1)
Dalam al-Quran ada sebuah surah yang dinamakan
al-Hajj [surah ke 22]. Surah ini dinamakan surah al-Hajj bersempena ayat:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ
ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
Ertinya: "Dan serukanlah umat
manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah
Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang
kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh
(al-Hajj[22:27]).
Selepas selesai membina Ka’abah,
Allah mengarahkan nabi Ibrahim AS melaungkan seruan Haji kepada seluruh
manusia, seruan itu kemudiannya disampaikan kepada seluruh anak Adam merentas
zaman (Tafsir Ibn Kathir).
2)
Orang yang pergi haji amat beruntung kerana
berpeluang untuk merasai raptai hisab di padang mahsyar. Di awal surah
tersebut, Allah menceritakan gambaran kegemparan hari kiamat:
يَا
أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ
(1) يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ
كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى
وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ (2)
Ertinya: Wahai umat manusia,
bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara
yang amat besar. Pada hari kamu melihat
(peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan
anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan
anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka
sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan
(al-Hajj[22:1-2]).
Surah al-Hajj yang dibuka dengan
peristiwa kiamat seolah memberi gambaran bahawa dalam ibadah haji terutama
sekali wuquf di padang Arafah adalah suatu raptai akhirat.
3)
Orang yang menunaikan haji juga beruntung
kerana dapat merasai indahnya hari al-Quran disempurnakan kerana ayat berkaitan
penyempurnaan al-Quran diturunkan di padang Arafah semasa haji terakhir nabi (Sahih
al-Bukhari):
الْيَوْمَ
أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ
الْإِسْلَامَ دِينًا
Ertinya:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah
cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama
untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]).
Syariat nabi Musa
juga disempurnakan dengan penurunan kitab Tawrat pada 10 Zulhijjah. Nabi Musa
telah berpuasa selama sebulan bermula dari awal Zul Qaedah kemudian
disempurnakan dengan 10 hari lagi dari awal Zulhijjah sebelum menerima Tawrat.
Keseluruhan puasa baginda adalah 40 hari (Tafsir Ibn Kathir). Ia dijelaskan oleh ayat ini:
وَوَاعَدْنَا
مُوسَى ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ
أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي
وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ
Ertinya: Dan
kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga
puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu
sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan
berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima
Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah
(keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan
orang-orang yang melakukan kerosakan" (al-A’raf[7:142]).
4)
Orang yang dikurniai Haji
Mabrur pula akan pulang suci dari dosa dan bakal menjadi aset masyarakat dengan
sifat yang soleh. Keberkatan orang soleh yang baru memperolehi haji mabrur amat
besar kerana mereka senantiasa didoakan oleh para malaikat sebagaimana firman
Allah:
رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ
عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ
وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (8)
وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ وَمَنْ تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ
وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (9)
Ertinya:
(Para malaikat pemikul Arasy berdoa) "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah
mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada
mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara
ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya
Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. "Dan peliharalah
mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya)
sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan)
kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah
mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar
(nilainya)" (Ghafir[40:8-9]).
*SEMOGA YANG PERGI
AKAN PULANG DENGAN HAJI MABRUR..INSYAALLAH!*
No comments:
Post a Comment