Thursday, December 18, 2008
Di Mana Hikmah Di Dalam Dakwah?
Rumah yang dikatakan tempat kelahiran nabi Muhammad s.a.w
Hari ini adalah hari kedua aku bertugas sebagai penterjemah di Bukit Thur. Selepas selesai bertugas, aku pulang ke asrama untuk berehat sebentar. Selepas menjamah hidangan tengah hari, aku dan beberapa orang teman terus pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat Asar masih lama lagi, kami terus ke tempat yang dikatakan tempat kelahiran Nabi saw (Maulid Nabi). Rumah ini terletak berdekatan dengan kawasan Masjid al-Haram. Dahulu, di tempat ini pernah didirikan sebuah masjid oleh al-Khaizuran iaitu pada zaman pemerintahan Abbasiyah. Kemudian ia digantikan dengan dibina sebuah perpustakaan awam. Pembinaan perpustakaan ini dilakukan dengan keputusan dan pembiayaan Syeikh Abbas Qattan pada tahun 1370H/1950M. Perpustakaan ini kekal sehingga sekarang (ketika diari ini ditulis iaitu pada 2006) dan dikenali sebagai “Maktabah Makkah al-Mukarramah”. Melawat tempat ini bukanlah suatu sunnah yang dituntut. Malah, ia boleh jadi suatu kesalahan jika disertai dengan kepercayaan atau amalan khurafat yang tertentu.
Di tempat ini juga ada satu kumpulan yang ditugaskan sebagai penterjemah dan memberi penerangan kepada para jamaah haji yang datang melawat. Disebabkan kawasan ini terletak berdekatan dengan Masjid al-Haram, jadi tidak putus-putus jemaah haji yang datang melawat. Oleh sebab itu, petugas di sini diletakkan sepanjang masa secara bergilir-gilir dari pagi sampai malam. Sementara ada di sini, aku juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.
Penulis bersama beberapa orang sahabat yang bertugas di Maulid Nabi bertolak pulang ke asrama selepas solat Isyak (Dari kiri: Penulis, Murad (Rusia), Tirmizi (Malaysia), Abdul Rahman (Thailand)..
Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki -kalau tidak silap jemaah haji dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini. Kemudian dia mengusap dinding bangunan ini dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Biasanya perbuatan seperti itu dilakukan dengan tujuan untuk mengambil keberkatan dan kepercayaan-kepercayaan lain. Ternyata, memang perbuatan itu salah dari segi agama kerana tidak ada dalil yang jelas menyebut tentangnya.
Kebetulan perbuatan lelaki ini dilihat oleh salah seorang pegawai dari Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar -jabatan ini mungkin seperti JAKIM atau jabatan agama Islam di Malaysia-.Tanpa memberi peluang, dengan perasaan penuh “tanggungjawab” untuk mencegah kemungkaran, pegawai ini terus menerpa ke arah lelaki tersebut dan bertanya dengan suara yang tinggi -dan aku rasakan bahasa pegawai ini tidak dapat difahami oleh lelaki tersebut-. Pegawai itu bertanya (dalam bahasa Arab pasar): “Eshh anta??!! Anta majnun??!!” (Apa kau buat ni?!Kau gila?!). Kemudian pegawai ini terus menghalau dengan menolak lelaki tersebut supaya beredar dari situ (Rooh! Rooh! (Pergi! Pergi!)
Aku yang menyaksikan adegan ini, menggelengkan kepala. Perasaan aku bercampur baur. Bingung, kecewa, geram dan luntur semangat. Lantas aku bertanya kepada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini?!
Apakah begini caranya mencegah kemungkaran? Apakah begini cara dakwah Nabi? Apakah tiada ruang langsung untuk berlembut di dalam mencegah kemungkaran? Apakah tidak boleh jika ditanya terlebih dahulu dan diterangkan dengan baik kesalahan lelaki tersebut. Sekurang-kurangnya dia akan tahu yang perbuatannya tidak betul dan tahu juga apakah sebab-sebabnya. Penulis merasakan yang lelaki tadi pergi dengan tidak mendapat sebarang mesej pun dari pegawai tadi kecuali yang dia faham bahawa ustaz-ustaz atau pendakwah di Arab Saudi ini memang keras dan kasar cara dakwah mereka. Betullah khabar-khabar yang di dengar sebelum ini.
Maka, tidak hairan jika ada yang bersangka buruk dengan dakwah sebahagian daripada pendakwah di Arab Saudi. Bukan manhaj yang salah, tetapi sikap sesetengah mereka yang bercanggah. Terlalu bersemangat ingin mencegah kemungkaran, tetapi tidak melihat siapakah sasaran, apakah perkataan dan apakah cara yang berkesan.
Lalu, kita bertanya, dimanakah hikmah di dalam dakwah? Ramai orang asyik bercakap tentang hikmah. Entah berapa ribu kali perkataan ini telah diulang cakap oleh para penceramah dan pendakwah. Entah berapa banyak telah ditulis di dalam buku dan makalah. Tetapi apa itu hikmah???Mungkin catatan aku kali ini dapat memberi sedikit peringatan dan gambaran atau mungkin juga dapat menambah apa yang kurang.
Pengertian al-hikmah
Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan“. Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah“, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya“. Dr. Abd al-Muhaimeen al-Tahhan di dalam “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah” menyatakan bahawa hikmah itu ialah: “perkataan yang tepat dan tindakan yang betul”.
Kebanyakan pengertian hikmah yang diberikan oleh kebanyakan penulis adalah hampir sama dan ianya berlegar di sekitar tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Inilah takrif yang rajih dan ianya seperti yang dihuraikan oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya, beliau menyebut bahawa hikmah itu ialah: tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan.
Oleh itu, terdapat beberapa etika, prinsip dan disiplin yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah agar dakwahnya benar-benar memenuhi maksud hikmah ini. Antara ialah seperti yang telah dihuraikan di dalam buku “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah“:
Etika-etika al-hikmah di dalam dakwah
Pertama: Berikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi pendakwah (al-tanfir).
Sandaran penting di dalam prinsip yang pertama ini ialah nasihat Rasulullah saw kepada dua orang sahabat yang diutuskan untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: ((Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia dari kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara)).(al-Bukhari & Muslim).
Bagaimana untuk menggembirakan sasaran dakwah kita dan membuatkan mereka minat dengan dakwah yang kita sampaikan? Dua etika yang boleh diamalkan, iaitu:
1) Berlembut di dalam percakapan dan mesra di dalam pergaulan.
Tiada lagi yang lebih jelas di dalam menerangkan etika ini selain daripada saranan Allah swt kepada dua orang rasulNya; Musa dan Harun yang diutuskan bagi menyampaikan dakwah kepada Fir ‘aun: ((Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut)) (surah Taaha: 43-44).
Galakan daripada Rasulullah saw juga banyak, antaranya seperti yang disampaikan oleh A’isyah bahawa Baginda bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut di dalam semua perkara)) (al-Bukhari & Muslim)
2) Jadikan hadiah pengikat mahabbah.
Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi saw menyarankan: ((Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ianya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang)) (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).
Nabi saw sendiri ketika peperangan Hunain telah menghadiahkan Safwan bin Umayyah seratus ekor unta, kemudian seratus ekor lagi, kemudian seratus ekor lagi. Lalu Safwan berkata: Demi Allah, Rasulullah saw telah memberikan (hadiah ini) kepadaku dan sesungguhnya dia dahulu adalah manusia yang paling aku benci -sebelum keislaman Safwan-, tidaklah dengan pemberiannya ini sehingga dia menjadi manusia yang paling aku kasihi” (Riwayat Muslim).
Bagaimana pula untuk menjadikan orang ramai tidak menjauhi dakwah kita? Beberapa etika ini perlu diberi perhatian:
1) Elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.
Nabi saw jika ingin menegur sesuatu kesalahan atau maksiat, Baginda tidak akan menyebut nama mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Perhatikan perkataan yang dipilih dan digunakan oleh Nabi saw: ((Apa kena dengan salah seorang dari kamu yang berdiri mengadap tuhannya, lalu meludah ke arah hadapannya (semasa solat)? Apakah ada di antara kamu semua yang suka jika ada seseorang yang berdiri mengadapnya lalu diludah ke arah mukanya? Jika ada diantara kamu yang ingin meludah, maka hendaklah dia ludah ke arah kirinya ke bawah kaki…)) (al-Bukhari & Muslim)
2) Bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka, dan jangan suka menghukum di dalam semua perkara.
3) Jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.
Ikutikah contoh hikmah yang ditunjukkan seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah saw bertanya kepadanya: ((Apakah kamu tidak tahu yang kaummu telah membina semula ka’bah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda saw menjawab: ((Kalaulah tidak disebabkan kaummu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya)) (al-Bukhari & Muslim).
Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkiran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)
Kedua: Permudahkan (al-taysir) dan jangan menyulitkan (al-ta’sir)
Konsep al-taysir ini merupakan prinsip penting di dalam agama. Dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengajak ke arah prinsip ini disebut berulang-ulang kali. Antaranya firman Allah (bermaksud): ((Allah mengkehendaki dari kamu untuk melakukan perkara yang mudah, dan Dia tidak mahu dari kamu perkara yang menyusahkan)) (al-Baqarah: 185). Di dalam ayat yang lain: ((Allah tidak mentaklifkan ke atas setiap diri kecuali apa yang mampu diusahakannya)) (al-baqarah: 286).
Nabi saw juga bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya agama ini mudah)) (al-Bukhari). A’isyah menyatakan bahawa: ((Tidaklah Rasulullah saw diberi pilihan di antara dua perkara kecuali Baginda akan memilih yang paling mudah…)) (al-Bukhari & Muslim).
Muaz bin Jabal pernah ditegur oleh Nabi saw apabila beliau membaca surah al-Baqarah atau al-Nisa’ ketika menjadi imam, kerana ini menyusahkan keadaan makmum. Sabda Nabi saw kepada Muaz: ((Apakah kamu mahu menimbulkan fitnah (diulangi sebanyak 3 kali), Kenapa tidak kamu solat dan membaca surah al-‘A’la, al-Syam dan al-Lail, kerana yang sembahyang di belakang kamu itu ada yang tua, yang lemah dan yang mempunyai urusan masing-masing)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Ketiga: Mengkaji dan mengambil kira kesan daripada setiap tindakan.
Kaji terlebih dahulu baik dan buruk setiap tindakan atau ucapan sebelum melakukannya. Bukan semua perkara yang betul itu perlu disegerakan dan bukan semua perkara yang tidak penting boleh ditangguhkan. Semua aspek perlu diambil kira agar wujudnya kesinambungan dakwah. Jangan kerana semangat semata-mata, tapi tiada hikmahnya, akhirnya dakwah tidak ke mana.
Nabi saw telah menunjukkan contoh yang paling baik. Perhatikan beberapa contoh peristiwa berikut yang menggambarkan hikmahnya Baginda saw di dalam dakwah:
* 1) Nabi saw ketika dalam peringkat dakwah di Mekah -zaman permulaan Islam- menghalang sahabat-sahabatnya daripada bertindak balas dan berperang dengan kaum kafir Quraish walaupun mereka dihina, diseksa dan sehingga diisytiharkan pemboikotan ke atas mereka. Keputusan ini diambil kerana jumlah umat Islam waktu itu masih sedikit dan mereka tidak punyai kekuatan yang cukup. Keburukannya akan lebih besar jika mereka mengambil keputusan untuk membuat serangan balas.
* 2) Di dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi saw menerima semua syarat yang ditetapkan walaupun pada zahirnya syarat-syarat tersebut seperti menindas umat Islam. Tetapi dengan melihat kesannya, Nabi saw bersetuju. Benar sekali, kesannya jumlah yang masuk Islam semakin ramai selepas itu dan diakhiri dengan kejayaan “Pembukaan Kota Mekah”.
* 3) Nabi saw amat bersabar dengan tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul (ketua munafik di Madinah) yang telah menghasut orang Islam dan menimbulkan keraguan terhadap Islam. Boleh sahaja jika Nabi saw mengarahkan supaya dia dibunuh, tetapi memikirkan kesan buruknya yang lebih banyak, maka ia tidak dilakukan. Antara kesan buruk yang Nabi saw ingin elakkan ialah seperti sabda Baginda sendiri: ((…supaya orang ramai tidak bercakap-cakap yang Muhammad membunuh sahabatnya sendiri)) (al-Bukhari).
Keempat: Utamakan prioriti dan yang lebih penting dari yang penting.
Di dalam Islam, bukan semua perkara yang disuruh atau yang menjadi kewajipan itu berada di tahap yang sama. Begitu juga dengan perkara yang dilarang. Maka termasuk di dalam hikmah, seorang pendakwah itu perlu menyusun prioriti dan mengutamakan yang lebih penting dari yang penting, mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasarannya. Kaji terlebih dahulu yang manakah perkara: 1) yang penting dan perlu disegerakan, 2)yang penting tetapi tidak perlu disegerakan, 3)yang tidak penting tapi perlu disegerakan, 4)dan yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan.
Pertama: Mulakan dengan perkara usul (prinsip) sebelum perkara furu’ (pecahan-pecahan). Maka di dalam Islam, tiada lagi yang lebih utama selain daripada aqidah dan tauhid. Lihat saja dakwah Nabi saw. Selama 13 tahun di Mekah, fokus yang diberikan ialah untuk menanamkan tauhid di dalam jiwa dan menafikan kesyirikan.
Kedua: Beri perhatian yang lebih kepada golongan-golongan penting yang jika golongan ini menerima dakwah kita, kesannya akan lebih besar dan cepat. Tetapi ia tidak bermaksud mengabaikan golongan-golongan biasa. Nabi saw di dalam dakwahnya telah memberikan perhatian yang lebih di dalam dakwahnya terhadap pemimpin-pemimpin kaum Quraish. Nabi saw juga telah berdoa semoga Allah menguatkan Islam dengan Umar al-Khattab atau dengan Abu Jahal bin Hisyam. Allah swt telah memilih Umar al-Khattab. Kenapa Nabi saw berdoa khusus untuk Umar al-Khattab dan Abu Jahal? Ini kerana kedua-duanya merupakan orang penting waktu itu dan jika mereka menerima Islam, kesannya amat hebat sekali. Perkara ini telah terbukti dengan Islamnya Umar al-Khattab.
Kelima: Raikan keadaan golongan sasaran.
Pertama: Kaji dan fahami keadaan semasa dan keadaan sekeliling golongan sasaran.
Bagaimanakah keadaan masyarakat di tempat tersebut. Apakah tahap pendidikan mereka, bagaimana keadaan ekonomi, apakah kecenderongan mereka, apakah masalah yang dihadapi di situ, apakah mazhab yang dianuti, apakah tempat/pusat ajaran yang menyelewang yang wujud di situ dan sebagainya. Ini semua perlu diketahui terlebih dahulu sebelum memulakan dakwah, kerana sudah pasti, lain padang lain juga belalangnya. Lain lubuk lain juga ikannya.
Jadi, pendekatan pendakwah dengan orang kampung tidak sama dengan pendekatan bersama orang-orang bandar. Begitu juga antara orang Islam dengan yang bukan Islam, golongan terpelajar dengan orang-orang biasa. Sebab itu Nabi saw semasa mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman telah menyebutkan ciri-ciri khusus golongan yang akan beliau dakwah. Sabda Nabi saw : ((Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum daripada ahli kitab)) (al-Bukhari & Muslim).
Kedua: Raikan perbezaan, minat atau ciri-ciri istimewa setiap individu.
Perkara ini penting kerana ia merupakan “pintu masuk” untuk anda memulakan dakwah, terutamanya dalam dakwah fardiyah (dakwah terhadap individu tertentu). Contohi bagaimana Rasulullah saw telah meraikan ciri-ciri khusus yang ada pada raja Najran yang merupakan seorang Nasrani. Baginda saw telah menulis di dalam suratnya kepada raja tersebut: “Dengan nama Tuhan Ibrahim, Ishak dan Ya’qub daripada Muhammad, pesuruh Allah kepada raja Najran, Islamlah kamu?…)) (Sirah ibn Kathir, 2/310).
Ketiga: Fleksibel di dalam meraikan semua kehendak golongan sasaran dakwah dan menyampaikan dakwah secara berperingkat.
Tetapi ini semua dengan syarat tidak mengabaikan perkara-perkara usul dan rukun di dalam agama. Sebagai contohnya, ketika Basyir bin al-Khusasiyah mengikat janji dengan Islam, beliau meminta kebenaran daripada Nabi saw supaya dia tidak dikenakan kewajipan zakat dan berjihad. Nabi saw menjawab: ((Kalau tidak ada zakat dan jihad, maka dengan apa kamu ingin masuk syurga…)) (Imam Ahmad dan al-Hakim, disahihkan dan dipersetujui oleh al-Zahabiy).
Manakala ketika datang rombongan dari Thaqif datang berjumpa Nabi saw untuk berbai’ah dengan Islam, mereka juga meminta supaya tidak dikenakan zakat dan jihad. Maka Nabi saw menerima permintaan mereka ini. Kemudian, selepas dari itu, Nabi saw menerangkan (kepada sahabat) tentang pendiriannya itu: ((Mereka akan mengeluarkan zakat dan berjihad apabila mereka telah Islam)). (Abu Daud).
Demikianlah sebahagian daripada etika-etika dan prinsip penting yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pendakwah supaya dakwahnya memenuhi maksud dan tuntutan al-hikmah. Kadang-kadang manusia bukan tidak mahu menerima yang benar itu sebagai kebenaran, tetapi mereka tidak bersetuju bagaimana kebenaran itu disampaikan. Oleh itu, muhasabah semula dakwah kita selama ini. Semoga konsep al-hikmah ini menjadi salah satu resipi kejayaan dakwah kita.
Oleh:
Abd al-Razzaq Muthalib
7 Rabi’ al-Awal 1428,
5.40 pm,
Mekah
http://abdulrazak.com/ver1/?p=285#more-285
No comments:
Post a Comment