Saturday, August 14, 2010

RAHMAT DI SEBALIK SAKIT-KEAJAIBAN ILMU ALLAH

Alhamdulillah, hari ini saya sudah semakin sihat. Sudah dibenarkan pulang kuarantin di rumah pula. Semalam dah mampu untuk bersolat berdiri. Rasa ajaib apabila tidak lagi perlu memikirkan untuk melakukan dialisis air sebanyak 4 kali sehari.

Dalam surah al-Dhariyat Allah berfirman:
[51.21] Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

1) Ayat ini sememangnya menunjukkan kepada kita keajaiban pada tubuh badan manusia yang diciptakan Allah. Keajaiban ini sudah banyak diterokai oleh manusia dengan ilmu perubatan moden.

2) Sebenarnya sakit yang saya alami hampir selama 10 tahun adalah tarbiyah untuk lebih memahami ayat di atas. Sebelum sakit, saya tidak pernah mempedulikan aspek kesihatan walaupun kita sudah saban hari membaca al-Quran. Mungkin kesedaran itu tidak datang kerana hanya saya membaca al-Quran secara bertajwid tanpa menghayati Tafsirnya.

3) Pada tahun 2001, ketika membuat ujian 24 hours urine di UIA, pekerja Lab UIA sudah menyebut..kamu ni ada sakit buah pinggang ke? urine kamu ada protein. Saya langsung tidak mempedulikan kenyataan tersebut. Kenapa? Kejahilan diri sendiri tentang bahaya penyakit ini.


4) Setelah disahkan mengidap penyakit ini pada tahun itu, barulah saya memahami rahsia kejadian tubuh manusia melalui kajian perubatan moden yang cukup saintifik. Maksud saintifik di sini adalah sesuatu yang boleh diukur mengikut ketetapan sunnah Allah. Bermula dari saat itu juga penghormatan saya kepada ilmu perubatan moden semakin menebal kerana konsistensi pada setiap fakta yang dinyatakan oleh para doktor.

5) Berbeza dengan perubatan alternatif yang tumbuh bagai cendawan sekarang, kebanyakannya berpegang kepada unsur spekulasi kosong serta testimoni orang ramai yang tidak layak dijurnalkan secara akademik atau disahkan secara klinikal. Perlu diingat semua, Islam cukup menitik beratkan aspek bukti dan dalil. Pendalilan serta pembuktian fakta cukup kuat dan penting dalam perubatan moden. Satu kisah menarik, dalam kelas Tafsir al-Quran Untuk Orang Awam saya pada hari Jumaat di UIA ada seorang Doktor perubatan (Dato' Dr. Zin-mantan pengarah kesihatan kementerian pertahanan Malaysia). Pernah sekali saya mengulas ayat dari surah Qaf:
[50.22] (Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".

6) Saya bergurau dengan para pelajar: sesetengah orang percaya ayat ini mampu mengekalkan kecerahan mata. Lalu seorang wanita membenarkan dakwaan saya kerana beliau pernah berjumpa dengan seorang tua yang masih terang penglihatan matanya kerana selalu mengamalkan ayat ini. Dr Zin segera menyangkal dengan menyatakan pengakuan seorang pesakit tidak boleh menjadi hujah membenarkan fungsi ayat ini untuk mengubati penyakit mata. Pihak yang mendakwa sedemikian perlu mengambil 500 pesakit mata yang sama, lalu diarahkan untuk membaca ayat yang sama dalam kekerapan yang sama dalam tempoh masa yang sama. Selepas itu kesemua pesakit akan diulang uji bagi melihat kesannya. Sebarang keputusan dari ujian itu, barulah boleh membuktikan kebenaran atau kepalsuan dakwaan tersebut. Saya terpegun dengan kata-kata Dr. Zin. Ini mentaliti yang cukup saintifik!

7) Saya lalu menenangkan ketegangan dengan berkata. Keduanya betul cuma pendapat Dr Zin lebih dekat dengan roh kajian Islam, tetapi Dr Zin tidak juga boleh menafikan mukjizat al-Quran. Cuma aspek keajaiaban (mukjizat, ma'unah, karamah) terlalu abstrak dan hanya berlaku pada sesetengah orang terpilih sahaja. Oleh itu, adalah lebih baik jika dikatakan begini: Untuk mejaga mata, kita perlu mengikut hukum alam yang dikaji oleh perubatan moden. Jangan mendedahkan mata kepada kerosakan yang tidak sepatutnya. Pada masa yang sama bacalah ayat itu dengan doa ianya dapat membantu mengekalkan penglihatan kita. Semua InsyaAllah gembira dengan jawapan itu..anda bagaimana?

8) Selepas bertahun mendekati doktor dan hospital, saya berani mengatakan perubatan moden tergolong juga dalam aspek perubatan Islam kerana roh Islam dan penghayatan kepada ayat terdahulu. Bahkan, umat Islam perlu meletakkan sasaran bidang kedoktoran sebagai bidang kritikal yang perlu dikuasai.

9)Berikut ini saya sertakan gambar bagaimana buah pinggang baru berfungsi untuk meneruskan kelangsungan hidup saya. Doakan saya agar anugerah baru ini dapat membantu saya untuk lebih bersyukur dan meneruskan perjuangan menegakkan Islam melalui medium kepakaran saya (al-Quran dan Tafsir).




1 comment:

  1. Salam . Boleh saya tahu bagaimana untuk sembuhkan kembali kedua-dua belah buah pinggang yang rosak ?

    ReplyDelete