Sunday, February 21, 2010

Penilaian Semula Tarikh Kelahiran Dan Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

DIPETIK DARIPADA: http://www.darulkautsar.net
Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.

Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bida’ah).


Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 – 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.


Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)


Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:


· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:

· Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H

· Dalam bulan Rabiul Awwal

· Antara 1hb. Hingga 12hb.

· Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)

· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).

· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2 hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w. seperti berikut:

o Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.

o Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Selain daripada dua andaian tersebut itu, terdapat enam andaian lagi seperti yang terdapat dalam jadual berikut:

Jumlah hari bagi bulan Tarikh Hari Isnin dalam bulan Rabiul Awwal

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (29) Safar (30) 1 8 15

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (30) 7 14 21

Zulhijjah (30) Muharram (30) Safar (29) 7 14 21

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (30) 7 14 21


Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15 dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.

Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.


Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

4 comments:

  1. Berikut merupakan catatan yang menguatkan lagi cerita-cerita mereka yang melihat sambutan Maulidurrasul (s.a.w). Catatan ini bersumber daripada 3 ahli sejarah abad ke -10 hijrah yang dianggap mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tiada tandingannya pada zaman tersebut, Ibnu Huhayra didalam kitabnya al-Jami' al-Latif fi Fasl Makkah wa ahliha (ms.326), al - Hafiz Ibnu Hajar al-Haytami didalam kitabnya al-Mawlid ash-Sharif al-Mu'azzam dan al-Nahrawali didalam kitabnya al-I'lam bi-a'lam Bayt Allah al-Haram (ms.205).

    Pada 12hb Rabi'al al-Awwal setiap tahun selepas solat al-Maghrib keempat-empat (wakil keempat-empat mazhab) Qadi kota Makkah dan sekumpulan besar orang yang terdiri daripada para fuqaha' (ulama) dan fudala' (mereka yang utama) kota Makkah, Shaykh-shaykh, pemimpin-pemimpin zawiyah dan murid-murid mereka , para ru'asa' (hakim-hakim) dan para muta'ammamin (ulama) meninggalkan masjid dan pergi secara beramai-ramai untuk menziarahi tempat kelahiran Nabi sambil berdzikir dan membaca tahlil (LA ILAHA ILLALLAH). Rumah-rumah terletak sepanjang jalan tersebut diterangi dengan lampu-lampu dan lilin-lilin besar dan ramai daripada penghuni-penghuni rumah-rumah tersebut memenuhi jalan tersebut. Mereka semua memakai pakaian baru dan membawa anak-anak mereka bersama-sama. Setibanya ditempat kelahiran Nabi (s.a.w) doa khas pun dibacakan dan karamah-karamah yang berlaku semasa kelahiran Nabi (s.a.w) pun dibacakan. Seterusnya doa untuk Sultan, Amir Makkah dibacakan dan Qadi yang bermazhab Shafi'i dibacakan dan kesemua mereka berdoa dengan penuh merendah diri. Sebelum solat al-'Isha, rombongan tadi pun kembali ke Masjidil Haram yang dipenuhi oleh manusia dan mereka mengambil tempat dan membentu saf dikawasan Maqam Ibrahim. Di Masjidil Haram, seorang penyeru akan bertahmid (AL HAMDULILLAH) dan bertahlil dan sekali lagi berdoa untuk Sultan, Amir dan Qadi yang bermazhab Shafi'i. Seterusnya, azan untuk solat 'Isha dilaungkan. Selepas solat al-'Isha, mereka pun bersurai. Peristiwa yang serupa ini juga dirakamkan oleh al-Diyarbakri (meninggal 960) didalam kitabnya Ta'rikh al-Khamis.

    Apakah mereka para ulama' para fudala' dahulu tidak tahu akn kesahihan kelahiran Nabi SAW?

    Tinggikah ilmu kita berbanding ilmu mereka?
    Kita yg masih membaca buku2 ulama'2 terdahulu. Masih rujuk kamus jika tidak memahami makna2 perkataan. Sembahyang lima waktu pun masih belum tentu pd awl waktu. Sedangkan mereka adalah pengarang2 kitab, mereka mengeluarkan fatwa. Tiap2 malam mereka, mereka berqiamulail. Mereka para ulama' itu adalah yg mendapat hidayah Allah.
    Jadi, siapa kita hendak menyelidik semula ttg tarikh kelahiran Nabi SAW? Cukupkah ilmu? Tinggikah iman kita utk m'dpt hidayah Allah?

    ReplyDelete
  2. Akh Syahir, kalau anda bersetuju dgn pendapat 12 Rabiul Awwal tidak mengapa,kerana ana bersetuju dgn kajian 9 Rabiul Awwal. Kalau anda mengatakan rujukan anda ulama' muktabar yg soleh, apa kurangnya ulama yg mengatakan 9 Rabiul Awwal?

    Berhujah dgn menggunakan kesolehan amalan ulama sebenarnya tidak kukuh utk menegakkan sesuatu idea dan fakta. Tidak dinafi solehnya ulama boleh megelakkan daripada penyelewengan fakta, tetapi lebih elok kalau sifat soleh diserta dengan saintifik.

    Bukan juga saya katakan pendapat ulama yg anda utarakan itu, tidak saintifik, tetapi nampak kelihatan lebih kepada pengakuan masyarakat Mekah..boleh jadi pendapat 9 tersilap, tapi boleh jadi juga pendapat 12 tersilap. Tetapi lebih pendapat 9 selesa diterima krn disokong dengan kajian falak dan sebagainya.


    Kata-kata anda yang berbunyi:

    (Tinggikah ilmu kita berbanding ilmu mereka? Kita yg masih membaca buku2 ulama'2 terdahulu. Masih rujuk kamus jika tidak memahami makna2 perkataan. Sembahyang lima waktu pun masih belum tentu pd awl waktu. Sedangkan mereka adalah pengarang2 kitab, mereka mengeluarkan fatwa. Tiap2 malam mereka, mereka berqiamulail. Mereka para ulama' itu adalah yg mendapat hidayah Allah....
    Jadi, siapa kita hendak menyelidik semula ttg tarikh kelahiran Nabi SAW? Cukupkah ilmu? Tinggikah iman kita utk m'dpt hidayah Allah?)

    Ana cukup tidak selesa dgn kata2 sedemikian kerana seolah2 cuba menutup perkembangan ilmu, kebebasan berpendapat, mengkaji, dan menuntut ilmu. Seolah-olah, jangan TANYA,TERIMA SAHAJA APA ORANG DULU2 CAKAP, ANDA TU SIOLAT PUN LEWAT,ILMU X SEBERAPA. Sedang al-Quran suruh mengkaji dan belajar!

    Apa2 pun, yg penting bukan mempertahankan tarikh 9 atau 12 tetapi sejauh mana kita mengenag Rasulullah..sekian.

    Kalau anda tetap x setuju, itu hak anda...tapi TQ kerana bagi info tambahan ttq 12 hb!

    ReplyDelete
  3. Tidak salah jika anta ingin mengambil pendapat 9 rabiulawal tarikh kelahiran junjungan SAW. Sy hormati pendapat itu. Tetapi pd sy, adalah lebih jika anta tidak mengetengahkan pendapat itu di tgh2 masyarakat bg mengelakkan perpecahan dan kekeliruan umat dan juga merupakan salah satu drpd adab2 menghormati keadaan sekeliling masyarakat yg sudah menerima tarikh 12 rabiulawal sebagai tarikh kelahiran junjungan SAW.

    Anta berkata :

    "Ana cukup tidak selesa dgn kata2 sedemikian kerana seolah2 cuba menutup perkembangan ilmu, kebebasan berpendapat, mengkaji, dan menuntut ilmu. Seolah-olah, jangan TANYA,TERIMA SAHAJA APA ORANG DULU2 CAKAP, ANDA TU SIOLAT PUN LEWAT,ILMU X SEBERAPA. Sedang al-Quran suruh mengkaji dan belajar!"

    Ana menjawab :

    Adalah sekiranya anta kata kita boleh memberikan kebebasan pendapat, maka tunggulah saat rosaknya agama ini. Ini kerana mereka yg bukan ahlinya juga turut mahu berada di tgh2 masyarakat. Pembawaan yg anta bawa ini lebih kepada trend Barat yg mana setiap org bebas mengeluarkan pendapat masing2(hak kemanusiaan).
    Maka telah berkata ulama':
    " Apabila byk berkata-kata drpd mulut org jahil, maka timbullah byk perselisihan".
    Jadi,eloklah sekiranya kita bersikap tawaduk dan rendah diri kepada ilmu dan para ulama'.
    Kita serahkan sesuatu tugas itu kepada ahlinya. Atau sekiranya kita tidak setuju dgn ahli-ahli itu, maka eloklah kita berbincang terlebih dahulu dan meminta pendapat mereka. Itu adalah lebih baik utk diri kita dan umat ini. Wallahu'alam. Maaf slh silap.

    ReplyDelete
  4. Tarikh 9 tu kuat juga syeikh!ulama' yg pegang tu pun hebat2 juga bukan koman2,apa salahnya ana bertaqlid dgn pendapat mrk..cuma 12 tu masyhur sangat dikalangan org kita,kedua2 tarikh tu diterima ulama'(baca betul2 rencana tu).

    Bila kita buka perbincangan bukan kita x beradab dgn ulama' yg pegang 12,hormat juga,ulama' adalah suluhan jalan kita.

    Kalau asyik2 kita nak mengelak drpd membuka minda masyarakat dgn pendapat kedua-ketiga yg masih dlm perbincangan ilmiah,mcmnlah masyarakat umat Islam nak berkembang.

    Saya bagi contoh! umat islam di Malaysia percaya jumlah ayat al-Quran 6666, saya ketengahkan jumlah sebenar mengikut ilmu Fawasil adalah 6236 (mengikut ulama' kufah), lalu ada org kata :

    Adalah lebih jika anta tidak mengetengahkan pendapat itu di tgh2masyarakat bg mengelakkan perpecahan dan kekeliruan umat dan juga merupakan salah satu drpd adab2 menghormati keadaan sekeliling masyarakat yg sudah menerima jumlah 6666 sbg jumlah ayat al-Quran.

    kalaulah tarikh 12 sudah Qat'i,kita akan berkata kpd org yg bawa 9 pengacau & tak beradab..tapi oleh krn semuanya masih zanni (cek fatawa al-Azhar dr Syeikh Atiyah saqar)..eloklah kita dedahkan kpd masyarakat supaya mrk lebih terbuka kpd ilmu.

    Ana tak bersetuju kalau kita kata,tarikh 12 adalah sesat,tak betul..tapi kalau kita kata ulama' masih berselisih ttg tarikh..tapi ana rasa 9 lbh tepat & saintifik..apa salahnya.

    Alasan takut org awam keliru,menimbulkan perpecahan, bagi ana masih lemah & sempit.

    Anta dah merasa ni'mat jadi org berilmu,kenal nas dan dalil..berilah juga orang awam kita peluang merasa ni'mat yg sama..buka ruang kepada mereka dgn perbincangan ilmiah..TETAPI DENGAN BERADABLAH..DAN ANA TAK NAMPAK PULA RENCANA DLM BLOG ANA NI TAK BERADAB.

    ReplyDelete