Monday, October 26, 2009
PENGEKALAN MUMMI FIRAUN DI ZAMAN NABI MUSA A.S
Nabi Musa AS adalah salah seorang nabi yang digelar dengan gelaran Ulul Azmi kerana cabaran perjuangan yang dihadapinya. Perjuangan baginda untuk menegakkan agama Allah dalam erti kata tauhid hanya kepada Allah dan membebaskan penindasan Firaun terhadap Bani Israel telah mendapat penentangan yang nyata daripada Firaun dan para pembesar kaumnya.
Keangkuhan Firaun semakin menyerlah ketika beliau bermati-matian menolak dakwah nabi Musa AS dan mengakui dirinya sebagai Tuhan, Allah berfirman:
Firaun berkata: "Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan" (al-Syu’ara’[26:29]).
Selain itu, Firaun juga sudah sekian lama menindas Bani Israel dengan cara memperhambakan mereka serta membunuh anak-anak lelaki mereka serta hanya membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Langkah ini diambil untuk memastikan unsur–unsur penentangan kepada kerajaan miliknya dihapuskan sama sekali. Allah berfirman:
Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan (al-Qasas[28:4]).
Firaun juga telah menyalib, memotong tangan dan kaki secara bersilang dan membunuh kesemua ahli sihir upahannya yang telah tertewas di tangan nabi Musa semasa pertandingan sihir yang telah diadakan. Tindakan Firaun membunuh kesemua ahli sihirnya bertujuan untuk menakut-nakutkan kaumnya dan Bani Israel agar tidak beriman kepada nabi Musa AS. Peristiwa tersebut telah direkodkan oleh al-Quran di dalam surah al-A’raf:
Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya).
"Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya".
Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).
"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka".
(al-A’raf[7:123-127]).
Namun begitu, walau sekuat mana sekalipun kuasa dan penentangan yang diberikan oleh Firaun, dia tidak mampu untuk melawan kehendak Allah yang ingin memusnahkannya. Kemusnahan Firaun berlaku akibat daripada doa nabi Musa yang dimakbulkan oleh Allah: Firman Allah :
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".
(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.
"Maka pada hari ini, Kami selamatkan badanmu (yang tidak bernyawa) (hai Firaun), supaya menjadi tanda (pelajaran) bagi orang-orang yang datang sesudahmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
(Yunus[10:88-92]).
Di dalam ayat ke 92 di atas, Allah telah menyatakan satu kenyataan yang cukup ringkas dan menarik tentang bagaimana jasad Firaun yang mati lemas itu diselamatkan untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada generasi selepasnya. Seperti kebiasaan tradisi Mesir Purba, mayat para Rajanya biasanya akan diawet untuk mengekalkannya. Mummia Firaun ini telah ditemui pada tahun 1898 di Kuburan Necropolis (negara orang-orang mati) Thebes, di Lembah Raja-raja (Wadi al Muluk). Ianya juga masih dapat disaksikan di muzium Kahirah Mesir sehingga ke hari ini.
Sungguh mengajaibkan sekali bagaimana mummia ini dapat bertahan sedemikian lama kira-kra 3000 tahun. Penemuannya pada kurun ke 19 itu juga menjadi bukti bagaimana janji Allah tentang pengekalan mummia ini sebenarnya sudah berada di dalam jadual Allah kepada umat akhir zaman.
Persoalannya bagaimanakah al-Quran yang diturunkan pada zaman nabi Muhammad SAW mampu untuk membicarakan suatu fakta yang hanya dapat dikenalpasti pada zaman kemudiannya . Tidak lain tidak bukan ini adalah contoh mukjizat al-Quran yang merupakan wahyu yang pasti daripada Allah SWT.