Monday, January 25, 2010
PENGEMBARAAN ROH YANG JAUH
Lama sungguh saya tidak menulis. Ini didorong oleh kesibukan melampau dalam beberapa hari ini. Di antaranya kesuntukan masa untuk menjalani rawatan dialysis 4 kali sehari, mengambil & menghantar anak ke sekolah, mengemas rumah, bersedia dengan kelas awam, menyiapkan Tafsir Mudah Untuk Orang Awam dan macam-macam hal lagi. Terasa sungguh masa yang 24 jam sehari itu semakin hilang berkatnya.
Petang Ahad pula saya dikejutkan dengan berita kematian anak perempuan bongsu Dato Seri Ghani di Titiwangsa. Yati namanya. Beliau & ayahnya sama-sama menadah kitab belajar Tafsir al-Quran dengan saya di Masjid Titiwangsa. Saya beranggapan Dato Ghani seperti murid, guru, kawan dan ayah sendiri kerana hubungan kami yang begitu akrab dalam ilmu. Beliau amat cintakan ilmu, setiap kali pertemuan dengan saya mesti dihabiskan dengan perbincangan ilmu. Banyak yang saya belajar daripadanya.
Anak bongsunya sebaya saya dan berkahwin dengan Luqman, mualaf Cina. Pada Ramadhan 2 tahun lepas, saya dijemput untuk memimpin solat Terawih di rumah Dato Ghani. Saya masih lagi ingat, malam ke 22 Ramadhan kerana pada malam itu saya membaca ayat-ayat dari surah al-Ahzab di dalam juzuk 22. Seperti biasa sebelum solat, saya mengulas isi kandungan juzuk 22 secara ringkas. Antara yang utama diulas ialah ayat ke 59:
[33.59] Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Saya katakan bahawa arahan menutup aurat bukanlah suatu yang sunat tetapi wajib dan tidak boleh diabaikan. Selepas Ramadhan, Datin Seri Seri Wilson memberitahu kepada saya yang Yati sudah bertudung. Bila ditanya kenapa, Yati memberitahu ibunya: Ustaz Bukhari kata wajib! Saya amat bersyukur dengan perubahan ini.
Namun begitu Allah lebih sayangkan Yati, pada petang Ahad, beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Alor Star. Diringkaskan cerita, semalam (Isnin 25 Januari 2010)sepagi suntuk saya berada di rumah Dato' Ghani bersama Ustaz Wan Rusli, bersolat & menunggu sehingga urusan pengkebumian Yati disempurnakan. Yang menyedihkan ialah anak arwah, Nadira baru berusia 2 tahun setengah sehingga akhir menunggu & melihat ibunya dikebumikan. kadang-kadang si anak bertanya kepada makciknya ; Kenapa ibu duduk dalam tanah tu?
Malamnya saya sekeluarga ke rumah Dato' Ghani untuk bertahlil. Walaupun keletihan, saya gagahkan juga kerana Dato' Ghani sendiri yang mengajak semasa di tanah perkuburan Titiwangsa. Selesai mengimamkan solat Isyak, Dato' Ghani meminta saya menyampaikan sedikit tazkirah sementara menunggu jemaah dari Masjid yang akan memimpin Tahlil. Sebelum solat Isyak, Luqman (suami arwah) telah bertanya kepada saya di mana Yati sekarang? Soalan ingin tahu daripada seorang mualaf.
Berikutan soalan Luqman, saya memilih tajuk PENGEMBARAAN ROH MANUSIA sebagai tazkirah selepas solat tersebut.
Roh manusia sebenarnya makhluk yang kekal, jasad manusia hanyalah sarang yang ditumpangi sebentar oleh Roh yang akan menempuhi 5 alam iaitu:
1 - Alam arwah di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A'raf: 172). Oleh sebab pensaksian inilah, manusia yang lahir di dunia dikira sudah berada di atas fitrah iaitu Islam. Bahkan mana-mana orang yang meninggal dunia sebelum baligh masih dikira Islam.
2 - Alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama 9 bulan (al-Najm: 32).
3 - Alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2). Ramai yang terleka di sini sehingga mengakibatkan mereka kerugian di dua alam seterusnya.
4 - Alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mu'minun: 99 & 100). Saya jelaskan bahawa Yati sekarang berada di sini. Perjalanan roh ini berbentuk sehala dan mustahil boleh berpatah balik seperti kepercayaan karut masyarakat Melayu yang percaya roh balik pada waktu tertentu seperti malam jumaat dan sebagainya.
5 - Alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An'am: 27-29).
Seterusnya saya menegaskan bahawa hubungan orang yang hidup di dunia dengan arwah di alam barzakh masih belum terputus. Kita senantiasa diarahkan agar berdoa kepada arwah seperti doa ini:
al-Isra'[17.24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Selain itu, saya juga menegaskan bahawa hubungan di antara anak & ibu bapa juga perlu adil saksama. Bukan hanya anak yang perlu menjadi soleh untuk mendoakan ibu bapa mereka, bahkan ibu bapa juga perlu soleh dan mendoakan anak-anak mereka. Ini berdasarkan firman Allah:
al-Tur 52.21] Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.
Ayat ini menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka. Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)).
Bahkan, ibu bapa yang soleh mampu memberikan manafaat berpanjangan kepada anak-anak yang masih hidup seperti firman Allah:
18.82] Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
Kisah Khidir menegakkan dinding rumah anak yatim yang hampir tumbang mengandungi rahsia tertentu iaitu; menjaga harta anak-anak yatim yang tertanam di bawah rumah serta berkat ibu bapa mereka yang soleh. Ini menjadi dalil bahawa ibu bapa yang soleh memberikan kesan kepada anak cucu(Tafsir al-Razi)
Di akhir tazkirah saya, saya katakan kita mengharapkan kesolehan Dato' Ghani akan dapat membantu Yati di alam barzakh sebagaimana kisah Khidir terdahulu. Apabila sampai kepada kenyataan ini, saya melihat Dato' Ghani mulai sebak, lalu saya pun turu sebak dan terpaksa mengakhiri tazkirah tersebut.
SEMOGA YATI TERGOLONG DARIPADA HAMBA-HAMBA ALLAH YANG SOLEH, AMIN!
No comments:
Post a Comment