup 6 bulan. Kelahiran yang luar biasa tersebut telah menimbulkan keraguan di hati suaminya yang beranggapan bayi yang lahir itu bukanlah bayinya tetapi hasil hubungan sulit isterinya dengan lelaki lain.
Peristiwa ini telah dilaporkan kepada khalifah ‘Uthman dan ‘Uthman telah mengarahkan wanita tersebut direjam di atas tuduhan berzina sedangkan wanita tersebut menafikan tuduhan itu.
Setelah berita ini diketahui oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, beliau telah menghalang perlaksanaan hukum rejam itu dan mengatakan bahawa tempoh minimum kandungan seseorang wanita ialah selama 6 bulan. Beliau berhujjah dengan ayat al-Ahqaf di atas bersama dengan ayat 233 daripada surah al-Baqarah:
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; (al-Baqarah[2:233]).
Juga ayat 14 daripada surah Luqman :
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman[31:14]).
‘Ali menjelaskan bahawa ayat 15 surah al-Ahqaf menerangkan bahawa tempoh kandungan dan susuan seseorang wanita ialah selama 30 bulan. Tempoh susuan pula secara spesifik menurut ayat 233 surah al-Baqarah dan ayat 14 surah Luqman ialah 2 tahun ataupun bersamaan dengan 24 bulan. Lalu baki selebihnya 6 bulan adalah merujuk kepada tempoh minimum kandungan.
Ini adalah bukti kebenaran al-Quran yang menjangkau zaman kerana fakta ini hanya dapat disahihkan dengan ilmu Sains Moden setelah berabad-abad lamanya al-Quran diturunkan.
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM
Monday, September 7, 2009
MUKJIZAT AL-QURAN-FUNGSI GUNUNG-GANANG
Di dalam al-Quran Allah telah menjelaskan bahawa semua ciptaaNya tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa sebarang fungsi. Firman Allah :
Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (sia-sia) (al-Anbiya’[21:16]).
Bumi yang luas terbentang mempunyai berbagai-bagai komponen utama yang tambah menyempurnakan susun atur alam ini. Di antara komponen yang penting kepada kewujudan alam ini ialah bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Tidak dapat dinafikan, kewujudan bukit-bukau dan gunung-ganang di serata dunia mempunyai fungsinya yang tertentu kepada kestabilan alam. Di antara fungsi segala bukit bukau dan gunung-ganang ini ialah sebagai penstabil bumi daripada sebarang gegaran.
Oleh sebab itu, para ahli kaji bumi dan ahli geologi menyarankan agar bukit-bukau serta gunung-ganang tidak diusik demi untuk menjaga kestabilan ekosistem alam. Tragedi yang berlaku di serta tempat seperti peristiwa runtuhan yang berlaku di kawasan Hulu kelang akhir-akhir ini adalah bukti kederhakaan manusia kepada fungsi bukit-bukau serta gunung-ganang. Keghairahan mengejar kemajuan serta membuat pembangunan tanpa mengambil kira susun atur ekosistem alam telah mengundang berbaga-bagai bencana alam.
Disebabkan faktor ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan telah menetapkan garis panduan khusus yang mesti dipatuhi tentang projek pembangunan di kawasan tanah tinggi yang berisiko. Langkah ini bertujuan untuk menjamin kesejahteraan alam dan kesinambungan kehidupan manusia.
Ketika membicarakan tentang fungsi alam ciptaan Allah, al-Quran yang diturunkan semenjak 1400 tahun dahulu telah sedia menjelaskan fungsi kewujudan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai pasak dan penstabil bumi daripada gegaran. Firman Allah:
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (al-Naba’[78:6-7]).
Allah juga berfirman :
Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. (al-Nahl[16:15]).
Juga firman Allah :
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’[21:31]).
Fakta yang terkandung di dalam ayat-ayat di atas ternyata bertepatan dengan ilmu geologi moden yang mengakui kepentingan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai faktor pasak atau penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh dan gempa bumi. Selain itu penemuan baru para saintis di bidang geologi dan kaji bumi juga mendapati bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang sememangnya mempunyai akar yang jauh lebih dalam ke dasar bumi berbanding dengan puncaknya. Ini dijelaskan oleh Raymond Siever,seorang tokong kaji bumi yang tersohor di dunia.
Oleh itu apabila bukit-bukau serta gunung-ganang semakin banyak digondol serta ditarah untuk tujuan pembangunan, maka kestabilan tanah akan terancam dan semakin banyak bencana alam seperti gempa bumi, gegaran dan tanah runtuh akan berlaku. Ini bertepatan dengan amaran Allah di dalam firmanNya:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (al-Rum[30:41]).
Contoh mudah yang boleh digunakan untuk memahami konsep ini ialah dengan memberikan contoh sehelai kertas yang diletakkan di atas meja. Kertas tersebut akan senang berterbangan apabila ditiup angin kerana tidak ada paku atau benda-benda berat yang menahannya daripada bergerak. Apabila benda-benda berat yang kita ibaratkan sebagai gunung-ganang diletakkan di atas kertas tersebut, kedudukannya akan bertambah stabil dan sukar diusik oleh angin yang bertiup atau arus air yang mengalir.
Para ulama juga menyokong teori ini dengan perumpamaan seorang nelayan yang berdiri di hujung perahunya yang kosong. Perahu nelayan tersebut sudah pasti akan terjongket, terbalik dan tidak stabil. Oleh itu, untuk menambahkan kestabilan perahu tersebut, nelayan itu perlu meletakkan barang-barang yang berat di dalam perahunya. Barang-barang itu juga boleh diumpamakan seperti bukit-bukau serta gunung-ganang. Setelah diisi dengan barang-barang tersebut, nelayan itu akan dapat berdiri dengan stabil di hujung perahu seperti yang dilakukannya sebelum ini.
Kesimpulannya, al-Quran sebenarnya sudah mengutarakan beberapa fakta saintifik sejak dari dahulu lagi. Kajian mengenai ilmu geologi hanya dapat diketahui apabila ilmu perngetahuan mulai berkembang dewasa ini. Maha Suci Allah yang Maha mengetahui.
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM AL-HAFIZ