Thursday, January 29, 2009

Berserban menaiki motor bukannya sunnah!


Sumber dari : Ustaz Maszlee Malik

Adalah menjadi satu pemandangan yang biasa bagi kita melihat orang memakai serban ketika menaiki motor samada penunggang tersebut seorang yang beragama Sikh mahupun seorang yang beragama Islam.

Bagi orang Sikh, perbuatan mereka itu dijustifikasikan dengan doktrin pemakaian serban yang wajib bagi mereka. Bukan hanya sekadar serban, malah rambut panjang yang tidak digunting itu pun merupakan syiar bagi agama mereka. Tanpa perkara tersebut, mereka dikira telah melanggar kewajipan agama, samalah seperti umat Islam yang tidak menutup aurat ataupun meninggalkan solat.

Bagi umat Islam pula, pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib. Hatta Ayatollah-Ayatollah di Iran yang menjadi marja' sekalipun tidak pernah mengatakan serban adalah wajib bagi setiap umat Islam. Pemakaian serban ketika menaiki motor di kalangan umat Islam adalah lebih kepada kebiasaan dan adat sesuatu tempat demi mengekalkan penampilan mengikuti sunnah tersebut hatta ketika menaiki motor sekalipun.

Menariknya, jika para penunggang muslim memakai serban ketika mereka menunggangnya di kampung-kampung atau pun felda-felda ianya adalah sesuatu yang agak normal dan tidak pula membahayakan memandangkan jalannya tidak sibuk dengan kenderaan-kenderaan besar yang lain.

Yang agak mengundang persoalan ialah jika pemakaian tersebut oleh penunggang-penunggang motorsikal yang membawa motorsikal di Bandar-bandar besar seperti Johor Baharu, Ipoh, malah di Kuala Lumpur. Dengan kesesakan dan kesibukan jalan raya yang mengundang kemalangan-kemalangan yang tidak berbau adakah perbuatan tersebut logik dan boleh diterima Islam?Artikel ini akan cuba membuka minda para pembaca sekelian agak berfikiran lebih rasional, menuruti al-Quran, sunnah dan ruh Islam itu sendiri serta menjauhi campur tangan emosi, nafsu dan juga ketaksuban.

Sunnahnya serban Umat Islam berijmak bahawa pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib bagi setiap muslim yang mukallaf. Barang siapa yang berijtihad bahawa pemakaian serban itu adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf ternyata dia telah melakukan satu kesilapan yang besar dan malah boleh dikategorikan sesat lagi menyesatkan yang lain. Tidak terdapat satu ayat pun di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis, baik yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan perkara tersebut. Hatta hadis-hadis yang dhaif (lemah) pun tidak menunjukkan kewajipan tersebut.

Maknanya kini, yang tinggal adalah hukum berserban itu samada sunat ataupun harus. Sebelum membicarakan perkara tersebut, adalah lebih baik jika kita meninjau hadis-hadis berkaitan dengan serban. Dalam kes ini penulis menjauhi dan meminta dijauhi daripada hadis-hadis maudhu' (palsu) dan juga dhaif berkaitan pemakaian serban. (Di dalam kitab “al-Laali al-Masnu'at” tulisan Imam al-Suyuti (mati 911 Hijrah) beliau telah menyatakan hadis-hadis palsu dan dhaif yang amat sangat berkaitan dengan galakan pemakaian serban. (Lihat: al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'at. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, j. 2, hal. 220-221). Kebanyakan hadis-hadis yang berkaitan pemakaian serban hanyalah hadis-hadis yang menerangkan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. sahaja.

Yang menariknya tidak terdapat satu pun hadis yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W. menyeru ataupun menggalakkan umatnya memakai serban. Antara hadis-hadis berkaitan dengan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. banyak boleh didapati di dalam kitab-kitab berikut:

a) Di dalam kitab “Zaad al-Ma'aad” tulisan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, beliau ada membawa hadis-hadis berkaitan dengan bentuk serban Rasulullah S.A.W., warnanya dan juga nama serban tersebut. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma'aad. Jil.1, hal. 143)

b) Di dalam kitab “al-Syamail al-Muhammadiyyah”, pengarangnya Imam al-Tarmidhi juga telah menghimpunkan banyak sekali hadis berkaitan bentuk serban Rasulullah S.A.W. dan juga keadaan bila Rasulullah S.A.W. memakainya.(al-Tarmidhi, al-Syamaail al-Muhammadiyyah, Mekah: Maktabah al-Baaz. hal. 105-107).

Dari hadis-hadis yang telah disebutkan ternyata sekali hadis-hadis tersebut dan banyak lagi hadis-hadis lain dari rujukan yang pelbagai hanya menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. memakai serban yang kadangkala berwarna putih dan kadangkala berwarna hitam. Baginda juga kadangkala memakai satu ekor, dan kadangkala dua ekor dan adakalanya tidak berekor. Baginda juga menamakan serbannya dengan nama yang tertentu. Jika dilihat dalam keseluruhan hadis-hadis lain pula, baginda tidak pula memakainya selalu dan mewajibkannya. Ada waktu bagainda hanya memakai penutup kepala sahaja (Ibn al-Qayyim, ibid. j.1, hal. 43), ada waktu baginda tidak memakai apa-apa di kepala pun sehinggakan para sahabat dapat melihat fesyen rambut baginda S.A.W. (lihat: al-Tarmidhi, ibid. hal.105-107)

Kesimpulannya, kedudukan serban sebagai sunnah Rasulullah S.A.W. adalah tidak boleh disangkal. Jika seseorang memakai serban dengan niat untuk mencontohi Rasulullah S.A.W. maka dia akan memperolehi pahala sunat. Jika dia memakainya kerana adat dan kebiasaan, hukumnya adalah harus sahaja.Mengapa penunggang memakainya?Jadi jelaslah kepada kita bahawa pemakaian serban di dalam Islam itu hukumnya hanyalah harus, namun jika pemakainya berniat hendak mencontohi Rasulullah S.A.W. maka ianya bertukar menjadi sunat (ini berdasarkan hadis: “Sesuatu amalan itu dikira berdasarkan niatnya, hadis riwayat Omar di dalam al-Bukhari dan Muslim).

Pada waktu itu pemakaian tersebut akan termasuk di dalam kategori sunnah fadhail (kelebihan-kelebihan), iaitu sunnah yang didapati dengan mencontohi perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang tidak bersifat Tasyri' (hukum). Makanya pemakaian tersebut bukanlah bersifat wajib sehingga para penunggang motorsikal yang beragama Islam tidak boleh menanggalkannya ketika menaiki motorsikal seperti halnya mereka-mereka yang beragama Sikh yang diwajibkan sentiasa melindungi kes (tocang mereka) dengan serban selepas melalui upacara Dastar Bandhi.

Jadinya, apakah alasan yang terlalu besar sehinggakan para penunggang motorsikal beragama Islam tidak mahu memakai topi keledar dan beriltizam teguh dengan serban mereka ketika menunggang motorsikal hatta ketika berada di kota kosmopolitan sekalipun ???

i) MalasYa, inilah jawapan yang paling tepat. Ramai di kalangan penunggang tersebut malas untuk membuka serban mereka yang telah dililit kemas. Jika mereka memakai topi keledar, mereka terpaksa mengikat semula serban yang telah mereka leraikan. Ini akan membebankan mereka. Untuk menjustifikasikan tindakan mereka sekaligus menyembunyikan kemalasan mereka, maka dicarilah helah-helah untuk membela diri. Maka sunnah Nabi S.A.W. lah yang dijadikan alasan.Persoalannya, bukankah tindakan tidak memakai topi keledar itu merupakan satu undangan kepada risiko yang lebih besar. Allah S.W.T. di dalam al-Quran telah melarang umatnya dari mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194)Adakah berbaloi kerana sifat malas, kita mengundang kecelakaan yang boleh dikurangkan risikonya dengan memakai topi keledar ?

ii) Reaksi kepada sikhAda juga di antara pemakai serban itu berhujah dengan emosional mengatakan bahawa pemakaian serban mereka tiada beza dengan pemakaian serban oleh golongan Sikh. Hujah mereka, jika orang-orang Sikh boleh memakai serban ketika menunggang motorsikal, mengapa umat Islam tidak boleh???, ini sudah double standard!Persoalannya jika ramai di kalangan penunggang motorsikal dari kalangan orang Sikh yang mati akibat kemalangan kerana tidak memakai topi keledar, adakah kita juga hendak ikut ?, sunnah siapa yang kita hendak ikut???

iii) Pemahaman yang salah. Tidak kurang juga ada sesetengah umat Islam mempunyai pemahaman yang salah terhadap pemakaian topi keledar dan serban. Bagi mereka pemakaian serban adalah sesuatu yang mengundang rahmat dan penjagaan Allah. Jika mereka memakai serban maka Allah akan melindungi mereka sepanjang perjalanan. Mereka akan terlindung dari bahaya yang bakal menimpa, perjalanan akan lebih cepat, selamat dan mendapat pahala yang lebih. Pendekatan jika memakai serban ketika menaiki motorsikal, seseorang itu akan mendapat “karamah”, “ma'unah” malah kesaktian seperti cerita Puteri Gunung Ledang!Ada sesetengah golongan yang fanatik lagi, mereka memandang pemakaian topi keledar sebagai tidak Islamik, peniruan cara barat dan bertentangan dengan konsep tawakkal.

Atas dasar tersebut mereka memilih sesuatu yang lebih islamik, lebih kebal dan lebih hebat dari topi keledar, iaitu serban.

Apa yang sunnahnya?Persoalan yang timbul di sini ialah: Apakah sunnahnya ketika menaiki motor ?, apakah cara menaiki motor yang menepati kehendak Islam.Sebelum menjawab persoalan tersebut, perlu ditegaskan beberapa perkara asas agar tidak berlaku kekeliruan.

Yang pertamanya, pemakaian serban adalah sunat hukumnya dan bukannya wajib pada waktu-waktu biasa jika diniatkan untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Persoalannya jika pemakaian tersebut mengundang bahaya kepada nyawa dan keselamatan pemakainya ianya tidak lagi menjadi sunat, malah boleh menjadi haram.
Yang keduanya, penunggang-penunggang motorsikal amat terdedah kepada bahaya ketika berada di jalanraya berbanding dengan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Risiko untuk mereka mendapat kemalangan dan mendapat kesan daripada kemalangan adalah amat tinggi berbanding pengguna jalan raya yang lain.Statsitik Jabatan Pengangkutan Jalan telah menunjukkan daripada 298,651 kes kemalangan dan 6,282 kematian yang telah dilaporkan pada tahun 2003 sebanyak 3,548 kes telah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah kematian penunggang motosikal tersebut merupakan 56.5% daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya. Rekod Kementerian Pengangkutan juga menunjukkan sebanyak 58.7% kematian yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan oleh kecederaan kepala. Selain daripada itu bilangan penunggang motorsikal yang mati sewaktu kemalangan kerana tidak memakai topi keledar juga amat tinggi. Bahkan mereka yang memakai topi keledar pun ramai yang meninggal dunia kerana kecederaan yang mereka hadapi, apatah lagi mereka yang tidak memakai topi keledar!

Yang ketiganya, Islam amat mementingkan kehidupan dan nyawa. Di atas dasar inilah kita lihat Islam menggariskan banyak sekali hukum-hakam yang bertujuan menjaga nyawa dan kehidupan manusia. Bagi Imam al-Syatibi (mati 780 Hijrah), penjagaan nyawa adalah salah satu daripada objektif Syariah Islam itu sendiri. Islam menjaga nyawa dengan meletakkan hukum-hakam yang bersifat samada memastikan nyawa dan kehidupan akan terus terjaga dan terjamin kualitinya dengan menyuruh umat Islam menjaga kesihatan, makan yang baik-baik, tidak melakukan perkara-perkara yang menjejaskan kehidupan tersebut dan seumpamanya. Islam juga menjaga kehidupan manusia dengan melarang umatnya dari membunuh diri, melakukan perkara-perkara yang membahayakan nyawa dan diri mereka, melarang dari bunuh-membunuh dan juga melarang umat Islam dari membahayakan nyawa pihak lain dengan apa cara sekalipun kecuali dengan haknya.Keempat, Menunggang motorsikal adalah sesuatu yang baru.

Di zaman Nabi S.A.W. tiada motor, tiada kemalangan jalan raya. Maka untuk menentukan apa-apa hukum berkaitan dengan cara menunggang motor menurut kehendak Islam adalah melalui ijtihad yang berlandaskan maslahat umum (Masalih Mursalah).Menaiki motorsikal secara Islam dan Sunnah Di atas dasar inilah, ada beberapa panduan menaiki motorsikal mengikut cara Islam yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan juga sunnah. Antaranya:

a) Menjaga keselamatan ketika menaiki motorsikal - Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi “la darar wa la dirar”, yang bermaksud: “Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta, hal. 226 dan Ibn Majah di dalam kitab al-Sunan, hadis nombor: 2340 dan 2341)Huraiannya: hadis ini menunjukkan bahawa Islam melarang umatnya dari melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan diri mereka sendiri dan orang lain. Oleh itu sebarang perlakuan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah haram di dalam Islam. Berkait dengan menunggang motorsikal pula, segala perbuatan yang membahayakan diri seperti tidak memakai topi keledar, memakai selipar Jepun ketika menunggangnya, memandu dengan laju, tidak menggunakan lampu “signal” ketika membelok dan yang seumpamanya adalah haram di sisi syarak.

b) Membaca doa - Selain daripada usaha secara fizikal, usaha secara spiritual juga perlu. Di dalam bab Aqidah, ianya disebut sebagai usaha maknawi. Jika usaha fizikal (memastikan keselamatan ketika menunggang motorsikal) disertakan dengan usaha maknawi (dengan berdoa) ianya akan mengundang bantuan Allah dan juga penjagaannya. Usaha secara maknawi di sini ialah dengan membaca “Bismillah” sebagai sunnah dalam melakukan segala pekerjaan, membaca doa menaiki kenderaan, samada doa “Subhanalladhi sakhara lana….” ataupun doa “Bismillah majrehaa…” dan akhirnya membaca “Bismillah tawakkaltu 'ala Allah” ataupun “Bismillahi ladhi laa yadhurru …”. Ketika membacanya juga kita hendaklah berniat untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. dan juga merasakan kebersamaan dengan Allah S.W.T.

c) Memandu dengan cermat - Antara sunnah juga ialah memandu dengan cermat dan tidak memandu dengan cara yang membahayakan diri sendiri mahupun orang lain. Allah S.W.T. telah berfirman yang maksudnya : “Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194). Di atas dasar ini juga sebarang cara memandu motorsikal yang membahayakan seperti memandu melebih had laju, mencilok, peng maut, aksi kuda terbang dan yang seumpama dengannya adalah haram dan tidak dibenarkan oleh syarak.

d) Ikut undang-undang - Menunggang motorsikal yang menepati sunnah juga ialah menunggang dengan mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang berkaitan jalan raya telah digariskan sedemikian rupa demi memastikan keselamatan penggunanya. Kebanyakkannya digariskan berdasarkan kajian, statistik dan juga penelitian mereka yang professional untuk manfaat para pengguna jalan raya. Agak ironic bila ada sesetengah golongan mengatakan undang-undang jalan raya tidak wajib dipatuhi kerana ianya adalah undang-undang ciptaan manusia dan kita hanya wajib mematuhi undang-undang Allah sahaja. Kata-kata seperti ini hanya keluar dari mulut mereka yang jahil tentang hukum-hakam dan juga tidak memahami Islam yang sebenarnya. Undang-undang jalan raya seperti yang terdapat di Malaysia, walaupun ciptaan manusia, namun jika ianya bertujuan untuk menjaga maslahat umum termasuk di dalam kategori “Masalih Mursalah” di dalam ilmu Usul Fiqh yang dalam beberapa keadaan membawa kepada hukum wajib untuk dipatuhi jika ianya berkaitan dengan maslahat umum.

e) Tawakkal - Akhir sekali setiap penunggang motorsikal wajiblah bertawakkal kepada Allah ketika berada di atas jalan raya. Mengapa tawakkal di akhir sekali ?, kerana itulah anjuran Rasulullah S.A.W. kepada seorang sahabat yang membiarkan tunggangannya tanpa diikat ketika beliau hendak bersolat di masjid. Ketika baginda bertanya apakah tujuannya membiarkan tunggangannya tidak berikat, beliau menjawab bahawa itu adalah usaha tawakalnya. Baginda telah menyuruh beliau mengikat dahulu tunggangannya dan kemudian bertawakal kepada Allah, itulah konsep tawakkal yang sebenarnya.Dalam kes ini hendaklah para penunggang memakai topi keledar, memastikan motorsikal selamat ditunggang, lengkap berlampu, lengkap dengan stiker pantul cahaya, berdoa dan kemudiannya bertawakkal kepada Allah. Inilah baru dinamakan sunnah dan bukan hanya pada serban sahaja!

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengamalan Islam dan sunnah yang sebenarnya adalah berdasarkan dalil dan rasional dan bukannya dengan mengikuti emosi semata-mata. Dakwaan memakai serban ketika menunggang motorsikal adalah sunnah adalah dakwaan yang diwarnai dengan emosi tanpa hujah dan dalil yang kuat. Tambah lagi perbuatan tersebut mengundang bahaya dan kemudaratan kepada penunggang itu sendiri. Islam sedari awal lagi, samada di dalam al-Quran, mahupun sunnah Rasulullah S.A.W. melarang umatnya dari membahayakan diri mereka. Adalah satu jenayah terhadap sunnah apabila kita melakukan sesuatu yang dilarang baginda dan kemudiannya menjustifikasikannya di atas nama sunnah.Fenomena berserban ketika menunggang motorsikal hanyalah secebis dari penyelewengan pemahaman sebenar terhadap Islam dari banyak lagi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh umat Islam di zaman moden ini.

Umat Islam haruslah melihat dalil-dalil di dalam hukum-hakam syarak secara keseluruhan dan bukannya secara serpihan-serpihan. Pemahaman Islam juga hendaklah melalui ruh tasyri' (falsafah Syariah) dan juga objektif syariah itu sendiri dan bukan semata-mata dengan kaca mata emosi dan taksub kepada sesetengah individu.Perlu diingat juga artikel ini bukanlah bertujuan untuk menghina serban, tetapi lebih kepada mengingatkan umat Islam agar tidak memburukkan imej berserban kerana kejahilan kita sendiri. Ingatlah kehidupan kita bukan untuk diri kita sahaja tetapi juga untuk umat Islam. Nyawa kita amat bermakna untuk Islam dan umat Islam, janganlah sia-siakannya dengan mengamalkan sesuatu yang kita sangkakan dari Islam, tetapi sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

8 comments:

  1. SUMBER DARI UST NASARUDDIN TANTOWI

    w'salam

    Tidak betul tu . Yang pertama undang - undang malayisa sendiri kata , kalau lebai boleh pakai serban .

    Persoalannya :

    Kenapa ? kepala Lebai tak cedera ke kalau terjatuh ?

    Begitu juga sigh di kecualikan dari memakai keledar . Sigh ada turban dia sendiri .

    Kenapa ? kepala sigh tak cedera ke kalau terjatuh ?

    Habis tu , Lebai dan Sigh tak kena takzir ker ? hanya budak pondok yang nak beramal dengan serban nabi pula kena takzir ?

    Saya setuju Islam selamat . So beramallah dengan amalan Islam . Beramallah dengan pakaian nabi . Mesti selamat . Tak kan kita tidak percayakan sunnah nabi ?

    Kalau ikut statistik pun . Yang cedera mati kerana kemalangan jalanraya semuanya melibatkan org yg pakai topi keledar .

    Kalau tak pecah kepala pun , pecah perut , patah kaki , patah tengkuk dan lain lain ..... pasal apa ?

    Pasal apa tak selamat ? Jawapannya ialah sebagaimana yang saudara sebuat tadi . sebab tak ikut Islam . Justeru : Islam is peace !

    Saya belajar pondok selama 4 tahun . Sepanjang 4 tahun malah sejak berpuluh tahun pondok itu wujud , pelajarnya pakai serban naik motor berulang alik dari rumah ke kampung atau ke bandar .

    Sehingga hari ini , saudara boleh bilang dengan sebelah tangan sahaja jumlah mereka yg kemalangan dan pecah kepala kerana pakai serban .

    Yang ramai terbunuh samaada pecah kepala atau lainnya ialah yang pakai topi dikalangan penunggang lain .

    Ertinya : saya nak berhujjah bahawa keselamatan dari tercedera dan terbunuh bukan terletak di Topi . Tetapi terletak pada 2 perkara :

    1. Cara pemanduan . Biasanya org pakai topi dia pandu laju justeru dia yakin dia selamat , lalu biasa lost control dan kemalangan waliyazubillah .

    adapun pelajar pelajar pondok , dengan hanya memakai serban biasanya mereka memandu perlahan dan berhati - hati . Insyaallah dia selamat .

    2. Keberkatan .

    Biasanya pelajar pondok yg memakai serban ini selain dia ikut sunnah pakaian nabi , mereka membaca doa sebab mrk adalah pengamal sunnah . Doa naik kenderaan itu menyebabkan Allah pelihara mereka dari sebarang kemalangan yang tidak diingini .

    Unsur spiritual ini yg tidak adalah dalam perkiraan hukum jahiliyyah .

    ReplyDelete
  2. ustaz,
    sudut hukum sunat,
    sudut objektif utk keselamatan.

    bagaimana sudut mendaulatkan sunnah.?

    ustaz yg arif dgn hadis pahala sunnah 100 kali shahid,yg ni doif ke ustaz,saya tak tau je.
    islam asalnya asing/dagang kembalinya asing/dagang.
    ada kaitan tak ustaz.
    khairi

    ReplyDelete
  3. woo! jangan melenting, itu satu sudut pandang yang berbeza..ringkasnya begini,pakai je topi keledar,naik motor baca doa,selamat dapat, berkat dapat,
    Lagipun usahlah berjuang bermati-matian mempertahankan isu berserban naik motor, ikut je undang-undang,lagipun undang2 bertujuan untuk bantu kita, soal berkat ke keramat ke serah pada Allah..ken ingat juga Islam ni cukup rasional dan saintifik,nak pakai juga pakailah masa lain...cuma mungkin artikel tu kasar sikit pasal ada sebut MALAS!

    Kita akan atau patut melenting kalau kerajaan kata langsung tak boleh pakai serban setiap masa...Pendekatan saya...pakailah serban sepanjang masa..kecuali semas menunggang motor..dah kita bernaung di bawah kerajaan yang larang menunggang pakai serban..serban sikh itu dah jadi unsur akidah bagi mereka..so kita respek akidah mereka..untuk kita ianya sekadar sunnah...pakai ajelah lepas stop motor..SETUJU?

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Betul ustaz.
    Berbuat dengan ilmu.[Al-Israa';36]

    ReplyDelete
  5. wassalam....relikslah syeikh...cakap nak terima mana2 pendapat...sumber dari ust din tontowi tadi mengatakan dari sudut keselamatan untuk semua kaum...lupakan dulu dari sudut kewajipan agama sigh dgn sunnah Nabi..kalau nak berlaku adil...wajibkan semua memakai topi keledar...tak kiralah sigh ke ...budak pondok ker...sebab kepala sigh dgn budak pondok sama jer...kalu berlaku kemalangan yang melibatkan kepala...dua2 kepala akan berkecai...itu realiti..tetapi kenapa undang2 boleh bagi kebenaran sigh pakai serban...kepala dia besi ke?...ataupun termaktub dalam agama mereka kalu eksiden gerenti tak pecah kepala....aduiih..berfikirlah dgn akal yang sempurna....sebenarnya undang2 tu perlu adil...mengikut realiti kehidupan...kalu tidak..akan timbullah ketidak puashatian kaum lain seprti yang terjadi pada kes ini..enta pun cakap ikutlah undang2 kerana undang nak bantu kita...tapi kenapa kita biarkan sigh tu tak ikut undang2....adakah kita nak idup selamat untuk puak kia jer...islam tak mcm tu...islam mengajak kesemua agama untuk mengamal cara hidup yang selamat...so sepatutnya diwajibkan kesemua pakai topi keledar... pastu... harap2 hok malas dan tak pernah pakai serban tu...jgn la suka melemahkan semangat mereka yg istiqomah nak pakai serban...ini sekadar pendapat ana...

    ReplyDelete
  6. heh heh,sikh beranggapan tutup kepala wajib mengikut agama mereka,kita pula sunnah jibiliyah bukan wajib,bermakna kita tak pakai semasa menunggang tak berdosa, demo (sikh)pula kalau tak pakai berdosa besar,ini yang ita nak respek ni..kepada agama mereka,kepala mereka keras ke, nak pecah ke lantaklah kan sapa suruh ikut agama sikh kan dah susah..kena pakai serban memanjang je, tapi yang peliknya karpal singh tak pula pakai serban..sikh sekular kot.
    Mu gi IEEP tak? macamana best tak!aku cuti...dean yang approve..biasalah orang OKU

    ReplyDelete
  7. Tak payah tegur golongan pondok ni.. Mmg keras kepala. Depa dok tuduh orang xnak buat kenduri arwah sebagai wahabi xapa, kita tegur suruh pakai topi keledar utk jaga keselamatan xboleh.. Golongan pondok semua betoi ustaz, xda salah. Padahal bukan golongan cerdik mana pun

    ReplyDelete
  8. Tak payah tegur golongan pondok ni.. Mmg keras kepala. Depa dok tuduh orang xnak buat kenduri arwah sebagai wahabi xapa, kita tegur suruh pakai topi keledar utk jaga keselamatan xboleh.. Golongan pondok semua betoi ustaz, xda salah. Padahal bukan golongan cerdik mana pun

    ReplyDelete