Friday, January 30, 2009
KALAULAH PEMIMPIN ISLAM YANG LAIN SEBERANI INI!
Isu Gaza: Erdogan ‘naik angin’ tinggalkan sidang Davos
BENGANG... Recep Tayyip Erdogan berjalan keluar melintasi Peres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa (kanan sekali) selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres mengenai isu keganasan rejim Zionis pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, semalam. – AFP
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meninggalkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung serangan tentera Zionis di Genting Gaza.
Dalam detik paling dramatik yang jarang berlaku pada forum dunia itu, Erdogan berjalan keluar melintasi Peres dan Setiausaha Agung PBB,
Ban Ki-moon selepas dia ‘dipaksa’ memendekkan ucapannya mengenai isu keganasan Israel itu.
Erdogan sedih kerana hadirin yang terdiri daripada elit politik dan tokoh perniagaan memberi tepukan menyokong ucapan Peres mengenai kewajaran serangan ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1,300 penduduk..
Sekembalinya dari Davos, Erdogan semalam diberi sambutan sebagai wira oleh ribuan rakyatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul.
Thursday, January 29, 2009
Berserban menaiki motor bukannya sunnah!
Sumber dari : Ustaz Maszlee Malik
Adalah menjadi satu pemandangan yang biasa bagi kita melihat orang memakai serban ketika menaiki motor samada penunggang tersebut seorang yang beragama Sikh mahupun seorang yang beragama Islam.
Bagi orang Sikh, perbuatan mereka itu dijustifikasikan dengan doktrin pemakaian serban yang wajib bagi mereka. Bukan hanya sekadar serban, malah rambut panjang yang tidak digunting itu pun merupakan syiar bagi agama mereka. Tanpa perkara tersebut, mereka dikira telah melanggar kewajipan agama, samalah seperti umat Islam yang tidak menutup aurat ataupun meninggalkan solat.
Bagi umat Islam pula, pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib. Hatta Ayatollah-Ayatollah di Iran yang menjadi marja' sekalipun tidak pernah mengatakan serban adalah wajib bagi setiap umat Islam. Pemakaian serban ketika menaiki motor di kalangan umat Islam adalah lebih kepada kebiasaan dan adat sesuatu tempat demi mengekalkan penampilan mengikuti sunnah tersebut hatta ketika menaiki motor sekalipun.
Menariknya, jika para penunggang muslim memakai serban ketika mereka menunggangnya di kampung-kampung atau pun felda-felda ianya adalah sesuatu yang agak normal dan tidak pula membahayakan memandangkan jalannya tidak sibuk dengan kenderaan-kenderaan besar yang lain.
Yang agak mengundang persoalan ialah jika pemakaian tersebut oleh penunggang-penunggang motorsikal yang membawa motorsikal di Bandar-bandar besar seperti Johor Baharu, Ipoh, malah di Kuala Lumpur. Dengan kesesakan dan kesibukan jalan raya yang mengundang kemalangan-kemalangan yang tidak berbau adakah perbuatan tersebut logik dan boleh diterima Islam?Artikel ini akan cuba membuka minda para pembaca sekelian agak berfikiran lebih rasional, menuruti al-Quran, sunnah dan ruh Islam itu sendiri serta menjauhi campur tangan emosi, nafsu dan juga ketaksuban.
Sunnahnya serban Umat Islam berijmak bahawa pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib bagi setiap muslim yang mukallaf. Barang siapa yang berijtihad bahawa pemakaian serban itu adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf ternyata dia telah melakukan satu kesilapan yang besar dan malah boleh dikategorikan sesat lagi menyesatkan yang lain. Tidak terdapat satu ayat pun di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis, baik yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan perkara tersebut. Hatta hadis-hadis yang dhaif (lemah) pun tidak menunjukkan kewajipan tersebut.
Maknanya kini, yang tinggal adalah hukum berserban itu samada sunat ataupun harus. Sebelum membicarakan perkara tersebut, adalah lebih baik jika kita meninjau hadis-hadis berkaitan dengan serban. Dalam kes ini penulis menjauhi dan meminta dijauhi daripada hadis-hadis maudhu' (palsu) dan juga dhaif berkaitan pemakaian serban. (Di dalam kitab “al-Laali al-Masnu'at” tulisan Imam al-Suyuti (mati 911 Hijrah) beliau telah menyatakan hadis-hadis palsu dan dhaif yang amat sangat berkaitan dengan galakan pemakaian serban. (Lihat: al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'at. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, j. 2, hal. 220-221). Kebanyakan hadis-hadis yang berkaitan pemakaian serban hanyalah hadis-hadis yang menerangkan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. sahaja.
Yang menariknya tidak terdapat satu pun hadis yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W. menyeru ataupun menggalakkan umatnya memakai serban. Antara hadis-hadis berkaitan dengan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. banyak boleh didapati di dalam kitab-kitab berikut:
a) Di dalam kitab “Zaad al-Ma'aad” tulisan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, beliau ada membawa hadis-hadis berkaitan dengan bentuk serban Rasulullah S.A.W., warnanya dan juga nama serban tersebut. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma'aad. Jil.1, hal. 143)
b) Di dalam kitab “al-Syamail al-Muhammadiyyah”, pengarangnya Imam al-Tarmidhi juga telah menghimpunkan banyak sekali hadis berkaitan bentuk serban Rasulullah S.A.W. dan juga keadaan bila Rasulullah S.A.W. memakainya.(al-Tarmidhi, al-Syamaail al-Muhammadiyyah, Mekah: Maktabah al-Baaz. hal. 105-107).
Dari hadis-hadis yang telah disebutkan ternyata sekali hadis-hadis tersebut dan banyak lagi hadis-hadis lain dari rujukan yang pelbagai hanya menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. memakai serban yang kadangkala berwarna putih dan kadangkala berwarna hitam. Baginda juga kadangkala memakai satu ekor, dan kadangkala dua ekor dan adakalanya tidak berekor. Baginda juga menamakan serbannya dengan nama yang tertentu. Jika dilihat dalam keseluruhan hadis-hadis lain pula, baginda tidak pula memakainya selalu dan mewajibkannya. Ada waktu bagainda hanya memakai penutup kepala sahaja (Ibn al-Qayyim, ibid. j.1, hal. 43), ada waktu baginda tidak memakai apa-apa di kepala pun sehinggakan para sahabat dapat melihat fesyen rambut baginda S.A.W. (lihat: al-Tarmidhi, ibid. hal.105-107)
Kesimpulannya, kedudukan serban sebagai sunnah Rasulullah S.A.W. adalah tidak boleh disangkal. Jika seseorang memakai serban dengan niat untuk mencontohi Rasulullah S.A.W. maka dia akan memperolehi pahala sunat. Jika dia memakainya kerana adat dan kebiasaan, hukumnya adalah harus sahaja.Mengapa penunggang memakainya?Jadi jelaslah kepada kita bahawa pemakaian serban di dalam Islam itu hukumnya hanyalah harus, namun jika pemakainya berniat hendak mencontohi Rasulullah S.A.W. maka ianya bertukar menjadi sunat (ini berdasarkan hadis: “Sesuatu amalan itu dikira berdasarkan niatnya, hadis riwayat Omar di dalam al-Bukhari dan Muslim).
Pada waktu itu pemakaian tersebut akan termasuk di dalam kategori sunnah fadhail (kelebihan-kelebihan), iaitu sunnah yang didapati dengan mencontohi perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang tidak bersifat Tasyri' (hukum). Makanya pemakaian tersebut bukanlah bersifat wajib sehingga para penunggang motorsikal yang beragama Islam tidak boleh menanggalkannya ketika menaiki motorsikal seperti halnya mereka-mereka yang beragama Sikh yang diwajibkan sentiasa melindungi kes (tocang mereka) dengan serban selepas melalui upacara Dastar Bandhi.
Jadinya, apakah alasan yang terlalu besar sehinggakan para penunggang motorsikal beragama Islam tidak mahu memakai topi keledar dan beriltizam teguh dengan serban mereka ketika menunggang motorsikal hatta ketika berada di kota kosmopolitan sekalipun ???
i) MalasYa, inilah jawapan yang paling tepat. Ramai di kalangan penunggang tersebut malas untuk membuka serban mereka yang telah dililit kemas. Jika mereka memakai topi keledar, mereka terpaksa mengikat semula serban yang telah mereka leraikan. Ini akan membebankan mereka. Untuk menjustifikasikan tindakan mereka sekaligus menyembunyikan kemalasan mereka, maka dicarilah helah-helah untuk membela diri. Maka sunnah Nabi S.A.W. lah yang dijadikan alasan.Persoalannya, bukankah tindakan tidak memakai topi keledar itu merupakan satu undangan kepada risiko yang lebih besar. Allah S.W.T. di dalam al-Quran telah melarang umatnya dari mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194)Adakah berbaloi kerana sifat malas, kita mengundang kecelakaan yang boleh dikurangkan risikonya dengan memakai topi keledar ?
ii) Reaksi kepada sikhAda juga di antara pemakai serban itu berhujah dengan emosional mengatakan bahawa pemakaian serban mereka tiada beza dengan pemakaian serban oleh golongan Sikh. Hujah mereka, jika orang-orang Sikh boleh memakai serban ketika menunggang motorsikal, mengapa umat Islam tidak boleh???, ini sudah double standard!Persoalannya jika ramai di kalangan penunggang motorsikal dari kalangan orang Sikh yang mati akibat kemalangan kerana tidak memakai topi keledar, adakah kita juga hendak ikut ?, sunnah siapa yang kita hendak ikut???
iii) Pemahaman yang salah. Tidak kurang juga ada sesetengah umat Islam mempunyai pemahaman yang salah terhadap pemakaian topi keledar dan serban. Bagi mereka pemakaian serban adalah sesuatu yang mengundang rahmat dan penjagaan Allah. Jika mereka memakai serban maka Allah akan melindungi mereka sepanjang perjalanan. Mereka akan terlindung dari bahaya yang bakal menimpa, perjalanan akan lebih cepat, selamat dan mendapat pahala yang lebih. Pendekatan jika memakai serban ketika menaiki motorsikal, seseorang itu akan mendapat “karamah”, “ma'unah” malah kesaktian seperti cerita Puteri Gunung Ledang!Ada sesetengah golongan yang fanatik lagi, mereka memandang pemakaian topi keledar sebagai tidak Islamik, peniruan cara barat dan bertentangan dengan konsep tawakkal.
Atas dasar tersebut mereka memilih sesuatu yang lebih islamik, lebih kebal dan lebih hebat dari topi keledar, iaitu serban.
Apa yang sunnahnya?Persoalan yang timbul di sini ialah: Apakah sunnahnya ketika menaiki motor ?, apakah cara menaiki motor yang menepati kehendak Islam.Sebelum menjawab persoalan tersebut, perlu ditegaskan beberapa perkara asas agar tidak berlaku kekeliruan.
Yang pertamanya, pemakaian serban adalah sunat hukumnya dan bukannya wajib pada waktu-waktu biasa jika diniatkan untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Persoalannya jika pemakaian tersebut mengundang bahaya kepada nyawa dan keselamatan pemakainya ianya tidak lagi menjadi sunat, malah boleh menjadi haram.
Yang keduanya, penunggang-penunggang motorsikal amat terdedah kepada bahaya ketika berada di jalanraya berbanding dengan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Risiko untuk mereka mendapat kemalangan dan mendapat kesan daripada kemalangan adalah amat tinggi berbanding pengguna jalan raya yang lain.Statsitik Jabatan Pengangkutan Jalan telah menunjukkan daripada 298,651 kes kemalangan dan 6,282 kematian yang telah dilaporkan pada tahun 2003 sebanyak 3,548 kes telah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah kematian penunggang motosikal tersebut merupakan 56.5% daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya. Rekod Kementerian Pengangkutan juga menunjukkan sebanyak 58.7% kematian yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan oleh kecederaan kepala. Selain daripada itu bilangan penunggang motorsikal yang mati sewaktu kemalangan kerana tidak memakai topi keledar juga amat tinggi. Bahkan mereka yang memakai topi keledar pun ramai yang meninggal dunia kerana kecederaan yang mereka hadapi, apatah lagi mereka yang tidak memakai topi keledar!
Yang ketiganya, Islam amat mementingkan kehidupan dan nyawa. Di atas dasar inilah kita lihat Islam menggariskan banyak sekali hukum-hakam yang bertujuan menjaga nyawa dan kehidupan manusia. Bagi Imam al-Syatibi (mati 780 Hijrah), penjagaan nyawa adalah salah satu daripada objektif Syariah Islam itu sendiri. Islam menjaga nyawa dengan meletakkan hukum-hakam yang bersifat samada memastikan nyawa dan kehidupan akan terus terjaga dan terjamin kualitinya dengan menyuruh umat Islam menjaga kesihatan, makan yang baik-baik, tidak melakukan perkara-perkara yang menjejaskan kehidupan tersebut dan seumpamanya. Islam juga menjaga kehidupan manusia dengan melarang umatnya dari membunuh diri, melakukan perkara-perkara yang membahayakan nyawa dan diri mereka, melarang dari bunuh-membunuh dan juga melarang umat Islam dari membahayakan nyawa pihak lain dengan apa cara sekalipun kecuali dengan haknya.Keempat, Menunggang motorsikal adalah sesuatu yang baru.
Di zaman Nabi S.A.W. tiada motor, tiada kemalangan jalan raya. Maka untuk menentukan apa-apa hukum berkaitan dengan cara menunggang motor menurut kehendak Islam adalah melalui ijtihad yang berlandaskan maslahat umum (Masalih Mursalah).Menaiki motorsikal secara Islam dan Sunnah Di atas dasar inilah, ada beberapa panduan menaiki motorsikal mengikut cara Islam yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan juga sunnah. Antaranya:
a) Menjaga keselamatan ketika menaiki motorsikal - Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi “la darar wa la dirar”, yang bermaksud: “Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta, hal. 226 dan Ibn Majah di dalam kitab al-Sunan, hadis nombor: 2340 dan 2341)Huraiannya: hadis ini menunjukkan bahawa Islam melarang umatnya dari melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan diri mereka sendiri dan orang lain. Oleh itu sebarang perlakuan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah haram di dalam Islam. Berkait dengan menunggang motorsikal pula, segala perbuatan yang membahayakan diri seperti tidak memakai topi keledar, memakai selipar Jepun ketika menunggangnya, memandu dengan laju, tidak menggunakan lampu “signal” ketika membelok dan yang seumpamanya adalah haram di sisi syarak.
b) Membaca doa - Selain daripada usaha secara fizikal, usaha secara spiritual juga perlu. Di dalam bab Aqidah, ianya disebut sebagai usaha maknawi. Jika usaha fizikal (memastikan keselamatan ketika menunggang motorsikal) disertakan dengan usaha maknawi (dengan berdoa) ianya akan mengundang bantuan Allah dan juga penjagaannya. Usaha secara maknawi di sini ialah dengan membaca “Bismillah” sebagai sunnah dalam melakukan segala pekerjaan, membaca doa menaiki kenderaan, samada doa “Subhanalladhi sakhara lana….” ataupun doa “Bismillah majrehaa…” dan akhirnya membaca “Bismillah tawakkaltu 'ala Allah” ataupun “Bismillahi ladhi laa yadhurru …”. Ketika membacanya juga kita hendaklah berniat untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. dan juga merasakan kebersamaan dengan Allah S.W.T.
c) Memandu dengan cermat - Antara sunnah juga ialah memandu dengan cermat dan tidak memandu dengan cara yang membahayakan diri sendiri mahupun orang lain. Allah S.W.T. telah berfirman yang maksudnya : “Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194). Di atas dasar ini juga sebarang cara memandu motorsikal yang membahayakan seperti memandu melebih had laju, mencilok, peng maut, aksi kuda terbang dan yang seumpama dengannya adalah haram dan tidak dibenarkan oleh syarak.
d) Ikut undang-undang - Menunggang motorsikal yang menepati sunnah juga ialah menunggang dengan mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang berkaitan jalan raya telah digariskan sedemikian rupa demi memastikan keselamatan penggunanya. Kebanyakkannya digariskan berdasarkan kajian, statistik dan juga penelitian mereka yang professional untuk manfaat para pengguna jalan raya. Agak ironic bila ada sesetengah golongan mengatakan undang-undang jalan raya tidak wajib dipatuhi kerana ianya adalah undang-undang ciptaan manusia dan kita hanya wajib mematuhi undang-undang Allah sahaja. Kata-kata seperti ini hanya keluar dari mulut mereka yang jahil tentang hukum-hakam dan juga tidak memahami Islam yang sebenarnya. Undang-undang jalan raya seperti yang terdapat di Malaysia, walaupun ciptaan manusia, namun jika ianya bertujuan untuk menjaga maslahat umum termasuk di dalam kategori “Masalih Mursalah” di dalam ilmu Usul Fiqh yang dalam beberapa keadaan membawa kepada hukum wajib untuk dipatuhi jika ianya berkaitan dengan maslahat umum.
e) Tawakkal - Akhir sekali setiap penunggang motorsikal wajiblah bertawakkal kepada Allah ketika berada di atas jalan raya. Mengapa tawakkal di akhir sekali ?, kerana itulah anjuran Rasulullah S.A.W. kepada seorang sahabat yang membiarkan tunggangannya tanpa diikat ketika beliau hendak bersolat di masjid. Ketika baginda bertanya apakah tujuannya membiarkan tunggangannya tidak berikat, beliau menjawab bahawa itu adalah usaha tawakalnya. Baginda telah menyuruh beliau mengikat dahulu tunggangannya dan kemudian bertawakal kepada Allah, itulah konsep tawakkal yang sebenarnya.Dalam kes ini hendaklah para penunggang memakai topi keledar, memastikan motorsikal selamat ditunggang, lengkap berlampu, lengkap dengan stiker pantul cahaya, berdoa dan kemudiannya bertawakkal kepada Allah. Inilah baru dinamakan sunnah dan bukan hanya pada serban sahaja!
Kesimpulan
Kesimpulannya, pengamalan Islam dan sunnah yang sebenarnya adalah berdasarkan dalil dan rasional dan bukannya dengan mengikuti emosi semata-mata. Dakwaan memakai serban ketika menunggang motorsikal adalah sunnah adalah dakwaan yang diwarnai dengan emosi tanpa hujah dan dalil yang kuat. Tambah lagi perbuatan tersebut mengundang bahaya dan kemudaratan kepada penunggang itu sendiri. Islam sedari awal lagi, samada di dalam al-Quran, mahupun sunnah Rasulullah S.A.W. melarang umatnya dari membahayakan diri mereka. Adalah satu jenayah terhadap sunnah apabila kita melakukan sesuatu yang dilarang baginda dan kemudiannya menjustifikasikannya di atas nama sunnah.Fenomena berserban ketika menunggang motorsikal hanyalah secebis dari penyelewengan pemahaman sebenar terhadap Islam dari banyak lagi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh umat Islam di zaman moden ini.
Umat Islam haruslah melihat dalil-dalil di dalam hukum-hakam syarak secara keseluruhan dan bukannya secara serpihan-serpihan. Pemahaman Islam juga hendaklah melalui ruh tasyri' (falsafah Syariah) dan juga objektif syariah itu sendiri dan bukan semata-mata dengan kaca mata emosi dan taksub kepada sesetengah individu.Perlu diingat juga artikel ini bukanlah bertujuan untuk menghina serban, tetapi lebih kepada mengingatkan umat Islam agar tidak memburukkan imej berserban kerana kejahilan kita sendiri. Ingatlah kehidupan kita bukan untuk diri kita sahaja tetapi juga untuk umat Islam. Nyawa kita amat bermakna untuk Islam dan umat Islam, janganlah sia-siakannya dengan mengamalkan sesuatu yang kita sangkakan dari Islam, tetapi sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Tuesday, January 27, 2009
RESEPI PULIHKAN UMNO MENURUT AL-QURAN-ISLAMKAN UMNO
Tindakan keluar parti oleh ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Perak tambah memeritkan lagi UMNO setelah kekalahan yang dialaminya di Kuala Terengganu baru-baru ini. Berikutan kekalahan itu berbagai-bagai pihak telah tampil memberikan teguran serta cadangan tentang cara terbaik untuk memulihkan penerimaan masyarakat UMNO.
Sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh orang Melayu Islam, UMNO seharusnya melihat kepada fungsi Islam sebagai ubat yang paling mujarab untuk merawat sakit kronik yang dialaminya sekarang. Bangsa Melayu yang sudah sekian lama dimuliakan dengan Islam bukan dijadikan secara secara sia-sia oleh Allah s.w.t. Ini kerana makhluk yang sebesar langit dan bumi pun tidak dijadikan dengan sia-sia (al-Anbiya’ [21.16]), apatah lagi sebuah bangsa yang bertunjangkan agama Islam seperti bangsa Melayu. Kesatuan di antara Melayu dan Islam sudah pasti mempunyai hikmah dan sebab tertentu yang perlu diterokai secara mendalam dan dimanafaati oleh UMNO dewasa ini.
Proses pengislaman UMNO dengan neraca Islam yang sebenar merupakan langkah terbaik untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Apabila dikatakan pengislaman UMNO, ianya tidak bermaksud dengan menukar jenama Islam yang sudah dipakai sekarang ini dengan jenama baru yang lebih canggih atau menarik perhatian. Usaha tersebut tidak akan berguna sekiranya hanya kulit luar sahaja ditukar tetapi isinya masih mengekalkan amalan lama.
Kejayaan Islam memulihkan bangsa yang mundur dan dilanda krisis telah terbukti di dalam lipatan sejarah sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w di Tanah Arab. Bangsa Arab yang terkenal dengan kepercayaan karut, kemuduran, karat jahiliah dan kebebalan pemikiran telah berjaya diubah menjadi ummat terbaik (Ali ‘Imran [3:110]) hanya dalam tempoh yang singkat iaitu 23 tahun zaman kenabian baginda s.a.w.
Contoh terdekat dengan rantau ini ialah empayar kesultanan Melaka yang bertukar menjadi empayar gemilang setelah Islam bertapak di Istana Melaka. Tidak mustahil kegemilangan tamadun material dan rohani seperti Melaka berulang kembali di bawah pimpinan para pemimpin UMNO yang benar-benar kembali kepada Islam.
Sebenarnya UMNO yang telah berada di mercu kegemilangan telah dijangkiti oleh penyakit kemewahan melampau, keangkuhan dan kelalaian sepertimana yang telah berlaku kepada banyak tamadun dunia seperti kaum Saba’ (Saba’[34.15], kaum ‘Ad dan kaum Thamud (al-A’raf[7:65-79], Hud[11:50-68, al-Syu’ara’{26:123-159], Fussilat[41:13-18]).
Apabila menyebut tentang proses islamisasi yang sebenar, ianya melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga. Pengorbanan yang melibatkan kedua-dua aspek itu berkali-kali disebut oleh al-Quran sebagai membuktikan kepentingannya di dalam menjamin kejayaan sesuatu perjuangan. Di antara rujukan tentang kepentingannya yang dapat disebut ialah: (al-Nisa’[4:95-69], al-Anfal[8:72], al-Tawbah[9:20 & 88], al-Hujurat [49:15]).
Apa yang diperhatikan, budaya pengorbanan sebenar kelihatan sudah semakin terhakis di dalam UMNO. Ahli UMNO kelihatan lebih mementingkan poket sendiri berbanding pengorbanan memartabatkan perjuangan bangsa, agama dan negara. Menceburkan diri di dalam perjuangan UMNO bererti mengaut kekayaan segera serta kesenangan yang melimpah ruah yang kelihatan tidak setimpal dengan hasil usaha.
Untuk itu, sikap buruk tersebut perlu terlebih dahuilu diubah dan monopoli ekonomi berasaskan kerabat politik perlu dibendung agar semangat pengorbanan harta dan jiwa yang sebenar sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dapat disemai di kalangan para pemimpin UMNO.
Perjuangan bangsa Melayu yang didokong oleh UMNO hanya akan kembali bersinar dan diyakini rakyat Malaysia dengan penghayatan Islam. Tanpa Islam, UMNO akan ketinggalan ke belakang dan tidak mustahil suatu hari nanti akan pupus menjadi khazanah sejarah yang dipamerkan di muzium negara sebagai sebuah parti yang dahulunya pernah mencapai kegemilangan di dalam memerintah negara, akan tetapi jatuh tersungkur kerana telah dijangkiti oleh penyakit yang lazimnya memusnahkan banyak tamadun dunia.
Islam sepatutnya menjadi roh kepada bangsa Melayu yang didokong perjuangannya oleh UMNO. Satukanlah di antara Melayu, Islam dan UMNO dan jangan sekali-kali dipisahkan kerana tanpa Islam, bangsa Melayu dan UMNO sudah menjadi seperti jasad yang sudah tidak bernyawa. Hakikat ini sememangnya pahit untuk diterima, akan tetapi percayalah bahawa yang pahit itu adalah ubat yang pastinya akan bertukar menjadi manis apabila kesan penyembuhan kian tampak ketara.
KALAU UMNO TUKAR DASAR...MAHUKAH KITA MENJADI AHLINYA?
Sunday, January 25, 2009
KEPENTINGAN BAHASA DALAM ILMU
Riuh dibicarakan isu penggunaan bahasa Inggeris di dalam Sains dan Matematik. Ada berbagai pro dan kontra dari kedua-dua pihak yang masing-masing mempertahankan hujah mereka. Sebenarnya bagi saya, hujah kedua-dua pihak benar dan betul tetapi perlu dilihat secara saksama. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris amat penting, tetapi perlaksanaan yang tergesa-gesa kerana didorong oleh ahli politik yang mungkin berkepentingan memberikan tender percetakan buku Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada para sekutu dan kroni adalah tidak betul.
Pada pendapat saya masalah utama di dalam konflik ini campur tangan ahli politik. Benarlah pendapat mengatakan bahawa sesuatu perkara akan rosak apabila diserahkan kepada bukan ahlinya. Di satu sudut lain pula, orang-orang yang berjuang mempertahankan bahasa Melayu perlu juga sedar bahawa bahasa Inggeris penting di dalam dunia moden sebagai bahasa ilmu dan bahasa dakwah. Jangan diabaikan kepentingannya, berapa banyak pendakwah Islam yang gagal memasarkan Islam kepada golongan bukan Islam yang bahasa utama mereka adalah bahasa Inggeris?
Pengalaman saya bekerja di UIAM selama 8 tahun menunjukkan dengan jelas kepentingan bahasa Inggeris, contohnya saya agak terkehadapan dikenali dan dipercayai kerana memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang agak baik. Ramai ustaz-ustaz yang seangkatan masih berteleku di takuk lama kerana kurangnya penguasaan bahasa ini.
Dua hari lepas, saya terpegun apabila anak saya yang berada di darjah 3 bertanya umminya tentang satu teori Matematik dalam bahasa Inggeris. Saya kata ini satu perkembangan yang baik kerana semasa di darjah 3 dahulu, saya jauh sekali untuk bertanyakan soalan sedemikian dalam bahasa Inggeris.
Kesimpulannya kepentingan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sama-sama penting kerana kedua-dua memainkan peranan. Namun apa yang menimbulkan kontroversi adalah perlaksanaannya yang tergesa-gesa tanpa melalui proses kajian secara tabi'i.
Marilah kita renung firman Allah berkenaan kepentingan bahasa. Malangnya ayat ini pernah disalahguna oleh Kahar Rasul Melayu dari Ulu Kemensah yang mendakwa sebagai Rasul orang Melayu.
Pedulikan si Kahar yang gila, renungkan dan serasikanlah isu ini dengan kehendak al-Quran kerana al-Quran adalah pembimbing kita: Surah Ibrahim[14.4] Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
* SAYA BIASA MENGAJAR TAJWID DI UIAM DALAM BAHASA INGGERIS..IDGHAM MEANS TO COMBINE OR MERGE BETWEEN 2 LETTERS ...YOUR PUT THIS LETTER, THE DEAD LETTER INTO THIS LETTER THE LIVE LETTER AND THEN IT BECOME ONE..PUHH BROKEN GILA TU..TAPI ITULAH HAKIKATNYA KALAU KITA KURANG MAHIR DENGAN BHASA INI...RENUNGKANLAH!