Penulis merupakan salah seorang hamba Allah yang diuji dengan pengayikt buanh pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan cuci darah atau dialisis yang berterusan. Setelah bertahan hampir selama 7 tahun pada tahap kronik, akhirnya pada bulan Julai lepas, Doktor di Hospital Selayang telah menasihatkan saya agar memulakan rawatan dialisys demi untuk menyambung kesinambungan hidup. Setelah diteliti penulis telah membuat keputusan untuk memilih rawatan Peritoneal Dialysis ; iaityu kaedah memasukkan cecair khusus ke dalam lapisan bawah kulit perut yang bertugas sebagai buanh pinggang ketiga. Alhamdulillah setelah menjalani rawatan ini, penulis merasa sedikit bertenaga dan sihat jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini. Jikalau hendak dibandingkan dengan hemodialysis, kaedah in (CAPD) jauh lebih sesuai untuk orang muda yang banyak bergerak seperti penulis. Semasa Ramadhan baru-baru ini, penulis merasakan kelainan ketika berpuasa iaitu tidak terasa kelaparan kerana rawatan ini (yang mengambil kekerapan 4 kali sehari, setiap 6 jam). mengapa tidak lapar? Kerana untuk rawatan CAPD, pesakit akan memasukkan 2 liter cecair khusus ke dalam lapis perut. cecair itu akan menarik segala toksin di dalam badan yang gagal dikeluarkan oleh buah pinggang. Cecair itu mempunyai beberapa komponen kimia (yang penulis sendiri tidak faham apa bendanya kerana kejahlan akan ilmu kimia). Yang pasti cecair itu memainkan peranan menahan lapar. ISUNYA DI SINI IALAH!!!! Adakah puasa penulis sah atau batal? Tersebut al-kisah, pada hari Jumaat lepas (23 Oktober 2008), rakan se Jabatan (Ustazah Aufa) telah bertanya tentang status puasa penulis. Beliau mengatakan mendengar seorang ustaz telah mengeluarkan fatwa. Orang yang menggunakan rawatan CAPD batal puasanya. Lalu orang bertanya kepada sang ustaz.. Lalu bagaimana sekiranya rawatan ini sepanjang hidup, bagaimana dengan rukun ketiga pesakit? Ustaz berkata: Kena teruskan berpuasa..tetapi selepas Ramadhan, pesakit kena bayar fidyah.. Lalu penulis yang merupakan pesakit tersentaklah dengan kenyataan itu.. Kelihatan kenyataan Ustaz itu menindas orang sakit seperti penulis. Aatau memutusklan harapan. Sekiranya pesakit itu lemah imannya, mereka akan mempersoalkan keadilan Islam. bukan mereka pinta sakit ini.. Hati kecil penulis bertanya betul ke ustaz ni. ? Sebenarnya amat penting untuk orang agama mempelajari Sains. Untuk pengetahuan semua, rawatan ini menjamin kesinambungan nyawa pesakit. Di dalam Islam nyawa meruapakan salah satu perkara yang perlu dipertahankan. bagi penulis yang mengalami sendiri sakit ini. Penulis mengatakan pesakit yang menjalani rawatan CAPD sah puasanya, dan tidak perlu dibayar fidyah lagi..Islam itu agama rahmat, jangan menyedihkan lagi psikologi peakit dengan fatwa yang menyusahkan sebegitu. Sila rujuk kepada artikel ini untuk tambah mengukuhkan lagi kenyataan penulis....
Rawatan hemodialisis tidak batalkan puasa
Mingguan Malaysia :17-12-2000
ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
1,001 KEMUSKILAN
SOALAN: Saya seorang penghidap penyakit buah pinggang yang agak serius, saya kurang jelas dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa, kerana pada setiap minggu saya terpaksa menjalani rawatan mencuci darah melalui mesin hemodialisis.
Kemusykilan saya ialah bagaimana dengan puasa saya pada hari itu, sama ada batal atau tidak. Apakah langkah yang seharusnya saya lakukan selepas Ramadan ini. Bagaimana pula dengan suntikan ubat ke dalam badan pesakit dan mencabut gigi ketika berpuasa dan apa hukum menonton televisyen yang menayangkan berbagai-bagai jenis tayangan itu.
Saya khuatir dengan hukum ini semua, kerana banyak sekali pendapat yang saya terima dan bercanggah antara satu dengan lain. - S. ALI, Kuantan, Pahang.
Jawapan: Tidak dinafikan dalam kitab-kitab fekah terlalu detail kajian yang membicarakan tentang perkara yang membatalkan puasa dan adab-adab berpuasa, misalnya dalam kitab-kitab fekah Hanafi, menyebutkan perkara membatalkan puasa hingga 57 perkara. Dalam kitab-kitab Syafie pun banyak juga perkara itu. Ada yang membicarakan dosa-dosa yang berlaku melalui mulut, mata dan telinga juga membatalkan puasa. Oleh kerana banyak pendapat yang mengulas tentang bagaimana untuk mencapai kecemerlangan dalam ibadat puasa, maka saudara perlu memilih pendapat yang terbaik.
Soalan-soalan yang saudara kemukakan di atas sebenarnya tidak tersenarai dalam kitab-kitab fekah tradisi, tiada juga dalam al-Quran dan hadis, kerana semuanya lahir pada zaman moden, setelah manusia bijak mencipta untuk keperluan hidup mereka. Justeru alat-alat yang diguna dalam merawat pesakit seperti hemodialisis bagi mencuci darah pesakit buah pinggang dan banyak lagi peralatan moden yang tidak pernah dibincang ulama silam dalam kitab- kitab dan tulisan-tulisan mereka, maka kita perlu meninjau pendapat serta ijtihad ulama kini. Sebelum itu, untuk pengetahuan saudara kita kembali kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis yang pernah membicarakan tentang puasa dan pantang larangnya.
Sumber al-Quran membicarakan puasa disempurnakan dengan menahan diri daripada makan, minum dan berhubung kelamin, bermula dari naik fajar hingga terbenam matahari. Hadis pula membicarakan bahawa kesempurnaan puasa boleh dilakukan dengan memelihara anggota termasuk mata, mulut dan telinga daripada perbuatan dosa dan amalan keji seperti cakap dusta, menonton aksi haram dan perlakuan tidak sopan. Disebutkan juga dalam hadis antara yang membatalkan puasa ialah mengeluarkan sesuatu dari dalam perut.
Bertolak daripada prinsip ini, ulama mendetailkan lagi, kata mereka: Makan atau minum dengan sengaja membatalkan puasa sekalipun sedikit bahan yang dimakan atau diminum, tetapi jika terlupa makan dan minum tidak batal puasanya, sekalipun banyak bahan yang dimakan atau diminum. Kerana Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa terlupa makan atau minum ketika berpuasa hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum itu.
Dalam hadis yang lain pula Nabi bersabda: Sesiapa terlupa makan dan minum, maka teruskan puasanya tanpa diwajibnya qada dan kifarah di atasnya.
Sebagai kesimpulan, perkara yang membatalkan puasa ialah makan dan minum dengan sengaja, mengeluarkan sesuatu bahan dari dalam perut, berhubung kelamin, kedatangan haid dan nifas dan mencemarkan kesucian puasa dengan berbuat maksiat atau dosa.
Secara mudah kita katakan bahawa perbuatan mencuci darah dengan mengguna mesin hemodialisis seperti yang ditanyakan di atas tidak termasuk dalam pengertian makan dan minum dan tidak pula termasuk dalam pengertian mengeluarkan bahan dari dalam perut, seperti yang dikatakan dalam senarai perkara yang membatalkan puasa.
Demikianlah fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ulama semasa seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama Mesir yang terkenal dalam dunia Islam, Dr. Ali Qurah Daghi iaitu Pensyarah Fekah dari Universiti Qatar dan Syeikh al- Sadahan, Ahli Majlis Fatwa dari kerajaan Arab Saudi yang disiarkan dalam laman web Islam Online pada 9/12/2000. Menurut mereka: Amalan mencuci darah melalui mesin hemodialisis bagi pesakit buah pinggang tidak membatalkan puasa, tetapi diharuskan bagi mereka berbuka.
Alasan yang dikemukakan bagi menyatakan tidak batal puasa pesakit buah pinggang yang mencuci darahnya ialah kerana perbuatan itu tidak dikategorikan sebagai makan atau minum. Bagaimanapun ia dibenarkan berbuka kerana rawatan mencuci darah lebih berat daripada berbekam yang dibenar oleh Nabi s.a.w. supaya berbuka. Namun, jika pesakit itu memilih untuk terus berpuasa pada hari ia menjalani rawatan itu, maka puasanya sah dan tiada sebarang halangan.
Perlu diingatkan, pesakit ini hanya dibenar berpuasa jika tidak memudaratkan kesihatannya atau tidak mengancam keselamatan nyawanya. Islam melarang seseorang membiarkan dirinya terdedah kepada kebinasaan, sekalipun dengan alasan menjalani ibadat.
Artikel yang menjawab tentang penggunaan hemodialisis bagi pesakit yang menjalani ibadat puasa itu mengambil faham bahawa rawatan ini dilakukan dengan mengeluarkan darah daripada badan pesakit dan membersihkannya daripada bahan-bahan beracun yang ada padanya, kemudian dimasukkan semula ke badan pesakit. Pesakit pernah menjalaninya sebanyak dua atau tiga kali seminggu, pada setiap kali ia mengambil masa selama antara 4 hingga 5 jam.
Jika pesakit memilih untuk berbuka, Dr. Yusuf al-Qaradawi menegaskan: Pesakit berkenaan hendaklah menqadakan puasa yang ditinggalnya. Jika tidak berupaya disebabkan sakitnya berterusan, bolehlah ia membayar kifarah
iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Dalam keadaan pesakit tidak mampu membayarnya, tertangguhlah di atasnya hingga ia mampu membayarnya. Kewajipan ini tidak terhapus kerana lamanya masa berlalu. Jika ia meninggal dunia dalam keadaan kifarahnya belum tertunai, terpulang kepada Allah mempertimbangkannya.
Merujuk kepada hukum mengambil suntikan ubat, perlu dirujuk kepada beberapa tujuan suntikan itu diambil, seperti untuk ubat-ubatan untuk menambah tenaga dan untuk pemakanan. Suntikan-suntikan yang diambil bagi tujuan memasukkan ubat dan menambahkan tenaga seperti mengurangkan tekanan panas badan dan vitamin, ulama semasa berpendapat suntikan- suntikan ini tidak membatalkan puasa kerana kemasukan bahan ke dalam badan tidak melalui jalan-jalan biasa dan bahan yang dimasukkan itu bukannya makanan yang mengenyangkan pesakit.
Suntikan yang diperselisih antara pendapat ulama ialah yang berupa makanan seperti glukos yang disuntik melalui urat dan terus sampai ke saluran darah. Ulama berpendapat suntikan ini membatalkan puasa, kerana fungsinya sama dengan fungsi makanan. Jika makanan yang dimasukkan melalui mulut atau saluran biasa membatalkan puasa, maka sayugia suntikan itu juga membatalkan.
Sebahagian ulama pula berpendapat suntikan seumpama glukos ini juga tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak dimasukkan melalui mulut atau saluran tabii dan sekali gus tidak masuk ke dalam usus dan perut. Dari aspek yang lain pula suntikan seumpama glukos ini tidak menghilangkan lapar dan dahaga, kerana tidak melalui saluran yang biasa dilalui makanan. Memang benar pengambil suntikan ini mendatangkan kecergasan selepas pengambilan, tetapi belum cukup untuk dijadikan alasan bagi membatalkan puasa kerana bermandi-manda juga mendatangkan kecergasan seumpama itu, sedangkan ulama sepakat berpendapat mandi tidak membatalkan puasa.
Saya berpendapat bagi mengelakkan kekeliruan pesakit dinasihat agar tidak mengambil suntikan-suntikan ini pada siang hari dan ketika ia berpuasa. Jika keadaan memerlukan pengambilan ini, lebih baik baginya menggunakan kemudahan berbuka seperti yang diberi Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah: Ayat 184 yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu yang sakit atau musafir, bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalnya.
Kembali kepada hukum mencabut gigi, saya kira sama hukumnya dengan berbekam dan mengeluarkan darah dari badan dengan cara sedut. Imam Ahmad Ibn Hanbal dan kebanyakan ahli hadis berpendapat, berbekam membatalkan puasa, kerana ada hadis yang jelas menyatakan terbatal puasa orang yang membekam dan yang dibekam. Kebanyakan ulama termasuk Syafie dan lain-lain menyatakan tidak batal puasa disebabkan berbekam, kerana ada juga hadis yang menyatakan Nabi s.a.w sendiri pernah berbekam sedangkan baginda berpuasa.
Saya lebih cenderung kepada pendapat ulama yang menyatakan tidak batal puasa, bahkan inilah juga pendapat Syafie dan pendapat sebilangan besar sahabat Rasulullah s.a.w. Berpandukan pendapat ini, diketahui hukum mengeluarkan darah dari badan tidak membatalkan puasa termasuklah dengan jalan cabut gigi dan lain-lain. Bagaimanapun Imam Ahamad berpendapat perbuatan itu membatalkan puasa, bergantung kepada sejauh mana kias dipakai dalam mazhabnya.
Tentang hukum menonton tayangan televisyen pada siang hari di bulan Ramadan, kita perlu tahu apa yang ditayang atau ditonton itu, kerana tayangan yang baik tetap harus ditonton, sama ada sebelum atau selepas Ramadan. Tayangan yang haram tetap haram sekalipun sebelum atau selepas Ramadan.
Bagaimanapun dalam bulan yang mulia ini tayangan seharusnya berpilih-pilih kerana pada bulan ini kita diajar melatih diri untuk mengekang nafsu, bukan sahaja daripada makan, minum dan berhubung kelamin tetapi juga daripada nafsu terutama yang didatangi melalui mata, telinga dan mulut.
Dalam bulan yang mulia ini, kita disaran agar membanyakkan ibadat, membanyakkan bacaan al-Quran dan berbuat kebajikan. Amalan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Kita juga menyarankan supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab juga mengutamakan program yang sesuai ditonton orang Islam dalam bulan ini. Biar apapun, menonton tayangan televisyen tidak membatalkan puasa, kecuali jika tayangan itu meninggalkan kesan kepada kemahuan seksnya, maka puasanya batal dan wajib diqadakan.
Satu ulasan yang terbaik. Terima kasih.
ReplyDelete