Tuesday, January 13, 2009

BALASLAH KEJAHATAN ORANG DENGAN KEBAIKAN!

Pagi ini, seorang murid saya menelefon saya menceritakan masalahnya yang menjadi isteri kedua. Setelah berkahwin dengan suaminya (katanya seorang ustaz), isteri tuanya selalu melakukan berbagai-bagai tohmahan kepadanya sehingga hidupnya merasa sempit. Ke mana sahaja beliau pergi akan dipandang serong oleh masyarakat. Inilah nasib yang menimpa isteri muda apabila masyarakat dibelenggu oleh kejahilan.

Sudah menjadi kebiasaan manusia yang kesempitan akan cuba mencari penyelesaian. Cuma yang harus dipuji dengan wanita ini ialah, beliau banyak merujuk saya kerana katanya penyelesaian yang saya berikan banyak berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun bersuamikan seorang ustaz, hidupnya tidak banyak berubah kerana suaminya ini banyak kekurangan (muhasabah untuk semua ustaz-termasuklah diri saya sendiri).

Cuma apa yang perlu dinasihatkan kepada mana-mana orang yang ditimpa musibah agar jangan cepat menuduh orang mengenakan sihir kepada mereka. Fenomena ini berlaku kepada wanita ini. Beliau mengatakan madunya banyak menyihirnya serta menanam jin di dalam badannya. Sering saya katakan tuduhan sebegini tidak banyak memberikan faedah kerana ianya tergolong di dalam kategori buruk sangka. Firman Allah; [al-Hujurat-49.12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.



Walaupun sihir ini tidak dinafikan kewujudannya, tetapi bagaimanakah kesannya sekiranya tuduhan itu tidak benar? Selain itu, orang yang bersangka buruk akan menjadikan hidup mereka tidak tenteram kerana senantiasa menganggap orang di sekelilingnya berperasaan dengki kepadanya. Cuba bayangkan sekiranya kita pula dituduh melakukan sihir sedangkan kita tidak pernah terfikir pun untuk mendekati perkara yang haram dan kufur ini.

Berbalik kepada kisah wanita ini, saya telah memberikannya beberapa doa yang elok untuk diamal sebagai bantuan rohani kepada masalahnya ini. Saya cadangkan beliau membaca doa nabi Musa ketika di Madyan selepas melarikan diri ketakutan daripada bangsa Firaun; [al-Qasas-28.24] Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".

Juga zikir Laa ilaha illah wahdahu laa syarika lah....Kedua-dua zikir ini diharap akan dapat meneguhkan jiwa wanita tersebut.

Selain itu, saya juga berikan 2 penyelesaian praktikal untuknya yang kedua-dua ini nampaknya agak berat untuk dilaksanakan, iaitu;

1- Menilai kembali faedah dan manafaat perkahwinan tersebut kerana setelah ditanya, perkahwinan ini banyak mengundang fitnah dan masalah berbanding manafaat dan kebahagiaan. Saya juga teringat satu kisah yang dibawa oleh Prof . Dr. Wahbah al-Zuhayli di dalam Tafsir al-Munirnya, ; bagaimana seorang lelaki miskin datang berjumpa seorang alim dan bertanya bagaimana cara hendak membebaskan dirinya daripada belenggu kemiskinan. Lalu orang alim itu mengarahkannya supaya berkahwin. Setelah berkahwin, lelaki tersebut datang kembali menemuinya kerana masalah kemiskinannya masih tidak berubah bahkan bertambah teruk. Orang alim itu kemudiannya mengarahkannya supaya bercerai.

Orang ramai yang menyaksikan peristiwa ini bertanya kepada si alm tentang tindakannya itu. Lalu jawab si alim.. Pada mulanya aku mengarahkannya berkahwin agar dia dapat keluar dari belenggu kemiskinan kerana aku bersandarkan pada ayat ini; [al-Nur[24.32] Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

Namun begitu setelah berkahwin, kemiskinannya tetap tidak berubah, lalu aku menyuruhnya bercerai kerana aku bersandarkan kepada ayat ini; [al-Nisa'[4.130] Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana. (Lihat Tafsir al-Munir pada Tafsiran ayat al-Nisa':130)

Kesimpulannya mana-mana isteri sememangnya tidak mahu berkongsi suami kerana dirasakan madunya telah merampas kebahagiaan hidupnya. Semestinya penyelesaian cerai amat perit untuk dilakukan.

2- Dengan cara yang agak luar biasa iaitu dengan mendampingi madunya (isteri tua) lalu berbuat baik terhadapnya. Walaupun madunya berkali-kali cuba melakukan fitnah, berbuat sesuatu yang buruk kepadanya, wanita ini disarankan agar membalas segala kejahatan itu dengan budi yang baik. Saranan ini walaupun nampak janggal, tetapi sebenarnya bersandarkan kepada firman Allah; [Fussilat[41.34] Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [41.35] Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

Untuk melakukan kaedah yang kedua ini ternyata amat sukar dan hampir mustahil kerana ianya seolah-olah bertentangan dengan naluri pendendam manusia. Akan tetapi apa sahaja yang disebut oleh al-Quran pasti ada cahaya harapan padanya.




Perbualan saya dengan wanita ini disudahi dengan 2 nasihat ini. Terpulanglah kepadanya untuk memilih cara yang mana. Akan tetapi secara peribadi, saya lebih gemarkan cara yang kedua. Buangkan segala rasa dendam dan kesedihan , gantilah dengan rasa sayang dan persaudaraan sebagaimana keadaannya ahli syurga. Firman Allah; [al-Hijr[15.47] Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.

1 comment:

  1. saya ikut macam ustaz,InshaAllah.

    ustaz doakan TKO dapat kembali beroperasi.
    salam.
    doa sahabat kepada sahabat itu makbul.

    ReplyDelete