Thursday, February 26, 2009

TANGANI MASALAH PERSELISIHAN DI PARLIMEN DENGAN PANDUAN AL-QURAN

Laporan perselisihan faham yang berlaku di perkarangan lobi Parlimen sebenarnya menggambarkan bagaimana demokrasi Malaysia sudah berevolusi ke satu tahap yang luar biasa. Namun begitu, evolusi politik ini perlu dikawal agar tidak terbabas jauh daripada nilai Islam dan Timur yang sudah sekian lama menjadi teras budaya masyarakat Malaysia. Senario bertegang urat mempertahankan pendapat masing-masing dan berselisih pendapat secara agresif ini perlu dirawat dengan menggunakan panduan al-Quran kerana majoriti wakil rakyat yang galak berhujah dan berdebat di Parlimen adalah beragama Islam. Peranan mereka bukan setakat membawa suara rakyat, tetapi membawa juga mesej Islam sebagai satu agama untuk semua. Ditakuti sikap segelintir mereka yang mengabaikan aspek akhlak semasa berhujah akan menjauhkan lagi golongan bukan Islam daripada Islam.

Secara dasarnya perselisihan pendapat di antara manusia adalah perkara biasa dan lumrah alam. Wujudnya perselisihan pendapat kadang kala menjadikan kehidupan manusia lebih menarik dan berwarna warni. Namun persoalannya ialah bagaimanakah caranya untuk menangani masalah perselisihan ini secara bijaksana agar tempias kesan buruk daripada perselisihan tersebut tidak berpanjangan.

Untuk itu Islam melalui al-Quran sudah sekian lama menggariskan adab-adab yang perlu diikuti oleh setiap umat Islam di dalam isu perselisihan pendapat atau berdebat. Firman Allah :

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk ( al-Nahl[16:125]).

Juga firman Allah :

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka (al-`Ankabut[29:46])

Namun begitu, kejahilan sesetengah umat Islam tentang intipati Islam yang menyeluruh telah memalitkan umat Islam yang lain dengan lumpur tohmahan yang berbagai-bagai. Perkara ini berlaku kerana sesetengah umat Islam beranggapan Islam yang mereka anuti hanya terbatas pada amalan ritual sahaja dan tidak merangkumi isu-isu lain seperti akhlak, cara berpolitik dan sebagainya.

Perlu disedari Islam yang dianugerahkan kepada manusia ditegakkan di atas 3 asas yang utama iaitu, akidah, syariah dan akhlak. Menjelaskan kepentingan aspek akhlak, Aishah RA telah menyatakan bahawa akhlak baginda Rasulullah SAW adalah berteraskan al-Quran (Musnad Ahmad). Selain itu baginda SAW juga bersabda : Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (Sunan al-Bayhaqi)

Wakil rakyat Melayu yang beragama Islam sepatutnya memberikan contoh akhlak Islam yang terbaik semasa berhujah di dalam Parlimen. Akhlak yang baik merupakan sejenis sihir yang paling berkesan untuk menjinakkan hati semua pihak termasuklah musuh atau lawan.

Para ahli politik di Malaysia tidak sepatutnya terlalu fanatik berpolitik sehingga mengabaikan aspek akhlak dan dakwah. Gabungan akhlak yang mulia serta hujah yang jitu akan menjadi pendorong untuk golongan bukan Islam menerima Islam dengan hati yang tenang dan terbuka. Dengan kata lainnya, berhujah, berdebat dan berpolitik di Parlimen sepatutnya menjadi salah satu cabang dakwah yang boleh dieksploit dengan bijaksana. Saranan ini juga selari dengan kempen bulan dakwah yang sedang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Untuk tujuan ini, Speaker Dewan perlu memainkan peranan menerangkan adab-adab berhujah dan berdebat menurut arahan Allah SWT di dalam al-Quran. Ayat-ayat yang disebutkan di atas perlu dibaca di awal setiap sidang sebagai peringatan kepada semua. Selain itu, ayat tersebut juga perlu ditulis beserta dengan terjemahannya untuk ditampal di ruang perbahasan. Langkah ini mampu menjadi serampang dua mata iaitu sebagai garis panduan kepada para wakil rakyat yang sedang bersidang dan medium penyampaian dakwah kepada wakil rakyat bukan Islam.


Hakikatnya sikap agresif melawan sebarang tindakan agresif orang lain kepada kita hanya akan menghasilkan impak atau kesan yang lebih negatif. Sebaliknya tanganilah tindakan musuh atau lawan dengan akhlak yang mulia kerana langkah itu bakal membuka ruang hidayah kepada mereka sebagaimana firman Allah:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat (Fussilat [41:34-35]).

Pendekatan akhlak yang mulia semasa berhujah dan berdebat di Parlimen bukan sahaja mampu mencerminkan keindahan Islam serta penganutnya, bahkan tidak mustahil mampu menarik orang-orang seperti Karpal Singh dan yang lainnya kepada Islam. Sekiranya mereka masih berkeras menyerang dan bersikap biadap, kita perlu yakin bahawa tidak akan runtuh bukit yang disalak oleh anjing dan peganglah Firman Allah:

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) (al-A’raf[7:199]).

No comments:

Post a Comment