Tuesday, August 30, 2011
KHUTBAH AIDIL FITRI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, SELASA 30 OGOS 2011
Selepas 2 malam menjadi imam terawih dan membuat tazkirah ringkas, pihak surau berhampiran rumah mentua meminta saya untuk memberikan khutbah pada Hari Raya, namun permintaan itu saya tolak kerana pada hari raya tahun lepas saya sudah terlepas peluang untuk mengikuti khutbah Aidil Fitri Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana baru sahaja menjalani pembedahan buah pinggang. Peluang tahun ini tidak akan dilepaskan untuk mendengar butiran hikmah Tuan Guruku ini. Berikut adalah ringkasan khutbah beliau pada tahun ini. Tangan saya rancak menyalin intisarinya untuk dipaparkan dalam blog ini, namun begitu ia mungkin tidak setepat rakaman sebenar. Oleh itu saya mengolah teks beliau untuk dikongsi bersama di sini.
1) Allah tidak pernah menghalang fitrah manusia yang mahukan kegembiraan. Fitrah ini perlu disalurkan mengikut kehendak Allah. Semasa berada selama 13 tahun di Mekah, umat Islam susah nak bergembira dan mengamalkan agama kerana penindasan kerajaan Mushrikin Mekah. Ni'mat kebebasan beragama dan berhari raya hanya mulai dirasai setelah berhijrah ke Madinah. Kesimpulannya hari raya yang disambut umat Islam bukan hanya sambutan anjuran kerajaan seperti lazimnya berlaku dalam sesebuah negara, tetapi ia adalah anjuran Allah Penguasa Alam, sehingga puasa pada hari itu pun diharamkan sama sekali. Bahkan sesiapa yang cuba berpuasa pada hari itu akan berdosa.
2) Sambutan hari raya yang disertai takbir adalah manifestasi syukur kepada Allah yang telah mengurniakan hidayahNya kepada kita. Ini difahami dari firman Allah:
ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدىٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Ertinya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas PETUNJUKNYA yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
Hidayah itu pula bukan menjadi milik kita yang boleh diambil atau dibuang dengan mudah seperti kita menekan atau menutup suis lampu di rumah kita. Ia adalah milik mutlak Allah, namun tingkah laku kita juga memainkan peranan untuk memudahkan hidayah Allah menjengah masuk ke hati kita. Ini berdasarkan firman Allah:
وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَءاتىٰهُم تَقوىٰهُم
Ertinya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa (Muhammad[47:17]).
3) Bulan Ramadhan yang baru berlalu adalah bulan puja umur al-Quran (Istilah sambutan hari lahir bagi para raja menurut budaya orang Kelantan). Selain hari raya yang menjadi sambutan tahunan, umat Islam juga perlu mendengar khutbah mingguan pada hari Jumaat. Antara rukun yang perlu dilaksanakan dalam khutbah mingguan atau tahunan ini adalah untuk mendengar bacaan ayat al-Quran tanpa mengira jenis ayatnya. Rukun ini bertujuan mengajar umat Islam untuk menghayati al-Quran secara konsisten. Khatib pula perlu memetik ayat yang boleh disesuaikan dengan isu semasa. Dengan ini, umat Islam akan sedar fungsi al-Quran kepada kehidupan mereka. Malangnya sesetengah umat Islam hanya membaca al-Quran untuk tujuan tertentu sahaja seperti mendapat pahala, dilagukan dan untuk menghalau pelesit. Sepatutnya al-Quran dihayati dan digali hikmahnya untuk kegunaan hidup.
3) Mengapa boleh berlaku isu murtad? Secara teorinya, orang Melayu semenjak zaman Parameswara memeluk Islam bukan kerana kesedaran mereka, tetapi kerana mengikut kehendak para Raja dan Sultan. Islam pula dibawa oleh para pedagang Islam yang berakhlak tetapi tidak sehebat karisma para ulama. Akibatnya orang Melayu memeluk Islam kerana tarikan ketaatan kepada pemimpin dan keindahan akhlak para pedagang. Mereka memeluk Islam bukan kerana keteguhan akidah sebagaimana para sahabat nabi SAW. Namun begitu, usaha mereka tetap disanjungi kerana telah mengislamkan datuk nenek moyang kita. Tanpa usaha mereka kita pun belum tentu mengenal Allah seperti sekarang.
4) Selain faktor sebelum ini, kesan penjajahan juga memainkan peranan kepada kelemahan akidah umat Islam. Para penjajah telah memilih bakal pemimpin gantian mereka dari kalangan bukan beragama. Akibatnya rakyat terpaksa menerima pemimpin yang berkiblatkan penjajah dan jahil persoalan dosa, pahala, syurga dan neraka. Para agamawan sezaman mereka pula suka mengasingkan diri dari medan politik kerana kekangan bahasa Inggeris. Mereka suka berkubu di surau dan masjid mengajar Fardhu Ain sehingga persoalan agama hanya disempitkan kepada soal halal haram, sah batal sahaja. Pendekatan akidah yang mereka bawa juga begitu berfalsafah dan sukar untuk difahami sedangkan akidah menurut al-Quran amat mudah dan boleh difahami oleh orang Arab Jahiliah pada zaman nabi SAW. Pengajaran akidah yang berbelit kadangkala tambah menyukarkan orang awam untuk mengenali Allah. Pendekatan falsafah dalam akidah dibawa oleh para ulama silam untuk melawan kerancakan fahaman muktazilah. Musuh zaman moden pula bukan lagi pemikiran muktazilah tetapi pemikiran NASIONALIS yang memisahkan agama dari politik.
5) Nabi berkhidmat bukan seperti para pemimpin berkhidmat. Sesetengah pemimpin hanya mementingkan perut dan poket mereka. Di akhirat kelak, para pengikut yang di dunia dahulu tidak berfikir menjadi pak turut pemimpin yang jahat akan menyesal serta menyalahkan para pemimpin ikutan mereka. Mereka amat berharap agar dapat kembali ke dunia untuk menebus kesalahan lalu. Namun semua harapan mereka kosong belaka. Firman Allah:
إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ
Ertinya: (Yaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.
وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنَ النّارِ
Ertinya: Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan ke luar dari api neraka (al-Baqarah[2:166-167]).
Berbeza dengan para ahli politik dunia, keprihatinan nabi SAW kepada umatnya berterusan ke akhirat. Baginda amat risaukan umatnya terjatuh ke dalam neraka ketika semua manusia melintasi dada neraka di atas titian Sirat sebagaimana firman Allah:
وَإِن مِنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَقضِيًّا
Ertinya: Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (melintasi neraka di atas titian Sirat),(yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu (Maryam[19:71]).
Dalam menggambarkan ketegangan suasana tersebut, nabi SAW menyebut dalam sebuah hadith:
ولا يتكلم يومئذ أحد إلا الرسل، وكلام الرسل يومئذ: اللهم سلم سلم... الحديث
Ertinya: Tidak ada yang bercakap pada hari itu (ketika manusia melintasi titan Sirat) kecuali para Rasul, dan percakapan para Rasul pada hari itu adalah; Ya Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah (umatku).
6) Tuan Guru Nik Aziz juga menjawab kata-kata sesetengah orang yang tidak bersetuju dengan lafaz Takbir yang dilaungkan oleh sesetengah orang dalam sesetengah majlis. Melaungkan takbir adalah salah satu amalan nabi. Baginda ketika menunggang unta menaiki dan menuruni bukit selalu bertakbir kerana menyatakan kebesaran Allah. Laungan takbir jangan hanya difahami dalam kerangka politik, tetapi ia menggambarkan kepatuhan hamba kepada Allah dan sudah pasti ia jauh lebih baik daripada hanya bertepuk tangan.
7) Islam wajib diamalkan secara penuh sebagaimana firman Allah:
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنُوا ادخُلوا فِى السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ
Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu (al-Baqarah[2:208]).
Para pemimpin yang hanya mengambil ajaran Islam secara terpilih samalah seperti seorang pemimpin yang melonggarkan skru sesebuah tayar. Akibatnya rakyat bawahan yang lebih jahil akan terus membuang skru yang sudah sedia dilonggarkan oleh para pemimpin yang jahil. Atau tayar tersebut yang digunakan oleh rakyat jelata akan senang tercabut apabila bergerak. Ini analogi gejala murtad yang berpunca daripada kejahilan dan kelonggaran pemimpin.
8) Dalam memilih pemimpin (yang baik untuk dunia dan akhirat) dalam sistem demokrasi, mengundi adalah wajib. Mustahil sekali untuk seseorang tokoh datang menawarkan diri untuk menjadi menteri besar atau perdana menteri. Apa yang lebih penting adalah memilih pemimpin yang benar-benar layak. Contoh pemimpin terbaik adalah nabi Muhammad SAW yang memegang semua portfolio pemerintahan.
9) Antara pengajian agama adalah percaya dengan kewujudan para malaikat! Mereka ini pula makhluk ghaib yang hanya boleh diketahui melalui pengajaran agama. Persoalan ghaib tidak dapat ditanggap oleh ilmu Sains moden. Oleh itu, umat Islam wajib mempelajari agama melalui wahyu dan pada masa yang sama tidak mengabaikan ilmu Sains. Pokoknya sains dan agama saling bergandingan. Antara para malaikat yang wujud adalah malaikat pemikl arasy yang senantiasa berdoa kepada orang elit ; orang yang beriman dan bertaqwa. Doa para malaikat adalah doa yang amat diperlukan oleh manusia. Firman Allah:
الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ ءامَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ
Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu dan peliharalah mereka dari azab Neraka (Ghafir[40:7]).
Orang islam yang elit dan berpegang dengan al-Quran amat beruntung kerana senantiasa didoakan oleh para malaikat tersebut.
10) Ilmu agama hanya dapat diperolehi dengan panduan Al-Quran. Al-Quran adalah kitab hidayah yang amat elit. Ia juga hanya mampu diterima oleh hamba Allah yang elit sahaja seperti orang yang beriman dan bertaqwa. Ini selari dengan firman Allah:
ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ
Ertinya: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi PETUNJUK BAGI ORANG YANG BERTAQWA (al-Baqarah[2:2]).
11) Dunia ini bertuan dan menjadi milik Allah. Manusia wajib mengormati tuan rumah dan tidak boleh sebarangan menceroboh dan bergerak bebas dalam rumah yang bertuan tanpa izin tuannya. Begitulah juga perumpamaan untuk manusia semasa hidup di dunia ini. Mereka wajib mengikut segala kehendak Allah dalam semua aspek hidup.
12) Khutbah beliau disudahi dengan doa agar hak royalti minyak rakyat Kelantan dikembalikan. Beliau berdoa agar pihak yang mengkhianati hak rakyat Kelantan diberikan hidayah atau kejahatan mereka itu dibalas dengan pemusnahan mereka. Beliau juga mendoakan kesejahteraan sultan Kelantan yang bau, Sultan Muhammad kelima.
No comments:
Post a Comment