Thursday, March 5, 2009

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Nabi Muhammad SAW menurut gambaran orang-orang Syiah???

Cadangan JAKIM untuk mengadakan perarakan besar-besar sempena sambutan Maulid Rasul 2009 merupakan satu manifestasi rasa cinta yang mendalam kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW. Keunikan rasa cinta ini dapat dilihat hampir di kebanyakan negara Islam pada tanggal 12 Rabi’ al-Awwal setiap tahun. Walaubagaimanapun tarikh kelahiran yang masyhur digunapakai itu masih diperselisihkan oleh para ulama sejarah Islam. Sesetengah ahli sejarah berpendapat lebih tepat jika dikatakan baginda Rasulullah SAW dilahirkan pada 9 Rabi’ al-Awwal, Tahun Gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71).

Walaupun begitu bukan tarikh kelahiran baginda yang perlu diberikan perhatian yang mendalam oleh umat Islam, akan tetapi bagaimanakah sikap kita terhadap ajaran baginda SAW. Tradisi menyambut kelahiran nabi Muhammad SAW atau maulidur Rasul kadangkala memerlukan reformasi dari semasa ke semasa demi untuk menyerlahkan lagi peranan baginda SAW sebagai pembimbing ummat manusia. Di samping mengisytiharkan cuti umum, mengadakan perarakan, menobatkan tokoh Maulidur Rasul dan sebagainya, perkara-perkara yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan untuk menyemarakkan lagi sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah:

1- Menobatkan Tokoh Sunnah Kebangsaan yang bergiat aktif menyebarkan hadith nabi SAW. Sumbangan para ulama’ yang bergiat di dalam pengajian hadith yang merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran seharusnya diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai pemangkin untuk umat Islam yang lain menghayati sunnah baginda SAW.

2- Melancarkan kempen Bulan Sunnah Nabi SAW Peringkat Kebangsaan sebagai langkah memantapkan lagi penghayatan umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan sunnah baginda SAW. Kempen secara agresif boleh dilakukan untuk memperkenalkan sunnah-sunnah baginda SAW yang merangkumi segala aspek kehidupan dan mengutamakan sunnah-sunnah yang sering diabaikan oleh umat Islam seperti kepentingan menjaga kebersihan, kepentingan menjaga akhlak dan sebagainya. Langkah ini boleh diiringkan bersama dengan kempen Bulan dakwah seperti yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

3- Memperkenal disiplin ilmu Mustolah Hadith secara ringkas dan padat kepada masyarakat umat Islam bagi menyedarkan mereka tentang disiplin yang perlu dimiliki ketika berinteraksi dengan hadith nabi SAW. Langkah ini mampu berfungsi melahirkan masyarakat umat Islam yang celik sunnah dan pada masa yang sama membendung penyebaran hadith-hadith palsu yang telah mencemar nama Rasulullah SAW semenjak sekian lama.

4- Menggiatkan usaha mempertahankan Sunnah nabi SAW daripada serangan musuh-musuh Islam dan golongan yang jahil. Langkah mempertahankan kesucian hadith atau sunnah nabi boleh dilakukan dengan menjawab segala tohmahan yang ditujukan terhadap sunnahdan hadith nabi SAW.

5- Mewujudkan segmen Sirah Rasulullah SAW secara ringkas di waktu perdana di television utama Malaysia sebagai langkah memperkenalkan baginda Rasulullah SAW secara lebih mendalam kepada semua. Langkah ini boeh menjadi serampang dua mata selaku penyubur rasa cinta kepada baginda SAW untuk orang-orang Islam dan aspek dakwah kepada gologan bukan Islam. Kalau perlu segmen ini diperuntukkan setiap hari dalam seminggu dengan mengundang penceramah yang berwibawa dan akademik. Segmen yang ringkas, padat, konsisten setiap hari dan penuh dengan maklumat berkaitan kisah hidup dan perjuangan baginda SAW pastinya ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Baginda SAW bersabda : Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit (Sahih al-Bukhari).

Sekiranya segala cadangan ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan, wajah sambutan Maulidur Rasul di Malaysia akan lebih bermakna dan gemilang serta tidak hanya terhenti atau kaku pada tradisi sambutan selama sehari sahaja. Sambutan yang lebih ilmiah dan berpanjangan akan benar-benar menyatukan roh atau semangat perjuangan baginda SAW dengan setiap anggota masyarakat umat Islam di Malaysia.

Selain itu, usaha ini juga mampu melahirkan golongan umat Islam yang benar-benar celik agama dan celik sunnah nabi SAW. Bukanlah perarakan, slogan, tokoh dan persembahan sambutan Maulidur Rasul yang sepatutnya menjadi tumpuan, sebaliknya bagaimanakah caranya kita mengamalkan ajaran peninggalan baginda secara berterusan sepanjang hayat. Bahkan segala kemudahan teknologi yang ada di zaman sekarang ini, seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh untuk menyarakkan lagi penghayatan terhadap Sunnah nabi SAW. Janganlah kita hanya mengurung Sunnah dan Hadith nabi SAW di dalam penjara-penjara ilmu di pondok-pondok agama atau menara gading sahaja, sebalikya bebaskanlah peranan sebenar baginda SAW kepada semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam. Renungkanlah firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (ikutilah sunnahku), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir (Ali ‘Imran[3:31-32]).

Dan firman Allah lagi:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)(al-Hasyr [59:7]).

No comments:

Post a Comment