Tuesday, September 15, 2009
MISI RAMADHAN BERAKHIR
Alhamdulillah! Malam tadi 15 September 2009, saya berjaya menamatkan tugasan yang diamanahkan kepada saya sepanjang Ramadhan untuk mengimamkan terawih di Masjid Ibnu Sina Taman Tasik Titiwangsa. Tahun ini cabaran boleh tahan juga hebatnya kerana pada minggu pertama saya jatuh pitam di dalamatandas di rumah & terpaksa di masukkan ke wad di Hospital Selayang kerana dehydration akibat ceret beret yang teruk.
Ketika hampir pitam & mengalami kesakitan yang amat sangat di dalam tandas, 2 perkara yang bermain di fikiran; macamana dengan kelas aku besok? macamana dengan terawih aku? kedua-duanya tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Selepas itu, apa yang saya ingat, saya sudah terbaring di atas lantai tandas, kepala rasa sakit dan air sudah lama terbiar mengalir di tubuh.
Setelah dimasukkan ke wad, saya meminta agar dilepaskan sebelum maghrib, kerana janji untuk mengimamkan mesti diteruskan. Alhamdulillah! malam itu saya berjaya ke masjid, tapi cuma solat 8 rakaat,selebihnya disambung oleh imam masjid.
Perkara kedua yang membezakan Ramadhan saya daripada tahun-tahun terdahulu, ialah pengisian tazkirah sebelum solat. Saya akan membaca sedikit ayat untuk setiap juzuk,tetapi saya akan isi dengan tazkirah yang menjelaskan isi kandungan juzuk tersebut. Berbanding tahun lepas, saya hanya menulis tangan & selepas ramadhan, nota tersebut hilang atau dibuang.
Tahun ini pula saya menulis dengan rapi dan dicetak dalam 2 muka surat untuk setiap malam. Selepas memberikan tazkirah, nota tersebut diserahkan kepada haji Isamudin, setiausaha masjid. Beliau akan menampal di papan putih masjid. Ternyata nota ini memang panas & laris sehingga ramai jemaah yang mahukan salinan nota tersebut.
Insya Allah nota tersebut akan saya semak, buat penambahan & cetak untuk tatapan umum selepas raya. Secara lisan saya sudah berbincang dengan kawan saya Haji Ruhayat yang memiliki syarikat percetakan sendiri untuk tujuan percetakan. Marilah kita sama-sama berdoa agar hasrat ini tercapai dan buku ini akan berada di pasaran sebagai satu legasi saya kepada masyarakat Islam di Malaysia. Orientasi nota atau buku ini ialah sekitar isu-isu atau topik-topik setiap ayat di dalam al-Quran lengkap 30 juzuk.
Berikut diberikan beberapa contoh isu yang dibangkitkan sepanjang Ramadhan;
SURAH AL-ANFAL:48-51
Syaitan memungkiri janji di dalam perang Badar & kekalahan musyrikin,
Dalam perang Badar, Iblis telah menyamar sebagai Suraqah bin Malik bin Ju’syum bersama tentera-tenteranya (syaitan) di pihak musyrikin. Iblis telah mengapi-apikan tentera musyrikin. Setelah perang tercetus, Iblis yang dapat melihat tentera malaikat di pihak Islam, telah lari bertempiaran bersama tentera-tenteranya. Setelah pulang ke Mekah, pihak musyrikin menyalahkan Suraqah di atas kekalahan mereka, tetapi Suraqah menafikan penglibatannya di dalam perang itu. Setelah itu, musyrikin mulai sedar bahawa tentera Suraqah sebenarnya Iblis. Ayat ini menjadi dalil kemukjizatan al-Quran yang mampu menceritakan perkara ghaib. (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).
AL-ANFAL : 60,
Kepentingan teknologi pertahanan untuk umat Islam
Dalam bahasa arab, perkataan kekuatan (قوة ) di dalam ayat ini datang dalam bentuk (nakirah/umum). Maksudnya apa sahaja teknologi ketenteraan & pertahanan semasa perlu dimiliki oleh umat Islam demi untuk menjaga kedaulatan Negara dan agama. Penggunaan kaedah nakirah ini juga menjadi tanda mukjizat bahasa al-Quran.
SURAH AL-TAWBAH: 75-78
Janji munafik yang tidak boleh dipercayai
Kebanyakan ulama’ tafsir mengatakan si munafik di dalam ayat ini ialah Tha’labah bin Hatib. Beliau yang asalnya miskin telah didoakan oleh Rasulullah menjadi kaya. Namun setelah menjadi kaya beliau enggan membayar zakat, akibatnya beliau telah dipulaukan oleh nabi dan mati dalam keadaan terhina di zaman khalifah ‘Uthman. Namun begitu, para ulama’ hadith menolak riwayat ini kerana Tha’labah adalah seorang sahabat yang terpuji dan pernah terlibat di dalam perang Badar. Allah sendiri menjamin keistimewaan ahli Badar yang bebas daripada sifat munafik. Ada juga riwayat yang mengatakan beliau telah mati di dalam perang Uhud (Tafsir al-Munir & Sahih al-Bukhari).
AL-NAHL:126-128,
Kisah kematian hamzah RA & arahan memberikan balasan yang setimpal
Nabi SAW ditegur apabila berharap untuk menebus kematian Hamzah di dalam perang Uhud dengan 70 musyrikin (Tafsir Ibn Kathir).
AL-MU'MINUN: 99-100,
Harapan kosong orang yang sudah mati untuk kembali semula ke dunia
Ayat ini menjelaskan kewujudan alam barzakh(dinding pemisah di antara dunia & akhirat yang tidak boleh ditembus). Ayat ini menjadi dalil menafikan akidah/kepercayaan kebanyakan masyarakat dunia tentang kepulangan roh ke dunia selepas kematian mereka pada waktu-waktu tertentu. Perjalanan roh manusia berbentuk sehala sahaja dari alam arwah-alam janin-dunia-barzakh & akhirat.
AL-NAML: 20-37,
Kisah burung hud-hud (belatuk) dengan Sulayman & Ratu Saba'
Burung belatuk yang terlewat datang membawa berita tentang kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu (Balqis) yang menyembah matahari. Kesedaran belatuk ini menunjukkannya turut mentauhidkan Allah. Bahkan nabi melarang membunuh burung belatuk (Sunan Ibn Majah, Sunan Abu dawud & Musnad Ahmad). Sulayman mengarahkan burung belatuk membawa surat menyeru kepada Islam. Kisah ini juga menjadi dalil bahawa para pemerintah wajib menggunakan segala kuasanya untuk menyeru kepada Islam sebagaimana baginda Rasulullah SAW juga mengutus surat seruan kepada islam kepada para pemerintah bukan Islam di sekitar tanah Arab.
Sulayman memulai suratnya dengan lafaz (BASMALAH) & ianya dianggap sebagai cop mohor beliau (ayat 30). Rasulullah SAW sendiri memiliki cop mohornya yang diukir pada cincin baginda & tertulis kalimah Tawhid. Ratu Saba’ telah membalas surat itu dengan mengirim hadiah. Kisah ini juga membenarkan umat islam menerima hadiah.
DAN BANYAK LAGI.....
Sunday, September 13, 2009
AHLI BARU KELUARGA ABDULLAH BUKHARI
Allah berfirman :
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya(al-Duha[93:11]).
Juga hadith nabi SAW:
“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.
Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:
1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Ahli baru ini lahir pada khamis 10 September 2009 di Sri Utama Auto..
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya(al-Duha[93:11]).
Juga hadith nabi SAW:
“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.
Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:
1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Ahli baru ini lahir pada khamis 10 September 2009 di Sri Utama Auto..