Saturday, January 24, 2009

KETAKUTAN PERASUAH POLITIK


SOALAN

Dalam pemilihan yang lalu, saya reda menyatakan bahawa saya ada berjumpa dengan seorang maha guru dekat Gunung Ledang, juga tok batin di Segamat, tetapi saya kalah teruk, terduduk! Duit juga habis banyak, beratus ribu, termasuk membawa rombongan ke Medan. Lama juga hendak hilangkan rasa kecewa, sehingga saya seumpama “down,” tidak ada semangat, menyebabkan saya selalu teringatkan mati.

Bulan lepas orang kuat saya meninggal dunia, menyebabkan saya seumpama jatuh ditimpa tangga. Wajahnya selalu terbayang, suaranya seumpama terngiang-ngiang di telinga, menyebabkan saya terlalu takutkan mati, lebih-lebih lagi setelah mendengar kuliah ustaz di surau tentang seksaan mati.

Orang yang banyak melakukan dosa akan diseksa ketika sakaratul maut, seumpama dibelasah dengan pedang, atau seperti kambing dikuliti hidup-hidup. Bagaimana hendak menghilang rasa ngeri yang ada pada dada saya supaya dapat menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Adakah benar mati iaitu ketika sakaratul maut itu menyeksakan?- Orang politik


JAWAPAN:



Saudara tidak jelaskan pemilihan apa yang menyebabkan saudara berjumpa dengan maha guru juga tok batin. Mungkin yang dimaksudkan ialah pemilihan ketua, sama ada ketua bahagian ataupun ketua cawangan. Ketua pemuda, ketua kampung atau ketua jabatan. Lumrahnya, orang yang jumpa dengan “maha guru,” tok kiai atau sebagainya juga yang menggunakan wang beratus ribu ringgit dan rasa down bila kalah teruk itu ialah dalam pemilihan politik, yang melibatkan ketua bahagian, ketua pemuda atau seumpamanya, macam tanam modal seumpamanya. Keluar duit dahulu bila menang segala-galanya boleh cover. Ada kuasa ada power. Inilah tingkah laku mereka yang terlibat, yang melibatkan salah guna kuasa, namun saudara tetap kalah.

Perlu dijelaskan di sini, di Gunung Ledang tidak ada orang yang dikenali sebagai “seorang maha guru”. Orang Muar dan Melaka semua tahu. Mungkin “maha guru” ini ialah individu tertentu yang dikenali dan dipanggil oleh mereka yang terlibat seperti saudara, termasuk mereka yang mengamalkan ilmu kebatinan, tidak ubah seperti hikayat-hikayat zaman dahulu yang menyatakan adanya puteri, iaitu Puteri Gunung Ledang. Satu legenda khayalan yang hakikatnya langsung tidak masuk akal, menyebabkan Sultan Melaka akur untuk membina jambatan emas dari Gunung Ledang merentas hutan belantara ke Melaka. Menghantar hati nyamuk, kecuali semangkuk darah raja.

Tidak ada puteri di Gunung Ledang. Yang ada ialah jin-jin atau iblis dan syaitan daripada golongan jin, kerana makhluk jin ini tempat kediaman yang digemari ialah di bilik-bilik air, di jamban-jamban, tempat-tempat kotor, seperti buangan sampah, tempat sembelihan binatang, di kubur-kubur, termasuk kubur yang dianggap keramat, tempat pemujaan ekor, yang jauh daripada manusia seperti di lautan, di lembah-lembah, gunung-ganang termasuk termasuk Gunung Ledang dan tempat-tempat lain seperti ini.

Biar dalam keadaan apa pun yang jelas, saudara tetap kalah, kalah teruk setelah berhempas pulas berikhtiar, berfikir siang malam, jumpa kawan-kawan sama satu pemikiran, lobi sana sini, berembun di malam hari, kumpulkan kawan-kawan, mereka fitnah, cara kelemahan lawan, belanja makan minum tetapi tetap kalah, sehingga ‘terduduk.”

Kalau saudara seorang yang boleh berfikir, kekalahan saudara sehingga “terduduk” itu memperlihatkan atau membuktikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa. Manusia berusaha, bermati-matian untuk menjadi ketua, membelakangkan agama, tidak peduli halal haram, tetapi yang menetapkan qada dan qadar ialah Allah SWT juga.

Memang benar, bukan mudah untuk menjadi kuasa. Kena selalu belikan kain sarung, kain samping, baju dan yang paling istimewa ialah rombongan ke luar negara, paling tidak ke Medan, Jakarta, Bukit Tinggi, Bali, sambil makan angin boleh main golf. Satu trend yang tidak termaktub dan dilarang, tetapi itulah yang sebenarnya berlaku, yang diajar sejak dari dahulu, sebenarnya tidak sukar untuk dinafikan sekiranya setiap pihak jujur.

Pada pandangan zahir, orang yang menerima nasib seperti saudara bukan mustahil menjadi “kecewa” dan tidak ada semangat, maksudnya “tidak ada semangat untuk berjuang dalam politik.

Pada saya, saudara sebenarnya tidak perlu kecewa, tidak perlu hilang semangat kerana selama ini saudara berjuang dalam politik pun bukan ada semangat politik” dalam erti kata sebenar, untuk membela bangsa, negara atau masyarakat. Saudara tahu di sebalik jawatan ketua dalam politik. Buktinya, saudara bermati-matian untuk memperolehnya dengan bertemu maha guru di Gunung Ledang juga tok batin di Segamat.

Saudara sepatutnya bersifat gentleman, masuk bertanding, tidak wajib menggunakan wang untuk merasuah pengundi, tidak menggunakan khidmat “maha guru” atau tok batin. Amalan saudara ini sebenarnya termasuk dalam perbuatan sihir. Salah satu daripada dosa besar yang membinasakan. Membinasakan diri sendiri, orang lain, masyarakat dan agama.

Allah Maha Berkuasa. Saudara kalah biarpun telah banyak mengeluarkan wang ratusan ribu dan mengamalkan perbuatan sihir. Saudara sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana kalah. Allah menyayangi saudara, iaitu dengan cara menjadikan saudara kalah. Allah Maha Mengetahui apa yang sewajarnya dilakukan ke atas hambanya yang melakukan dosa iaitu saudara, dosa sihir dan melakukan rasuah. Ditakdirkan saudara menang, perbuatan sihir dan rasuah tidak akan terhenti.

Berkemungkinan saudara menjadi ketua dan akhirnya menjadi wakil rakyat contohnya tidak mustahil rasuah saudara semakin besar, amalan sihir saudara akan lebih menjangkau jauh, kerana ketika itu saudara lebih berkuasa, lebih banyak duit dan lebih banyak pengaruh. Logiknya kalau ketika hendak mendapat undi sebagai ketua saudara boleh mengamalkan sihir untuk mengalahkan lawan, juga mengeluarkan wang beratus-ratus ringgit, adakah mustahil kalau tabiat tersebut terus menerus saudara lakukan, kerana manusianya adalah sama.

Allah menyayangi saudara, iaitu dengan menyekat tabiat atau budaya buruk saudara dengan cara mengalahkan saudara dalam pemilihan yang lalu dan akhirnya saudara ingatkan mati. Takut diseksa oleh Allah di akhirat kelak, terutamanya ketika sakaratul maut. Bagus betul ustaz yang memberi kuliah tentang seksaan mati di surau itu yang kebetulan saudara hadir. Berkemungkinan kalau saudara menang, saudara tidak sempat hadir kuliah yang diberikan oleh ustaz tadi kerana saudara akan terus berkempen di tempat lain.

Dalam surah al-Baqarah: 26 dijelaskan, berkemungkinan sesuatu yang tidak kamu sukai itu, adalah lebih baik bagi kamu dan mungkin sesuatu yang kamu sukai itu adalah lebih buruk bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui walhal kamu tidak mengetahui. Demikian qada dan qadar ketentuan Ilahi, yang hanya dimaklumi hakikatnya oleh Allah SWT.

Maka saya jelaskan bahawa saudara sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana kalah dalam pertandingan yang lepas biarpun setelah banyak memberi rasuah dan melakukan amalan sihir. Kekalahannya itu adalah rahmat bagi Allah, yang dengan sendirinya saudara berpatah balik ke pangkal jalan.

Sesungguhnya Allah mahukan, setiap hamba itu reda dengan qada dan qadar ketentuannya. Apabila sesuatu itu telah termaktub di Loh Mahfuz, maka tidak ada seorang hamba yang boleh mengubahnya.

Benar! terdapat keterangan daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menyatakan tentang seksaan sakaratulmaut, terutamanya mereka yang banyak melakukan dosa juga mereka yang melakukan dosa-dosa sihir yang boleh menyebabkan syirik, juga mereka yang memberi, menerima juga orang perantaraan rasuah. Saudara perlu bertaubat agar Allah tidak menyeksa ketika sakaratulmaut. Taubat nasuha dan tidak melakukannya lagi. Jangan taubat ketika kalah sahaja, tetapi bila pertandingan semula menang dan ada pangkat menjadikan lupakan kepada Allah. Kalau ini berlaku, orang seperti ini Allah telah menutup hidayah, dan baginya seksaan yang amat pedih.

Dalam sebuah hadis kursi dijelaskan bahawa apabila seorang hamba itu menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat, terus menerus, lalu akhirnya dia menjadi kekasih Allah, maka ketika itu Allah akan memberi kekuatan pada dirinya juga rohnya. Ketika itu, andainya hamba berkenaan memohon, Allah akan memperkenankan dan apabila memohon perlindungan, Allah akan melindunginya. Manusia yang berkasih-kasihan, sayang menyayang sama sekali tidak akan menyakiti jauh sekali menyiksa kekasihnya.

Allah Maha Pengasih lagi Penyayang. Apabila seseorang hamba itu menjadi kekasihnya, dengan melakukan amalan bertakarub, menjadikannya manusia warak, zuhud lagi takwa, adakah akan diseksa ketika di akhirat kelak, termasuk ketika sakaratulmaut.

Saudara tidak perlu takutkan mati dengan syarat saudara mesti menjadi kekasih Allah. Sebaliknya, kalaulah saudara terus menerus melakukan amalan sihir juga rasuah, maka benarlah kuliah ustaz di surau tentang seksaan ketika mati. Tidak ada gunanya kalau hanya takutkan mati tetapi kelakuannya seumpama mencabar mati.

ABDULLAH BUKHARI-SIAPAKAH AGAKNYA ORANG INI DAN APAKAH PARTINYA? SAYA ADA JUMPA SEORANG TOKOH DALAM SEBUAH PARTI BARU-BARU INI YANG BERHABISAN HAMPIR RM 500,000 UNTUK BERKEMPEN JAWATAN KETUA BAHAGIAN, NAMUN KALAH KERANA LAWANNYA TELAH MENABUR LEBIH BANYAK DUIT..SOALANNYA APA ADA PADA JAWATAN KETUA BAHAGIAN SEHINGGA ADA YANG SANGGUP BERBELANJA SEHINGGA SEPARUH JUTA? BARANGKALI PULANGANNYA MELEBIHI NILAI PELABURAN,ANDA FIKIRKANLAH!

1 comment:

  1. depa duit lawan duit.
    selain sprm, spsssm juga mesti ditubuhkan
    suruhanjaya pemantau syirik dan sihir malaysia.

    ReplyDelete