Monday, November 30, 2009
DOA NIK AZIZ, MINYAK, ISRAEL, PALESTIN, NABI NUH & NABI MUSA
Lama sungguh tak menulis di sini,sibuk sungguh sebelum dan selepas Raya haji. Tajuk itu pula sengaja diambil dalam bentuk yang penuh abstrak untuk memakukan lagi para pembaca di blog ini.
Kebiasaannya, pada setiap hari raya saya akan bersolat hari raya di Masjid Tok Guru Nik Aziz yang jaraknya cuma sekadar 2 km sahaja dari rumah ibu saya. Namun pada hari raya haji yang lalu oleh kerana kesesakan jalanraya di antara Gombak ke Bentong, saya yang sudah samapai ke Bentong pada khamis sebelum hari raya terpaksa berpatah balik ke KL.
Setelah memastikan jalan ke LPT betul-betul lancar barulah saya bertolak pada jam 4:30 pagi hari raya. Saya sampai ke KB pada jam 10 pagi dan terlepas peluang untuk mendengar khutbah hari raya haji oleh Tok Guru. Namun begitu setelah sehari, riuh satu Malaysia tentang doa bala yang diucapkan oleh Tok Guru.
Fikiran saya kembali mengimbas isi kandungan khutbah raya puasa yang lalu. Di akhir kutbahnya Tok Guru meminta agar semua jemaah sama-sama mendoakan kejayaan kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat. Di dalam doa itu, Tok guru menyatakan dua perkara yang sama seperti isi kandungan khutbah hari raya haji iaitu; sama ada Allah membukakan pintu hati Datok Seri najib atau menurunkan bala sekiranya permohonanan itu dihalang kerana apa yang dituntut itu adalah hak rakyat Kelantan yang telah memilih kerajaan mereka.
Alhamdulillah berkat usaha kerajaan negeri dan doa daripada semua, PM bersetuju untuk membayar dalam bentuk wang ehsan tetapi tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri YANG DIPILIH OLEH RAKYAT KELANTAN, sebaliknya akan disalurkan kepada kerajaan bayangan yang di namakan dengan projek pembangunan persekutuan.
Saya tidaklah membuta tuli untuk mempertahankan Tok Guru, cuma para pembaca semua perlu merenung beberapa perkara iaitu;
1- Bandingkan di antara Palestin dan Israel, rata-ratanya semua umat Islam akan mengatakan yang teraniaya ialah rakyat Palestin bukannya Israel. Tindakan ganas sesetengah pihak Palestin yang sudah sekian lama tertindas tidak sama sekali boleh disamakan dengan kejahatan Israel yang sudah puluhan tahun membunuh rakyat Palestin. Bandingkan pula dengan nasib rakyat kelantan. Walaupun mereka dengan cara terhormat sudah memilih kerajaan, namun hak mereka kerajaan mereka untuk menerima wang royalti secara terus dinafikan sama sekali. APAKAH KERAJAAN KELANTAN INI DITUBUHKAN SECARA HARAM ATAU DEMOKRASI? Di antara kelemahan berfikir ahli politik Malaysia yang amat ketara ialah tidak dapat membezakan mana perjuangan parti dan mana perjuangan untuk rakyat. Apabila kegilaan mempertahankan kepentingan parti mengatasi segala-galanya, maka lahirlah tindakan tidak cerdik sedemikian.
2-Mengapakah hak rakyat kelantan yang dengan rasminya sudah memilih kerajaan mereka dinafikan? Apakah rakyat kelantan tidak membayar cukai? Setahu saya, semua cukai negara turut sama dibayar dan dihantar ke Pusat oleh kerajaan negeri. Namun begitu, pemulangan hak tidak berlaku dengan sepatutnya. Ini juga salah satu kebodohan ahli politik Malaysia. Umpamanya kerajaan pusat seperti seorang ayah yang meminggirkan anaknya yang bernama Kelantan hanya kerana si anak tidak sama menyokong pasukan bolasepak yang disukai oleh si ayah.
3-Apabila dikatakan Islam tidak mengajar umatnya berdoa buruk..di mana kita hendak meletakkan ayat-ayat ini?
3.1)-Firman Allah: Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)". Surah Yunus[10.88-/89]
3.2) Firman Allah: Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi! "Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar. Surah Nuh [71.26-27]
Kedua-dua ayat di atas pastinya mempunyai penjelasan tersendiri, namun itu adalah di antara senjata yang paling mudah bagi golongan yang tertindas. Apa lagi daya kerajaan Kelantan untuk mempertahankan hak mereka berbanding platform media yang dimiliki oleh kerajaan Pusat?
3.3)-Hadith tentang qunut nazilah yang dibacakan oleh nabi SAW selama sebulan ke atas kabilah Ra'l & Dhakwan yang telah membunuh para sahabat/qurra'/pendakwah nabi (Sahih al-Bukhari & Muslim). Walaupun perbutan nabi ini dihentikan oleh ayat (Ali 'Imran[3:128]), kewujudan nas yang memngharuskan perkara ini tidak boleh sama sekali dinafikan dengan anggapan Tok Guru Nik Aziz yang sudah sekian lama berendam di dalam al-Quran dan Sunnah jahil dengan hakikat perkara ini.
Akhir sekali, semua nas yang dinyatakan di atas bukan bertujuan untuk secara membuta tuli menyokong Tok Guru Nik Aziz, tetapi sekadar mengimbangi serangan yang ditujukan kepada beliau sekarang ini. Hakikatnya berdoa buruk kepada orang lain memang tidak digalakkan, namun bagi orang yang dizalimi, dinafikan hak mereka serta ditindas secara berterusan talian wahyu amat bermakna.
Kepada semua pembaca samada yang menyokong pendapat ini atau tidak, saya katakan sudah sampai masanya kita mengubah cara berfikir secara maju bersesuaian dengan sasaran negara maju 2020. Renungkan ayat al-Qjran & hadith ini, mudah-mudah ianya akan menggentarkan hati kalian daripada terlibat menzalimi atau menyokong orang yang zalim.
Firman Allah:
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud[11.113] )
Hadith baginda Rasulullah SAW :
Takutlah kamu akan doa orang-orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada di antara doa mereka dengan Allah hijab yang menghalang (penerimaannya). (sahih al-Bukhari).
salam ustaz,saya copy paste ke Facebook saya.
ReplyDelete