Friday, August 31, 2012

TANGKAP ULAR DI TENGAH SOLAT JUMAAT?


Selesai sahaja parking kereta untuk masuk ke Masjid Sungai Tua, Selayang untuk bersolat Jumaat tadi, tiba-tiba saya ternampak sebuah van JPA3, Jabatan PertahananAwam masuk ke sebuah lorong. Seorang kanak-kanak tiba-tiba memberitahu saya... “Ada ULAR Cik!”.

Lalu saya terfikir: “ Eh diaorang ni terpaksalah berkorban tidak bersolat Jumaat hari ini!”. Azan kedua pun dikumandangkan di corong masjid.

Situasi mungkin akan menjadi lebih kritikal jika ular tersebut tidak segera ditangkap, boleh jadi ia dari jenis ular berbisa dan akan memberi mudarat yang lebih besar kepada penduduk sekeliling. Menyelamatkan nyawa adalah suatu tugas yang mulia sebagaimana firman Allah:
 

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu (pembunuhan anak nabi Adam-Habil oleh Qabil) kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah[5:32]).

Ini juga menunjukkan kepentingan wujudnya UNIT PENGUATKUASAAN yang bertugas menjaga keselamatan seperti JPA3, POLIS, ASKAR, BOMBA dan sebagainya. Ia berasaskan firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam (al-Baqarah[2:251]).

Juga firmanNya:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya (al-Hajj[22:40]).

No comments:

Post a Comment