Friday, May 21, 2010
TEGURAN IKHLAS KEPADA PENGIKUT AL-MARHUM ASH’ARI MUHAMMAD
Kematian Ash’ari Muhammad pengasas pertubuhan al-Arqam pada 13 Mei 2010 lepas mencetuskan kontroversi di kalangan pengikut tegarnya. Kematian ini seolah-olah bertentangan dengan ramalan bahawa beliau adalah pemuda Bani Tamim yang bakal menyerahkan panji perjuangan kepada Imam Mahdi. Walaupun kepercayaan ini ditentang dan dihukumkan sesat oleh autoriti agama dan kebanyakan ulama’ tersohor di Malaysia, para pengikutnya tetap memegangnya sebagai dasar akidah yang menjadi nadi perjuangan mereka.
Islam menetapkan dasar akidah tidak boleh semata-mata disandarkan pada sangkaan atau ramalan kosong yang tidak mempunyai asas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Persoalan tentang perkara ghaib adalah hak Allah yang sama sekali tidak boleh dicerobohi oleh manusia atau malaikat. Para nabi serta malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan oleh Allah SWT sahaja sebagaimana FirmanNya:
Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, - "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)(al-Jinn[72:26-27]).
Usahkan seorang manusia biasa yang bernama Ash’ari Muhammad, para nabi yang dikurniai ni’mat wahyu sekalipun mengaku tidak mengetahui perkara ghaib. Nabi Nuh AS ketika berhadapan dengan kaumnya telah berkata :
Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim". (Hud[11:31]).
Juga firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am[6:50]).
Dan firmanNya lagi:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman"(al-A’raf[7:188]).
Fakta ini disokong oleh banyak lagi ayat lain di dalam al-Quran. Oleh itu, para pengikut al-Marhum Ash’ari wajib membuka minda dan merujuk sendiri kepada al-Quran (Ali ‘Imran[3:179], al-An’am[6:59], al-Naml[27:65] & Saba’[34:14]).
Kefanatikan sesetengah pengikut al-Marhum Ash’ari terserlah apabila ada yang sanggup mengatakan beliau akan kembali untuk memimpin kumpulannya serta merealisasikan ramalan yang sudah dibuat sekian lama. Isu si mati mampu hidup kembali juga ternyata bertentangan dengan sunnah alam dan kuasa Allah (Ali ‘Imran[3:185], al-Anbiya’[21:34], al-Mu’minun[23:99-100] & al-‘Ankabut[29:57]).
Memang tidak dinafikan, al-Quran menyebut beberapa kisah manusia mati dihidupkan semula seperti nabi Isa AS (Ali ‘Imran[3:55]& al-Nisa’[4:158]), Uzayr yang tidur selama 100 tahun(al-Baqarah[2:259]), si mati dalam kisah lembu nabi Musa AS(al-Baqarah[2:73]), para pengikut nabi Musa AS yang dihidupkan semula selepas mereka mati dipanah petir (al-Baqarah[2:56]), Ashab al-Kahfi yang tidur selama 300 tahun(al-Kahf[18:20]) dan sebagainya. Namun begitu, kesemua kisah tersebut adalah keajaiban yang khusus dan tidak boleh diumumkan kepada semua. Meletakkan ayat tersebut secara umum untuk semua manusia akan merosakkan sunnah alam yang ditetapkan Allah tambahan pula kepada manusia yang sudah 1400 jaraknya daripada zaman penurunan wahyu.
Sekiranya ada kemungkinan umat nabi Muhammad boleh hidup kembali selepas kematian mereka untuk menyelesaikan tugasan yang ditinggalkan, yang lebih utama untuk hidup kembali membantu umat Islam adalah baginda Rasulullah SAW. Namun begitu, untuk menjadikan kehidupan nabi SAW lebih realistic dan berpijak di bumi nyata Allah berfirman:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)(Ali ‘Imran[3:144]).
Kita menghormati al-Marhum Ash’ari di atas sumbangannya kepada perjuangan Islam di Malaysia mengikut fokusnya tersendiri dan tidak dinafikan banyak sekali pengaruh gerakan al-Arqam yang baik terus bertapak teguh sehingga sekarang seperti fenomena seni Islam dan sebagainya. Kita juga harus berlaku adil kepada al-Marhum Ash’ari bertepatan dengan firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(al-Ma’idah[5:8]).
Jangan kerana beberapa kesilapan al-Marhum Ash’ari mendorong kita untuk menutup kebaikannya dan yang lebih utama lagi janganlah kerana cinta mendalam kepadanya menyebabkan hati kita buta lalu menerima secara totok apa sahaja yang disampaikan walaupun ianya jelas bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Tambahan pula sekiranya kesilapan itu melibatkan persoalan akidah.
Menghadapi kematian yang tersayang sememangnya amat perit dan sukar diterima, namun para pengikut al-Marhum Ash’ari perlu berhadapan dengan realiti bahawa beliau hanyalah manusia biasa yang wajib berhadapan dengan fitrah kematian. Contohilah sikap realistik Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan nabi. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan pemergian nabi SAW seraya berkata: Ketahuilah, sesiapa yang menyembah MuÍammad SAW, maka sesungguhnya MuÍammad sudah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah senantiasa hidup tidak akan mati (Sahih al-Bukhari).
Dakwaan yang mengatakan “Abuya hanya pergi sementara sahaja dan akan pulang kembali selepas ini, atau Abuya hanya dibebaskan daripada jasad fizikal untuk terus berjuang di alam roh sebagai Rijal sebenarnya omongan kosong yang perlu dinilai mengikut neraca Islam. Ada juga mengatakan dakwaan itu bertujuan untuk mengelakkan para pengikutnya patah semangat. Hakikatnya kesemua dakwaan itu masih membawa kepada penafian yang tidak berfaedah dan tambah menenggelamkan para pengikutnya dalam khayalan yang tidak berpenghujung.
Para pengikut al-Marhum Ash’ari seharusnya bersyukur kerana Allah telah membuktikan dakwaan beliau itu tidak benar dan kematian beliau juga membuka peluang untuk para pengikutnya memurnikan kembali akidah yang sudah sekian lama mencemari minda mereka. Benarlah kuasa Allah yang kadang kala mentaqdirkan pemergian seseorang yang dikasihi mempunyai hikmah dan manafaat yang besar kepada yang hidup. Firman Allah:
Adapun kanak-kanak itu(yang dibunuh oleh Khidir), kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya (al-Kahf[18:80-81]).
Kepada pengikut tegar al-Marhum Ash’ari, segeralah sedar dari khayalan dan lamunan anda. Luaskanlah minda anda dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah kerana keduanya adalah tonggak utama Islam. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan saya, nyatakan hujah anda untuk menolak hujah yang telah saya ajukan di atas kerana Islam tertegak dengan hujah dan dalil.