Tuesday, February 10, 2009
Apakah Hukum Lompat Parti dan ‘Double Standard' Berkenaannya ?
Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/content/view/800/72/
Cukup hangat perkembangan politik tanahair. Pihak media tentunya yang paling gembira kerana jualan mereka meningkat, bagi media elektronik pula, lawatan meningkat.
Dalam artikel ringkas ini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir beberapa perkara yang melibatkan perkembangan politik di dalam negara dari perspektif sedikit akademik dan keagamaan. Bukan dari semua sudut tetapi dari beberapa sudut daripada pelbagai sudut sahaja.
Namun demikian, artikel ini mungkin kurang selesa dibaca oleh orang bukan Islam kerana ia meninjau dari perspektif Islam.
SEKITAR ISU LOMPAT PARTI
Ini isu pertama yang patut kita fikirkan. Isu ini sangat hangat diperkatakan sejak dimulakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September 2008, dan kemudiannya 24 Sept 2008 dan terus tertangguh.
Reaksi rakyat adalah pelbagai menjelang 16 September 2008 yang lalu, ada yang : -
· mencela ‘lompat' sebagai keji, tidak bermoral dan khianati pengundi
· tidak bersetuju tetapi tidak begitu membantah,
· ada yang tidak bersetuju tetapi menyerahkan kepada keadaan
· ada yang bersetuju, tetapi kurang selesa,
· ada yang sangat setuju,
· ada yang masih konfius dan mengikut keputusan pimpinan masing-masing tanpa berfikir
· dan macam-macam kelompok lagi.
Apa sebenarnya pendirian anda dan mengapa anda berpendirian begitu?
Kebiasaannya, pihak yang mendapat manfaat beserta penyokongnya akan bersetuju dan mempertahankannya. Namun demikian tidak dinafikan ada sebahagian penyokong dan pendokongnya yang termasuk dalam salah satu kelompok di atas tadi.
Pihak yang akan menerima kesan negatif pula kebiasaannya akan menentang habis-habisan. Namun ada juga penyokong dan pendokongnya dari kelompok di atas juga.
Sebelum kita berbincang lagi berkenaan pendirian wajar atau tidak. Ditaqdirkan Allah swt, tarikh 16 dan 24 September 2008 menemui kegagalan secara fizikalnya, namun justifikasi segera pemimpin PR mengatakan mereka tidak gagal malah berjaya iaitu menembus minda rakyat untuk terbayang kerajaan persekutuan boleh berpindah tangan. Tidak mustahil atau paling kurang memberikan sedikit ‘feel'. Sama ada justifikasi ini rasional, bertaraf tadika atau bertaraf dunia, terpulang kepada anda semua untuk menentukan. Ia bukan tujuan artikel ini ditulis.
Apa yang berlaku tiba-tiba adalah pada awal bulan Februari 2009, beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak pula melompat parti sehingga membawa kekecohan yang masih panas hingga ke hari ini.
Majoriti kelompok pendokong dan penyokong Pakatan Rakat tentunya berang bukan main, dan seribu satu macam hujah dan rasional dihamburkan bagi mengecam tindakan keempat-empat ADUN terbabit [ 3 PR + 1 UMNO (PKR) ]
Hasil pembacaan saya di pelbagai media di internet termasuk pendapat perseorangan dari kem Pakatan Rakyat dan Kem BN, mendapati empat perkara kerap dan menarik iaitu :
1) Double Standard ; Pimpinan PR mengamalkan sikap ‘double standard' ; kerana bila dahulu dikempen dan diusahakan lompatan 16 September 08, dipersetujui mereka, namun bila berlaku di Perak, mereka kutuk dan kecam. Bermakna, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka dan khianat. Adakah wajar ?
2) Strategi makan tuan ; strategi menubuhkan kerajaan hasil ‘lompatan' YB yang dipopularkan oleh DSAI dikatakan makan tuan apabila isu di Perak berlaku.
3) Mandat pilihan patut diberikan semula kepada rakyat : iaitu bubar DUN dan pilihanraya semula di negeri Perak. Secara asasnya saya setuju dengan cadangan ini tetapi artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja berkenaan perkara ini.
4) Isu perlembagaan; Isu lompat bukan yang paling utama, tetapi isu utama adalah MB Perak tidak dijatuhkan melalui saluran undang-undang yang sah menurut perlembagaan. Sultan tiada kuasa eksekutif memecat Menteri Besar tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempatnya melalui undi tidak percaya. Isu ini juga tidak saya tumpukan dalam artikel ini. Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan :
The Constitution is the highest law of the land. It is the foundation and source of legal authority, and the Rulers are sworn to protect and uphold it. According to the Constitution, Dato' Seri Nizar Jamaluddin is Menteri Besar until he resigns of his own accord, or is removed by a vote of no-confidence in a formal sitting of the assembly. The Constitution makes no provision for his removal by any other means, including by petitions or instructions from any other authority. (sumber )
Apa yang dijelaskan oleh Tengku Razaleigh ii dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir, Dato Zaid Ibrahim dan lain-lain. Namun, Ia adalah isu politik dan undang-undang dan saya tidak mengulasnya di sini.
Saya hanya akan menyentuh isu pertama, kedua dan sedikit isu ketiga. Pandangan saya bukan mewakili pandangan ISLAM tetapi hanya ditulis dari kaeda-kaedah penentuan hukum dalam Islam sahaja.
LOMPAT DAN ‘DOUBLE STANDARD'
Justeru itu, apakah respon dari pihak PR berkenaan perkara pertama dan kedua ?. Apa pula agaknya pandangan Islam berkenaan hal lompat melompat parti ini?.
Saya kira, tajuk ini layak dibuat kajian terperinci dalam tesis PhD atau M.A. Dari sudut Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan wajar membincangkan dan menetapkan fatwa berkait hukum wakil rakyat melompat parti. Jika bimbang Majlis Fatwa tidak telus dalam hal ini, mungkin boleh diperolehi bantuan kepakaran dan ketelusan Majlis Ulama Indonesia. Majlis Syura PAS, ulama UMNO dan PKR turut wajar membincangkannya masing-masing.
Oleh kerana saya belum menemui perbincangan mengenainya kecuali tulisan umum dan bersifat ‘surface', saya suka berkongsi beberapa perbincangan awal dan ringkas berkenaannya. Tulisan ini tentunya tidak lengkap dan sangat boleh diperdebatkan, tapi harapnya ia boleh dijadikan buah awal untuk perbincangan dan difikirkan bersama. Saya cuba bersikap berkecuali dalam tulisan ini selaku ahli akademik.
KHIANAT ATAU TIDAK?
Kesimpulan pendapat saya, terdapat beberapa jenis lompat yang wajar manakala terdapat pula yang amat tidak wajar.
Ada yang sememangnya mengkhianati rakyat, manakala ada yang ada bersifat amanah kepada rakyat.
Tidak wajar untuk dipukul rata dengan mengatakan, semua lompat adalah baik, atau semua lompat adalah celaka, khianat lagi memalukan.
Tidak wajar juga kita tentang semua jenis lompat, atau menolak semua jenisnya juga.
Bagi saya, jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa, ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain. Satu orang kepada satu orang yang lain. Dalam Islam, bukan semua jenis ‘double standard' adalah SALAH tetapi adakalanya ia adalah keperluan. Contoh mudah Islam melarang penganutnya murtad, tetapi Islam menggalakkan penganutnya berdakwah kepada penganut agama lain untuk memasuki Islam bererti keluar dari agama mereka.
Bukankah nanti ada yang mengatakan mengapa ‘double standard'? keluar agama lain masuk Islam kamu setuju, tapi keluar Islam masuk agama lain tidak setuju.! Jawapnya memang ada double standard tetapi ia dari jenis double standard yang dituntut dan berasas dari Al-Quran dan Al-Hadis.
MARI LIHAT BEBERAPA DALIL
Telah saya nyatakan sebelum ini, terlalu banyak hujah dan dalil jika ingin dikemukakan, dan banyak pula bantahan dalil dan hujah, tetapi tulisan ini tidak akan menghurai semuanya, ia hanya pembuka minda dan jalan berbincang agar jelas di mana letak duduknya isu ini jika kita cuba melihat dari perspektif hukum Islam.
Berikut adalah dalil ringkas dari kesimpulan saya di atas :-
1) Satu ayat Al-Quran, firman Allah swt berkenaan arak :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Erti : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.. ( Al-Baqarah : 219 )
Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan Al-Quran serta Al-Hadis, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk tindakan melompat parti.
Ringkasnya, jika sabit bahawa melompat membawa lebih kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia dikira wajar dibuat, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia TIDAK WAJAR. Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan.
Saya faham, untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan adalah terlalu subjektif tetapi kunci mulanya adalah dengan menyandarkan kepada dua rujukan utama tadi dan disusuli dengan penilaian aqal masing-masing. Namun demikian, ayat ini sahaja tidak akan mencukupi untuk menentukan keputusan berkenaan hukum lompat. Ia cuma salah satu dari kumpulan hujah yang perlu dilihat sekali.
2) Firman Allah swt :-
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Ertinya : Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. ( Az-Zariyat : 51)
Ayat ini jelas menyuruh sesiapa jua agar berhijrah atau melompat dari yang menderhakai Allah swt kepada apa jua cara dan jalan yang membolehkannya kembali mentaati Allah swt. Jika satu jalan kepadanya adalah dengan melompat parti, tentunya ia juga tergolong dalam ayat ini.
3) Sabda Nabi s.a.w
المهاجر من هجر ما نهى الله عنه
Erti : Seorang penghijrah itu adalah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah swt ( Riwayat Al-Bukhari)
Asal hadis ini disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w kepada kaum Muhajirin agar mereka tidak silap faham akan erti ‘Hijrah' hanyalah terhad kepada perpindahan dari Mekah ke Madinah, tetapi lebih jauh dari itu adalah meninggalkan segala maksiat kepada ketaatan. (Awnul Ma'bud, no 2481, hlm 128 )
Kaitan dengan isu lompat parti adalah, jika lompat adalah kepada ketaatan kepada Allah swt ia adalah tergolong dalam muhajir yang dimuliakan Islam.
4) Sebuah hadis :-
إنما نهيتكم من أجل الدافة التي دفت فكلوا وتصدقوا وادخروا
Ertinya : Sabda Baginda : Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu dari menyimpan daging qurban disebabkan oleh daffah ( kumpulan pelawat Madinah yang memerlukan makanan), maka sekarang ini (di ketika tiada mereka yang memerlukan), bolehlah kamu makan daging itu, atau sedeqahkannya dan menyimpannya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Imam al-Qurtubi menyatakan kedatangan pelawat miskin yang memerlukan makanan di musim raya haji, mereka tiada punyai makanan kecuali mengharap daging sembelihan, maka di waktu ketiadaan keadaan ini, Nabi Muhammad s.a.w membenarkan simpan walaupun melebihi 3 hari. (Al-Jami' li ahkam al-Quran, 12/48 )
Kaitan dengan isu lompat adalah hukum melompat dari parti tertentu kepada yang lain turut mempunyai hukum berbeza, melihat kepada keadaan dan kebaikan parti-parti terbabit. Jelas dari hadis, menunjukkan sasaran Rasulullah s.a.w adalah membantu orang miskin, agihan makanan dengan sempurna dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
5) Dan satu lagi hadis adalah : -
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah) ; kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata
Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu) (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, namun hadisnya bertaraf Hasan namun sebahagian ahli hadis mengganggapnya dhoif)
Pengajaran dari hadis ini adalah hukum yang disebut oleh Nabi s.a.w bukannya ‘double standard' tetapi ia adalah bergantung kepada keadaan orang yang bertanya dan Rasul s.a.w sendiri mengajar kita mengapa hukum berbeza, iaitu adakah ia menuju kepada sesuatu yang mendekatkan ketaatan kepada Allah swt dan menjauhkan diri dari maksiat.
Sekali lagi kaitannya dengan isu lompat parti adalah hukum melompat berbeza antara satu parti dengan parti yang lain.
6) Satu kaedah fiqh menyebut :-
لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان
Erti : Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). ( Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)
Ibn Qayyim dan Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )
Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :-
· Tempat
· Masa
· ‘Uruf
· Situasi atau keadaan
· Niat
Kaedah ini memberikan input kepada kita bahawa hukum lompatan boleh berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.
ADAKAH YB KHIANAT UNDIAN RAKYAT APABILA MELOMPAT ?
Tidak semestinya. Ini adalah isu yang kerap disebutkan termasuk oleh pelbagai tokoh agama di Malaysia. Bagi saya, ia boleh dilihat dari pelbagai bentuk; tidak boleh dipukul rata.
Ia hanya menjadi khianat dan celaka apabila wakil rakyat ini melompat dari parti yang elok kepada yang tidak elok dan bukan sebaliknya. Mengapa?
Sama seperti kes murtad tadi juga. Ia adalah double standard berasas.
Bagaimana hak rakyat ? Terdapat dua perkara di sini :
Pertama : Wakil Rakyat (YB) adalah wakil kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. Jika yang terbaik untuk rakyat adalah melompat maka mandat sebagai wakil rakyat (YB) tadi telah cukup untuk sang YB melompat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada rakyat dengan lebih berkesan. Para pengundinya patut reda dan rela jika lompatan itu difikirkan oleh YBnya bakal membawa kebaikan buat rakyatnya bukan untuk diri YB.
Kedua : Masalah sistem demokrasi ; Dalam Islam, sistem pemilihan demokrasi itu sendiri terdapat beberapa masalah, antaranya adalah membiarkan pemilihan pemimpin dibuat oleh semua jenis rakyat tanpa mengenal tahap kemampuan mereka dan baik buruk mereka. Ini adakalanya boleh membahayakan kerana jika orang tidak baik lebih ramai dalam kumpulan rakyatnya, maka pastinya orang tidak baik akan sentiasa menang kerana memilih sang tidak baik sebagai YB.
Dalam Islam sistem asal pemilihan adalah majlis ahli al-hal wal al'qad ( kumpulan cerdik pandai, berpengalaman dan bertaqwa). Di zaman Khulafa ar-Rasyidin dahulu mereka digelar Majlis Syura. Majlis ini sepatutnya yang akan menentukan siapa khalifah seterusnya dan ia dianggotai oleh individu terbaik dalam Negara.
Justeru itu, ketika ini kita sedang menggunapakai sistem demokrasi dan dalam masa yang sama cuba membawa cara Islam dalamnya. Atas asas itu, bagi saya adalah DIBENARKAN dan tidak dikira KHIANAT untuk sang YB melompat kepada parti yang lebih baik demi kebaikan rakyatnya.
Dengan anggapan sang YB sepatutnya mempunyai kelayakan lebih baik dari kebanyakan rakyatnya. Namun, sekali lagi diingatkan kebaikan ditimbang atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukan atas asas kerakusan nafsu.
Jika kedua-dua parti atau kumpulan, lebih kurang sahaja jauh dari Islamnya, maka pemilihan adalah atas dasar pilihan yang kurang mudarat. Berdasarkan kaedah :
أخف الضررين
Erti : Mengambil yang kurang mudarat.
Tatkala itu, melompat kepada parti yang kurang mudarat adalah tergolong dalam hal ini. Adapun mana satu parti yang kurang mudarat atau lebih mudarat saya serahkan kepada penilaian anda sekalian. Tidak saya bincangkan di sini.
Tidak dinafikan, secara realiti, masalah berlaku kerana rakyat TIDAK LAGI MEMILIH YBnya atas dasar kelayakan tetapi atas dasar parti. Ini menyebabkan terdapat ramai YB yang jauh kurang cerdik dari majoriti rakyat. Ketika itu, anda akan dapati kesukaran kerana YB akan melompat kepada parti yang jauh dari kebaikan. Lalu tatkala itu barulah PENGKHIANATAN boleh diperbincangkan.
KESIMPULAN
Bagi mengelak untuk menulis terlalu panjang dan membosankan pembaca, kesimpulan dari apa yang saya sebutkan di atas adalah :-
Pendapat peribadi saya (bukan fatwa hukum), hukum melompat dan mengajak lompat kepada parti, berbeza dari satu keadaan kepada yang yang lain. Ia seperti berikut :-
1- MELOMPAT DAN MENGAJAK LOMPAT YANG DIBENARKAN
Dibenarkan dalam beberapa keadaan antaranya :-
· Untuk Kebaikan Rakyat : Melompat kerana kepentingan dan kebaikan rakyat, bukan hasil kerakusan mengaut imbuhan untuk diri atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.
· Membawa kepada taat Allah ; Jika menurut fakta, statistik dan pengalaman umum yang jelas bahawa sesebuah gabungan parti itu lebih membawa kepada pelbagai maksiat dan ketidakadilan manakala parti yang lain lagi membawa kepada lebih ketaaatan kepada Allah, lebih kebaikan dan kesaksamaan, maka ‘lompat' boleh menjadi HARUS malah mungkin ada ketikanya ia adalah sunat atau wajib.
· Mengurangkan mudarat ; Jika kedua-dua parti adalah tidak baik, namun demikian satu darinya kurang mudarat dan tidak baiknya. Maka boleh malah wajar untuk lompat kepada yang kurang membawa mudarat untuk diri dan rakyatnya.
· Tiada potensi mudarat lebih besar ; Telah ditinjau potensi bantahan rakyat tidak akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika telah dikenalpasti rakyat terdiri dari mereka yang ganas dan boleh mencetus mudarat lebih besar akibat lompat. Maka lompatan wajar dijauhi.
· Pilihanraya korup sepenuhnya atau sebahagian besarnya ; tatkala itu usaha mengajak lompat dibenarkan jika tiada cara untuk menang dalam pilihanraya biasa kerana korupsi amat dahsyat dan rasuah bermahajalela menyebabkan pilihanraya tidak adil sama sekali.
· Pilihanraya dipelopori majoriti pengundi tidak baik ; Melompat dan mengajaknya dibenarkan apabila rakyat dikenalpasti majoriti terdiri dari orang yang sangat cenderung kepada kejahatan dan pastinya akan sentiasa memilih yang tidak baik sebagai wakil mereka. Justeru, bagi menyelamatkan Negara dan kebaikan rakyat sebegini, jemputan dan mengajak lompat adalah dibenarkan.
2- MELOMPAT YANG KHIANAT DAN TIDAK DIBENARKAN.
Dilarang sama sekali apabila :-
· Kerana manfaat diri sendiri ; Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.
· Timbul mudarat lebih besar ; seperti pengundi memberontak dan punyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya.
· Pilihanraya semula lebih diredhai oleh semua ; ini dalam keadaan system pilihanraya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan.
· Dari yang baik kepada tidak baik ; melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah.
- Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik ; tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya.
PENUTUP
Akhir sekali, melalui artikel ini saya hanya menjelaskan kaedah atau menyediakan ‘tools' dalam penentuan sikap terhadap isu lompat parti dan ‘double standard' berkenaannya sahaja, keputusan mana satu parti yang lebih membawa manfaat dan kurang mudarat, terpulang kepada anda selaku pembaca untuk menilainya sendiri dari tulisan dan liputan berkenaan ahli-ahli politik semasa.
Adapun dalam isu kerajaan Negeri Perak, saya lebih cenderung bersetuju jika pilihanraya di adakan semula kerana kerajaannya terlalu rapuh dengan jumlah BN dan PR yang sama, dengan 3 orang calon bebas.
Bayangkan, amat kucar kacir dan menarikanya sejarah politik Malaysia jika tiba-tiba ada YB BN tiba-tiba melompat parti pula selepas ini. Menjadikan MB yang baru angkat sumpah terpaksa batal pula, sehingga terpaksa angkat sumpah MB baru lagi, tiba-tiba selepas sebulan, seorang YB dari Pakatan lompat kepada BN pula, maka terpaksa angkat sumpah lagi dan beterusan adegan ‘kartun' ini.
Justeru, bukankah lebih dibubar sahaja..
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
11 Safar 1430 H
7 Feb 2009 M
No comments:
Post a Comment