Sunday, April 26, 2009

AWASI DOKTOR SEGERA DALAM PRODUK JUALAN LANGSUNG

Sepatutnya sudah lama saya menjalani pembedahan penukaran buah pinggang, namun begitu disebabkan masalah luka dalam telinga, pembedahan tersebut terpaksa ditangguh. Pakar nefrology (buah pinggang) mengatakan luka telinga saya perlu terlebih dahulu dirawat kerana semasa transplant dijalankan, tubuh saya akan diberikan ubat immune suppression (pelemah sistem immun tubuh) untuk memastikan buah pinggang baru dapat diterima oleh tubuh. Sekiranya tubuh badan saya mempunyai sakit-sakit lain seperti sakit gigi,usus dan telinga, ditakuti sakit tersebut akan bertambah teruk kerana kelemahan sistem immun tubuh melawan penyakit.

Diuji dengan penyakit yang kronik seperti penyaki buah pinggang sebenarnya banyak memberikan saya ilmu-ilmu baru tentang perubatan. Setelah berulang alik ke hospital hampir 8 tahun, saya mulai menghargai ilmu perubatan dan baru benar-benar faham erti ayat :

Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21.7]).

Berbalik kepada isu korek telinga, setelah hampir 4 bulan berulang alik memeriksa telinga, barulah saya faham bahawa selama ini kita melakukan sesuatu tanpa ilmu bahkan bertaqlid buta dengan membersihkan telinga secara mengorek atau menggunakan cotton bud. Kalau mengikut doktor dalam bidang ENT, korek telinga ni hukumnya makruh yang membawa kepada haram. Tahi telinga sebenar salah satu perlindungan semulajadi yang Allah jadikan untuk menjaga gegendang telinga kita.

Bukan isu telinga sahaja yang perlu disentuh di sini, bahkan banyak lagi. Antaranya ialah isu tentang ubat-ubatan atau produk yang diedarkan melalui sistem DIRECT SELLING atau JUALAN LANGSUNG. Sepanjang sakit saya telah dihampiri oleh berbagai-bagai penjual ubat yang kononya ingin membantu saya mengubati sakit ini. Setiap mereka membawa berbagai-bagai produk dan testimoni kampungan yang tidak pernah terbukti secara klinikal atau saintifik.

Dalam kebanyakan hal, para penjual produk-produk tersebut akan bermati-matian mengatakan ubat atau produk adalah mereka yang terbaik di dunia. Menurut mereka buah pinggang yang kecut dan rosak mampu kembang semula setelah mengambil ubat mereka.

Pernah sekali saya bawakan ubat yang ditawarkan itu berjumpa pakar nefrology di hospital. Doktor lalu bertanya kepada saya berapa ramai pesakit buah pinggang setahun? Jumlahnya mencecah ribuan saban tahun! Kata doktor tersebut, produk ajaib yang membanjiri pasaran kebanyakannya tidak pernah terbukti secara klinikal dan saintifik mampu mengubat sakit buah pinggang. Bahkan sesetengah kandungan produk tersebut sama sekali tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang seperti high protein(protein yang tinggi akan tambah merosakkan buh pinggang yang sedang nazak), high potassium (potassium banyak terkandung di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Potassium yang berlebihan kan mengacau rentak jantung bahkan mampu menghentikan degupan jntung kerana kegagalan buah pinggang)dan sebagainya.

Doktor Nefrology berkata, sekiranya benar ada ubat yang mampu menyembuhkan sakit ini, sudah pasti pengeluar produk itu akan menjadi kaya raya kerana jumlah pesakit buah pinggang yang makin meningkat saban tahun. Doktor tersebut juga menasihatkan saya agar tidak terpengaruh dengan semua penjual produk tersebut. Sakit buah pinggang menurutnya begitu kompleks, rumit dan sensitif kepada diet dan pemakanan. Dibimbangi diet yang tidak betul akan menyebakan pesakit menjadi semakin teruk atau membawa maut. Baru-baru ini beberapa pesakit buah pinggang yang sudah menjalani dialyss telah meninggal dunia kerana memakan buah belimbing.

Kesemua kesan akibat yang berlaku di dalam kajian perubatan ternyata amat saintfik, tepat dan bertetapan dengan roh al-Quran yang menyarankan kita menjalankan kajian dan penelitian. Yang menjadi masalah kepada perubatan alternatif yang tumbuh macam cendawan sekarang ini ialah testimoni kampungan yang tidak boleh dinilai dan diukur secara saintifik.Berbeza pula dengan kajian dan penelitian dalam perubatan moden yang cukup saintifik.

Analogi mudah ialah, apakah mungkin kesemua penyakit boleh diubati dengan satu ubat seperti panadol sahaja? Sakit buta, apabila makan panadol akan dapat melihat, sakit kudung kaki, apabila makan panadol akan tumbuh kaki baru?

Buah pinggang adalah salah satu anggota kekal yang tidak ada gantinya walau apa sahaja ubatan yang dimakan. Setakat ini satu-satunya cara pemulihan yang sempurna untuk sakit inilah pemindahahn buah pinggang baru.

Tambah menyedihkan lagi ada di kalangan ustaz yang menyarankan saya berjumpa dengan bomoh atau perawat tradisional. Mereka seolah-olah berharap agar penytakit ini diubat secara ajaib dan magikal. Pemikiran sedemikian sebenarnya tambah memundurkan lagi umat Islam,. Tambah parah lagi sekiranya saranan ini datang dari para ustaz.

Sakit saya walaupun pada awalnya adalah musibah, tetapi di sebaliknya mempunyai ilmu yang tidak ternilai. Siapapun tidak dapat memberikannya. Sekarang ini saya sudah selesa dengan rawatan CAPD atau rawatan dialisys air sebanyak 4 kali sehari sementara menunggu rawatan transplant.

Kesimpulannya, usahlah terpedaya dengan tipu daya para peniaga di luar sana. Walaupun begitu, kita tidak seharusnya pukul borong dengan mengatakan ubat-ubatan atau produk yang dijual semuanya menipu. Tetapi kita katakan bahawa sesetengah ubat hanya sesuai untuk sesetengah penyakit sahaja. Sebelum anda terlibat menjadi peniaga produk-produk sedemikian, belajarlah dan dalamilah ilmu yang berkaitan dengannya. Jangan dirosakkan anugerah ilmu Allah yang dikurniakan melalui kajian ilmu perubatan hanya untuk melarskan produk anda.

No comments:

Post a Comment