RENCANA INI TELAH DISUNTING DARIPADA POSTING SEBELUM INI. SAYA JUGA TELAH HANTAR RENCANA INI KEPADA UTUSAN MALAYSIA SEBAGAI SATU LANGKAH BERANI, KITA SAMA-SAMA TENGOKLAH KALAU RENCANA ITU AKAN TERSIAR ATAU SEBALIKNYA..
Polemik doa bala Datuk Nik Aziz kepada Perdana menteri Malaysia Dato’ Seri Najib masih hangat di perkatakan oleh semua. Berikutan tindakan kontroversi itu, berbagai reaksi diberikan oleh kebanyakan pihak yang terlibat sama ada pihak yang menyokong atau menentang. Namun begitu, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atas tindakan Datuk Nik Aziz, polemik ini terlebih dahulu perlu dianalisis secara ilmiah menurut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Analisis ini amat penting demi untuk menyelamatkan masyarakat awam bawahan yang tampaknya sedang kebingungan di celah permainan ahli politik. Apa yg ketara polemik ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja bukan rakyat secara keseluruhannya. Selain itu, tuntutan untuk menjelaskan kekeliruan ini tambah mendesak apabila ianya melibatkan penggunaan doa yang merupakan salah satu elemen utama di dalam pengajaran Islam.
Secara umumnya berdoa buruk kepada orang lain adalah ditegah oleh baginda Rasulullah S.A.W sebagaimana sabdanya:
Jangan berdoa buruk ke atas diri kamu sendiri, juga jangan berdoa buruk ke atas anak-anak kamu, juga jangan berdoa buruk ke atas khadam kamu, juga jangan berdoa buruk ke atas harta kamu sendiri kerana ditakuti bertembung dengan waktu penerimaan doa maka (maksud buruk itu) akan diperkenankan oleh Allah. (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).
Namun begitu,di dalam keghairahan menyalahkan Datuk Nik Aziz di dalam isu ini, kebanyakan daripada kita seolah-olah terlupa pula sudut lain yang menjadi punca tercetusnya isu ini. Oleh itu untuk berlaku lebih adil dan ilmiah kepada semua pihak, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek punca sesuatu isu.
Bagi memahami isu ini di dalam skop yang lebih luas & praktikal, kita perlu melihat kepada contoh yang sudah sekian lama berlaku di dunia iaitu kempen anti keganasan yang telah dilancarkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat. Walaupun sudah bertahun-tahun kempen tersebut dijalankan dengan beberapa pendekatan yang ekstrem seperti penaklukan Afghanistan, Iraq dan penahanan ramai tokoh yang dicop sebagai pengganas, angka keganasan tidak pernah berkurang bahkan semakin bertambah bersama-sama dengan sentimen anti Amerika di seluruh dunia Islam.
Kegagalan ini boleh dikatakan berpunca daripada kebebalan pihak Amerika untuk mengubati punca penyakit keganasan iaitu penindasan serta sikap berat sebelah Negara kuasa besar itu kepada umat Islam terutama sekali di Palestin. Kempen Amerika selama ini sebenarnya boleh disifatkan seperti seperti cubaan mencuci air sungai yang kotor di muara, sedangkan sampah masih dibuang secara berterusan tanpa kawalan di hulu. Sudahnya kempen Amerika tersebut lebih sesuai dinamakan sebagai kempen Perang Salib Alaf Baru.
Premis yang sama perlu di gunakan di dalam menangani polemik doa bala yang di ucapkan oleh Nik Aziz kerana rata-ratanya mengecam tanpa melihat secara mendalam kepada punca kenyataan beliau itu.
Sebagai seorang Menteri Besar yang secara rasminya di lantik oleh rakyat Kelantan melalui pilihanraya yang sah, tindak balas beliau yang tidak berpuas hati dengan penafian hak royalti minyak oleh kerajaan pusat sebenarnya logik dan masih masuk akal. Ini kerana beliau bukan bercakap di atas platform seorang Murshidul Am PAS semata-mata, sebaliknya mewakili sebuah kerajaan pilihan rakyat Kelantan. Sebagai manusia biasa ,rasa tidak puas hati di atas penafian hak dan penindasan adalah perkara biasa. Berdoa pula merupakan langkah yang paling ringkas, mudah dan berkesan untuk menegaskan rasa tidak puas hati kepada kerajaan pusat serta meraih simpati rakyat Kelantan.
Merujuk kepada rasa tidak puas hati dalam diri manusia pula, baginda Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersedih & berdoa buruk selama sebulan di dalam qunut solat subuh kepada kabilah Ra'l, Dhakwan & ‘Usayyah yang telah membunuh para pendakwah dari kalangan sahabat baginda di dalam peristiwa Bi’r al-Ma’unah (Sahih al-Bukhari & Muslim). Namun begitu, baginda S.A.W berhenti berdoa setelah diturunkan ayat berikut:
Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim (Ali ‘Imran [3:128]).
Selain itu, nabi Musa & Nuh A.S juga pernah berdoa buruk kepada musuh mereka yang berdegil tidak mahu beriman kepada Allah. Firman Allah :
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)" (Yunus [10:88-89]).
Juga firman Allah:
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
"Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar (Nuh [71:26-27]).
Setelah melihat ketiga-tiga dalil di atas, mungkin ada yang akan memberikan alasan bahawa doa para rasul itu ditujukan kepada orang-orang kafir dan bukan untuk sesama islam sebagaimana polemik yang sedang berlaku. Namun begitu, perlu diingat bahawa faktor kufur hanya bersikap sekunder atau minor jikalau hendak dibandingkan dengan faktor zalim. Kesemua penentang para rasul yang disebutkan di dalam nas-nas di atas bukan hanya bersifat kufur dengan ajaran mereka bahkan disulami dengan kezaliman melampau sehingga sanggup membunuh dan menindas. Oleh itu, faktor utama yang mengundang doa buruk para rasul itu adalah sikap yang zalim bukan kufur semata-mata.
Apa yang pasti sifat zalim jauh lebih buruk daripada kufur kerana kufur hanya melibatkan hak Allah sahaja tetapi sifat zalim melibatkan hak sesama manusia. Dosa kufur boleh diampun dengan taubat kepada Allah pemilik mutlak manusia, akan tetapi dosa zalim kepada manusia hanya akan terampun sekiranya manusia yang dizalimi itu sedia untuk memaafkan. Tambah rumit lagi sekiranya kezaliman itu melibatkan hak rakyat jelata yang jutaan jumlahnya.
Pada satu sudut lain, mungkin ramai yang beranggapan bahawa perkataan zalim terlalu kasar dan kurang sesuai untuk menggambarkan senario polemik wang ehsan Kelantan ini. Namun begitu menurut takrif syarak, zalim bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Tindakan menyalurkan wang ehsan kepada entiti lain yang tidak diiktiraf atau dipilih oleh rakyat Kelantan secara demokratik menurut amalan demokrasi sebenarnya samalah seperti meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Umpamanya, orang lain yang kepenatan bekerja tetapi orang lain yang menerima gaji.
Walaupun berdoa buruk ditegah oleh nabi S.A.W sebagaimana yang dinyatakan oleh hadith di atas, seharusnya kita merenung juga sebuah hadith lain yang bermaksud:
Takutlah kamu akan doa orang-orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada di antara doa mereka dengan Allah hijab yang menghalang (penerimaannya). (sahih al-Bukhari).
Secara logiknya, seseorang yang telah dizalimi dan dinafikan haknya pastinya akan berdoa buruk kepada orang yang dirasai telah menzalimi haknya kerana itu sudah menjadi fitrah bagi manusia yang tertindas walau sehebat mana sekalipun orang itu. Sebenarnya apa yang lebih penting ialah hadith tersebut bukan sahaja menjelaskan kemungkinan wujudnya doa buruk daripada orang yang dizalimi, tetapi larangan menzalimi hak orang lain yang mungkin boleh menjerumuskan mereka ke dalam musibah doa mangsa yang dizaliminya. Ini kerana tindakan menghindarkan segala bentuk kezaliman sebenarnya menjadi kewajipan yang perlu dipenuhi oleh semua terutama sekali oleh para pemimpin sebagaimana firman Allah:
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Hud[11:113]).
Apa salahnya jika wang ehsan itu disalurkan terus kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan kerana ianya tampak lebih bertamadun dan terhormat. Jika kehendak kerajaan Kelantan dipenuhi dengan penuh professional, sudah pasti doa buruk dari Nik Aziz tidak akan timbul sama sekali. Bahkan tidak mustahil, Nik Aziz dan rakyat Kelantan akan bersama-sama mendoakan kesejahteraan berpanjangan kepada kerajaan Pusat pimpinan Datok Seri Najib. Tindakan telus sedemikian juga mungkin akan menjadi batu nesan kerajaan Kelantan pimpinan PAS di dalam pilihanraya ke 13 nanti serta menambahkan lagi keyakinan rakyat Kelantan dengan slogan 1 Malaysia, Pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan.
Setiap pagi, dua orang malaikat turun kepada masing-masing hamba. Kepada Allah, mereka memohon agar mengganti harta orang yang bersedekah dan membinasakan harta orang yang kikir. Sebagaimana dalam sabda nabi berikut, "Tidak ada suatu hari yang para hamba berada di paginya, melainkan turunlah dua orang malaikat. Salah satu dari malaikat berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pengganti kepada orang yang bersedekat. Dan yang satu lagi berdoa: Wahai Tuhanku, berilah kerusakan harta kepada orang yang tidak mau bersedekah".
ReplyDeleteapa cerita malaikat yg kedua tuh???
ReplyDeleteAssalamualaikum, secara tak sengaja saya terlayar blog saudara. membaca sedikit sebanyak, nampaknya sdr minat isu-isu tentang Islam dan tokoh Islam. Saudarapun mengajar di institusi ilmu berkaitan dgn Islam.
ReplyDeleteApa pendapat saudara tentang tulisan-tulisan dalam: yayasan-ilmu.blogspot.com/
yayasan ilmu! TQ kerana berminat dgn blog saya,saya meneliti sedikit sbyk blog saudara,bagus,hadith2nya disertakan dgn takhrij,itu tanggungjawab orang yang menulis ttg agama mesti jelas sumber ambilannya..main blog ni,kalau boleh jgn layan sgt masalah khilafiah,tak byk manafaat kpd para pembaca,cuba elakkan isi blog saudara jadi sasaran org2 yg minat bergaduh..itu lbh harmoni,nanti kalau ada masa saya akan link blog saudara kpd blog saya,TQ
ReplyDeletesejak doa TGNA.. bermula dengan Kemarau, kisah sultan, balak, Kickdefella mcm-mcm semua di Kelantan...Maha suci Allah..moga2 kita sama-sama mengambil iktibar dengan mesejnya...
ReplyDelete