Thursday, January 19, 2012

KHUTBAH JUMAAT YANG AJAIB TENTANG KEPENTINGAN SOLAT

Lama sungguh tak menulis di sini...hari ini nak kongsi sedikit ilmu..

Alhamdulillah tengahari ini, khutbah Jumaat di Masjid UIAM, Gombak disampaikan oleh Syekh Dr. Muhammad Abdul Rahman al-‘Arifi dari Arab Saudi.



Beliau menyentuh tentang kepentingan solat dari perspektif al-Quran dan al-Sunnah. Antara isi kandungan khutbahnya yang sempat saya rakam di minda saya adalah seperti berikut:

1) Manusia dan Jin dicipta untuk satu tujuan iaitu beribadat kepada Allah. Ibadat itu secara khususnya merujuk kepada solat.Firman Allah:

Ertinya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (al-Dhariyat[51:56]).


2) Baginda Rasulullah ketika akhir hayatnya jatuh sakit dan tidak mampu mengimamkan solat Isyak. Baginda meminta sebekas air untuk disiram ke tubuhnya bagi menyegarkan tubuh baginda agar beliau dapat mengimamkan solat. Setelah cuba bangun baginda SAW jatuh pengsan. Setelah beberapa ketika, baginda tersedar dan terus bertanya : ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat mengatakan: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Setelah tersedar Rasulullah terus bertanya: ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat menjawab: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air lagi dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Perkara ini berterusan sebanyak tiga kali, dan akhirnya bagind ameminta Abu Bakar menggantinya dalam mengimamkan solat. (Sahih al-Bukhari & Muslim).

3) Sayyidina Umar RA pada satu pagi yang menuju ke Masjid untuk menunaikan solat Subuh telah ditikam oleh seorang Majusi yang bernama Abu Lu’lu’. Beliau yang mengalami pendarahan yang teruk telah pengsan. Sebaik sahaja sedar dari pengsan, perkara pertama yang diingatnya adalah, beliau belum sempat bersolat Subuh dan meminta air untuk berwuduk.

4) Berbanding ibadat lain dalam Islam, solat adalah satu-satunya ibadat yang diterima di langit. Penerimaan syariat solat di langit menunjukkan keistimewaannya di sisi Allah.

5) Solat penentu kebahagiaan atau kedukaan manusia di akhirat kelak. Sabda nabi:

Perkara pertama yang dihisab pada manusia pada hari kiamat kelak adalah solat (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidhi & al-Nasa’i).

6) Solat menjadi tali yang menghubung antara makhluk dan Allah. Semua para nabi dan watak utama dalam al-Quran diberi peringatan tentang solat. Antaranya:

- Nabi Ibrahim dalam doanya selepas pembinaan Ka’abah:

Ertinya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku(Ibrahim[14:40]).

- Nabi Musa ketika kali pertama mendapat wahyu:

Ertinya: "Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha[20:13-14]).

- Nabi Isa ketika berbicara dalam buaian:

Ertinya: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam[19:30-31]).

- Nabi Zakariyya ketika diberi khabar gembira tentang kelahiran Yahya:

Ertinya: Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh" (Ali ‘Imran[3:39]).

- Maryam ketika dinobatkan sebagai wanita pilihan:

Ertinya: "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk (Ali ‘Imran[3:43]).

- Nabi Syu’aib ketika berdakwah kepada kaumnya:

Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud[11:87]).

- Nabi Ismail:

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini `perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. [19.55] Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam[19:54]).

- Nabi Muhammad SAW:

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).

7) Solat menambahkan keberkatan hidup seseorang Muslim sebagaimana janji Allah:

Ertinya: Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat (penuh kebaikan) di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam[19:31]).

8) Solat berjemaah amat dituntut kerana nabi mengungut akan membakar rumah orang yang tidak datang berjemaah.


Demikianlah antara isi khutbah Jumaat hari ini yang dapat saya kongsi bersama.

Dicatat oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Pada: Jumaat, 20 Januari 2012.
Waktu: 2:10-2:50pm.

2 comments: