Saturday, December 27, 2008
MENANGANI MASALAH PENGHINAAN KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W
Islam sebagai suatu agama yang harmoni mengharamkan pencelaan atau penghinaan yang berlaku terhadap agama lain. Gangguan atau provokasi agama sememangnya boleh mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah yang dianuti mereka walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Larangan provokasi ini dijelaskan di dalam al-Quran ;
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan (al-An'am[6:108]).
Untuk menjaga keseimbangan hubungan kaum atau agama, al-Quran telah mengklasifikasikan orang-orang bukan Islam kepada dua kumpulan iaitu Kafir Harbi (Kafir yang memusuhi orang Islam) dan Kafir Dhimmi (Kafir yang berjiran dan bersahabat dengan orang Islam tanpa dendam). Orientasi perbezaan di antara kedua-kedua kumpulan orang bukan Islam itu telah dijelaskan oleh firman Allah;
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (al-Mumtahanah[60.8]).
Walaupun diberikan kebenaran untuk menghadapi tentangan golongan Kafir Harbi secara kekerasan, Islam masih membataskan bentuk pembalasan yang hendak dilakukan sebagaimana firman Allah:
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (al-Baqarah[2.190]).
Juga firman Allah:
Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa(al-Baqarah[2.194]).
Juga firman Allah:
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar (al-Nahl[16.126])
Merujuk kepada isu penghinaan kepada nabi Muhammad yang berlaku di dalam sebuah blog baru-baru ini, umat Islam perlu menjadi lebih praktikal di dalam menangani masalah ini. Sikap emosional hanya akan menyebabkan umat Islam dipandang lemah serta keanak-anakan.
Sememangnya Islam memandang berat sebarang penghinaan kepada nabi Muhammad s.a.w sebagaimana Firman Allah:
Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? (al-Tawbah[9.13]).
Selain itu, Sirah Rasulullah juga membuktikan bagaimana pemuka kaum Yahudi Madinah yang bernama Ka'ab al-Asyraf telah dihukum bunuh kerana terlalu banyak menyakiti baginda Rasulullah s.a.w (al-Rahiq al-Makhtum, hal 277-281)
Namun begitu, sebarang sikap agresif di dalam menangani masalah penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w ditakuti akan mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam. Berkemungkinan umat Islam akan dilabel sebagai golongan yang membuta tuli, fanatik, emosional dan hanya tahu menggunakan kuasa undang-undang untuk mempertahankan akidah mereka.
Apa yang pasti penghinaan ini berlaku kerana kejahilan dan lumrahnya orang yang jahil senantiasa merasakan diri mereka benar walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Ini dijelaskan oleh firman Allah:
Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" (al-Mutaffifin[83:29-32]).
Langkah terbaik untuk menangani masalah ini ialah dengan memberikan kefahaman sebenar tentang tugas serta fungsi pengutusan baginda s.a.w kepada manusia. Penulis percaya orang yang menghina dan menentang baginda s.a.w sebenar golongan yang sakit jiwanya kerana kejahilan. Oleh itu kejahilan mereka ini perlu diubati dengan diskusi ilmiah kerana hanya ilmu yang mampu mengubat jiwa yang jahil dan sakit. Benar kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Cinta mereka terhadap baginda s.a.w sebenar terhalang oleh karat kejahilan atau salah faham mereka.
Untuk itu pihak berwajib seperti JAKIM perlu menghantar penghina ini ke klinik ilmu untuk mengubati kejahilan mereka ini terhadap baginda s.a.w. Sejarah jelas membuktikan bagaimana para pembesar Quraisy seperti Abu Suyan yang dahulunya kuat menentang Rasulullah s.a.w telah menjadi pencinta baginda setelah benar-benar mengenalinya. Kita mengharapkan agar penghina nabi Muhammad s.a.w ini akan bertukar kelak menjadi pencinta sebenar baginda setelah penyakit jiwa dan mental mereka diubati oleh ilmu pengetahuan yang sebenar tentang baginda s.a.w.
Akan tetapi sekiranya mereka masih berdegil dengan pemikiran kotor mereka menghina nabi Muhammad s.a.w, umat Islam perlu yakin dengan janji Allah di dalam al-Quran tentang kemuliaan yang berkekalan terhadap baginda s.a.w;
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad s.a.w), Dia lah yang terputus (dari mendapat rahmat dan sebarang perkara yang diingininya). (al-Kawthar[108.3]).
ABDULLAH BUKHARI
Saya dapati link ke blog terbabit sudah dipadamkan.
No comments:
Post a Comment