Saturday, September 8, 2012

WALAUPUN SUDAH TERPISAH SEJAUH 1500 TAHUN…KITA BOLEH BERJUMPA DENGAN RASULULLAH DI ALAM BARZAKH INSYAALLAH!

Malam ini (8 September 2012) tiba-tiba saya teringat cerita ayah angkat saya dari Taman Tun Dr. Ismail yang agak akrab dengan Presiden sebuah parti Islam di Malaysia. Presiden parti tersebut pernah bercerita kepada ayah angkat saya, ketika beliau agak tertekan dengan masalah partinya, beliau bermimpi berjumpa dengan al-Marhum bekas presiden parti itu yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002…



Dalam mimpinya, al-Marhum mantan Presiden akan berkata: Adakah senarai calon untuk pilihanraya sudah siap?  TAPI PERLU DIINGAT! MIMPI TIDAK BOLEH SAMA SEKALI MENJADI SUMBER RUJUKAN DALAM ISLAM…Ia hanyalah perkhabaran gembira untuk orang Soleh dan saya percaya keduanya iaitu Presiden dan al-Marhum mantan presiden parti tersebut adalah hamba Allah yang berintegriti dan soleh…

 Firman Allah:

لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya: Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus[10:64]).

Ketika membicarakan ayat di atas, para ulama’ Tafsir & Hadith akan membawakan makna perkhabaran gembira sebagai mimpi benar yang diperlihatkan kepada orang Soleh (Tafsir Ibn Kathir, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Sabda nabi:

لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ

Ertinya: Tiada lagi yang berbaki dari kenabian kecuali perkhabaran gembira, para sahabat bertanya: Apakah perkhabaran gembira itu? Nabi menjawab: Ia adalah mimpi yang benar (dikurniakan kepada orang Islam) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Kalaulah benar cerita ayah angkat saya di atas, kisah ini seolah membenarkan apa yang disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam bukunya al-Ruh. Beliau menamakan sebuah bab dengan tajuk:  Adakah roh si mati bertemu, menziarahi dan saling memberikan peringatan atau tidak?

Dalam tajuk ini beliau menyebut Roh orang yang sudah mati bakal bersama dengan siapa yang mereka cintai berdasarkan firman Allah:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا

Ertinya:Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat) (al-Nisa'[4:69]).
 
Beliu juga menyebut banyak riwayat atau athar tentang kisah Salaf al-Soleh bermimpi bertemu dengan orang soleh yang sudah meninggal dunia seperti Sufyan al-Thawri, ‘Abdullah Ibn al-Mubarak, Marwan al-Muhlami, ‘Ata’ al-Salmi, Ibn Sirin, Maymun Ibn Sayyah dan lain-lain lagi. Mereka berada dalam kebahagiaan di alam barzakh dan dipertemukan dengan nabi Muhammad SAW. Subhanallah! (al-Ruh, ms 27-29).

* Walaupun terpisah dengan Rasulullah SAW sebegitu jauh sehingga hampir 1500 tahun, kita tetap berkesempatan bertemu Rasulullah bermula dari alam barzakh lagi kerana alam barzakh bukanlah seperti alam dunia yang berbeza zon masa dan zamannya. Inilah sebabnya mati juga menjadi ni'mat untuk orang Soleh kerana mereka bertemu dengan Rasulullah SAW di alam barzakh. Semoga kita dipertemukan dengan baginda SAW dan semua manusia pilihan kelak..Amin!

 

No comments:

Post a Comment