Saturday, September 5, 2009
KEMPEN AGRESIF UNTUK MENJADIKAN NUZUL AL-QURAN SEBAGAI HARI RAYA KETIGA UMAT ISLAM
Lazimnya umat Islam di Malaysia akan beranggapan hari raya yang bakal disambut setiap tahun hanyalah hari raya “idul Fitri dan ‘Idul Adha sahaja. Hakikat sebenarnya hari raya umat Islam sedunia ialah tiga termasuklah Nuzul al-Quran atau hari mengenang penurunan al-Quran ke dunia. Bahkan tanpa adanya Nuzul al-Quran yang merupakan manifestasi rahmat atau kasih sayang Allah kepada manusia, kedua hari raya tersebut tidak mungkin dapat dirasai apatah lagi disambut oleh semua. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mungkin kita kenali atau anuti sekiranya al-Quran tidak diturunkan kepada baginda di permulaan wahyu di gua Hira’.
Tanpa penurunan al-Quran, pastinya umat Islam sedunia masih ada yang menyembah patung tidak bernyawa atau beragama dengan agama caca marba. Ringkasnya Nuzul al-Quran merupakan titik tolak perubahan dunia akhir zaman.
Namun begitu, sambutan Nuzul al-Quran di Malaysia kelihatan begitu hambar dan membosankan. Tiada pengisian yang menarik dapat diperhatikan melainkan ceramah satu malam yang membicarakan tentang Nuzul al-Quran dan fungsi al-Quran bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kekufuran kepada sinar al-Quran dan Islam. Kehambaran sambutan ini sebenarnya berkait rapat dengan kefahaman falsafah Nuzul al-Quran sebagai hari raya ketiga umat Islam.
Walau sedalam mana sekalipun falsafah ini diungkapkan, kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan al-Quran sebagai tanda kasih sayang Allah kepada manusia masih berada pada tahap yang rendah dan cetek. Fenomena ini berlaku kerana rata-ratanya fungsi al-Quran pada umat Islam di Malaysia hanya terbatas kepada beberapa aspek pilihan sahaja, di antaranya ialah:
-Bacaan yang dibacakan di surau atau masjid pada malam-malam tertentu untuk acara ritual keagamaan
-Teks yang dihuraikan ulasan hukum Tajwidnya secara mendalam
-Dilagukan dengan nada-nada tertentu di dalam Musabaqah Tilawah al-Quran
-Menjadi sukatan pelajaran yang perlu dihabiskan oleh kanak-kanak sebelum melangkah ke sekolah menengah
-Dijadikan tulisan khat yang indah untuk menjadi hiasan dinding
-Digunakan untuk menghalau hantu dan juga jin yang mengganggu atau mengubati sihir
-Dijadikan sukatan hafazan di pusat pengajian Tahfiz
-Dibacakan di dalam solat tertentu seperti solat terawih
-Diperdengarkan di corong-corong pembesar suara surau dan masjid
Tidak dinafikan, kesemua aspek pilihan yang disebutkan itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan berfungsi untuk melengkapkan kesempurnaan al-Quran sebagaimana firman Allah:
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui (al-Baqarah [2:151]).
Namun begitu aspek-aspek tersebut hanyalah lapisan kulit luaran yang bukan membawa maksud sebenar tujuan penurunan al-Quran kepada manusia. Sekiranya penurunan al-Quran itu hanya untuk tujuan ritual di atas, apa gunanya Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya mengalami segala kesusahan untuk menjamin kesinambungan Islam sehingga terpaksa mengorbankan nyawa dan harta yang cukup banyak?
Fokus yang berlebihan kepada aspek luaran al-Quran tidak banyak membantu mendekatkan umat Islam kepada kehendak Allah yang sebenar. Lihatlah berapa banyak orang yang masanya terhabis membaca al-Quran namun akhlaknya tidak seindah akhlak al-Quran. Tidak kurang juga sesetengah orang yang memperjuangkan bacaan secara berlagu dan bertajwid tetapi tanpa sedar mengabaikan kehendak isi kandungan al-Quran. Tidak kurang juga para penghafaz al-Quran yang gagal untuk mengambil manafaat ilmiah daripada semua surah yang dihafaznya. Kesudahannya mereka hanya akan menjadi pejuang bunyi-bunyian yang tidak difahami maksudnya.
Oleh itu, demi untuk benar-benar menghargai ni’mat Nuzul al-Quran, beberapa langkah agresif perlu dimainkan oleh semua pihak bermula daripada individu, masyarakat, kerajaan dan media massa untuk menjadikan ni'mat Nuzul al-Quran benar-benar disyukuri semua. Di antaranya ialah;
-Menjalankan kempen dan promosi kesedaran al-Quran seawal Ramadhan pada setiap tahun dengan mendedahkan fakta-fakta yang sahih berkaitan al-Quran yang sering diambil secara salah oleh masyarakat. Fakta seperti jumlah sebenar ayat-ayat al-Quran (6236 ayat dan bukan 6666), ciri-ciri riwayat imam Hafs 'An 'Asim yang menjadi bacaan umat Islam di Malaysia, ciri-ciri rasm 'Uthmani, periwayatan al-Quran secara mutawatir yang menjamin kesahihannya, biografi ringkas para pentafsir al-Quran di kalangan para sahabat dan sebagainya perlu didedahkan kepada orang awam melalui media massa perdana untuk membiasakan masyarakat umat Islam dengan fakta-fakta al-Quran.
-Meningkatkan kesedaran terhadap penghayatan isi kandungan al-Quran. Kaitkan semua isu semasa dengan isi kandungan al-Quran kerana umat Islam di Malaysia mempunyai ramai pakar yang berkebolehan untuk mengolah isi kandungan al-Quran bersesuaian dengan isu-isu harian. Alasan tidak berkesempatan untuk menelaah isi kandungan al-Quran tidak sepatutnya lagi dijadikan sebab untuk mengelak daripada memahami al-Quran. Sikap sebegini boleh diumpamakan seperti seseorang yang sedang kelaparan tetapi tidak memandang makanan yang berzat lagi sedap yang sedia terhidang di depan matanya.
-Jalankan kempen fahami satu ayat al-Quran setiap hari. Kempen ini secara perlahan mampu mengubati hati umat Islam moden yang banyak rosak rohaninya kerana racun dunia yang didedahkan kepada mereka saban hari.
Sekiranya semua tindakan ini dilakukan dengan betul, tahap interaksi umat Islam di Malaysia dengan al-Quran akan mampu dipertingkatkan. Amat menyedihkan sekali sekiranya individu yang sudah sekian lama bergelar Muslim gagal untuk memahami, menghayati serta mengamalkan isi kandungan al-Quran yang sudah 1400 tahun dihidangkan oleh Allah.
Soalan terakhir yang perlu menjadi kayu ukur atau alat muhasabah para pembaca semua. Adakah anda sudah benar-benar menganggap Nuzul al-quran sebagai penyambung hubungan anda dengan Allah? Sejauh manakah isi kandungan al-Quran sudah anda praktikkan? Adakah anda benar-benar dapat mengambil manafaat daripada hidangan Allah ini?
Bertindaklah segera dan ni'matilah al-Quran, kerana sesungguhnya ia adalah hidangan Allah di muka bumi, sabda nabi SAW: Sesungguhnya al-Quran itu adalah hidangan Allah di muka bumi, maka pelajarilah daripadanya semampu mungkin (Sunan al-Darimi).
OLEH:
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM (AL-HAFIZ)
No comments:
Post a Comment