Tuesday, November 27, 2012

SEGALA PUJI BAGI ALLAH YANG MENGHADKAN GEGENDANG TELINGA MANUSIA PADA SESETENGAH FREKUENSI BUNYI SAHAJA



Malam tadi (Isnin @ 26 November 2012) dalam kelas berbincang panjang tentang isu adakah manusia mampu melihat jin. Saya bertegas membawa pendapat Imam Syafie yang menghukum manusia tidak boleh melihat Jin dalam bentuk asal kerana ia disebut al-Quran:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Ertinya: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka (al-A’raf[7:27]).

Imam al-Syafie menghukum orang yang mendakwa mampu melihat jin seolah menentang maksud al-Quran (Tafsir al-Alusi).

Lagipun, Allah menciptkan manusia dengan segala panca indera yang SESUAI UNTUK MANUSIA. Buat apa sibuk nak melihat jin? Hidup manusia PASTINYA LEBIH SELESA DAN AMAN TANPA MELIHAT JIN. Samalah juga Allah mencipta GEGENDANG TELINGA manusia yang hanya mampu menangkap sesetengah frekuensi bunyi sahaja tidak seperti kemampuan sesetengah haiwan (anjing, gajah) yang mampu mendengar dan menangkap frekuensi yang lebih tinggi. Kalau manusia mampu mendengar semua frekuensi bunyi, sudah pasti hidup manusia akan terganggu..



Barangkali inilah juga maksud firman Allah:

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَى

Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: KEJADIAN SEMULAJADINYA YANG SESUAI DENGANNYA, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya" (Taha[20:50]).

Qaddara dalam ayat ini ditafsirkan oleh sesetengah mufassir sebagai: Allah memberikan setiap makhluk ciptanNya apa yang sesuai dengan bentuk ciptaannya, Allah tidak menjadikan manusia seperti penciptaan haiwan (Tafsir Ibn Kathir).

Seolah-olah ia menyebut, kalau sesetengah haiwan mampu melihat sesuatu SESUAI DENGAN KEMAMPUAN ciptaannya seperti keldai mampu melihat syaitan dan ayam yang mampu melihat malaikat, maka ia khusus untuk haiwan itu sahaja. Sabda nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ  فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaanNya kerana ayam itu telah meilhat malaikat, manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana keldai itu telah melihat syaitan (Sahih al-Bukhari & Muslim).
  

 * USAHLAH MENGHARAP SESUATU YANG BUKAN UNTUK SPESIS MANUSIA! 


No comments:

Post a Comment