Ramadhan lepas pada (18 Julai 2013) dijemput bertazkirah dan menjadi imam terawih di Masjid Sungai Tua Selayang. Selepas solat saya berbual panjang dengan imam masjid serta 2 imam hafiz jemputan. Salah seorang dari imam jemputan tersebut adalah anak kepada Mufti Selangor sekarang.
Sebagai abang dalam bidang Tahfiz al-Quran saya menasihatkan mereka berdua dengan cabaran para hafiz al-Quran. Nilai para penghafaz al-Quran bukan pada gelaran dan kemuliaan yang masyarakat berikan, tetapi pada jumlah ayat yang kekal dalam ingatan mereka selagi nyawa masih di badan. Cabaran sebenar para hafiz adalah mengekalkan hafazan agar tidak berkurang. Ingatkan pesanan nabi SAW:
إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ
Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti pemilik unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Orang yang memilih untuk menghafaz al-Quran perlu sedar bahawa keputusan mereka adalah keputusan yang bakal mengubah landskap hidup mereka seumur hidup. Bila sudah mulai menghafaz al-Quran, mereka wajib menjaga hafazan tersebut dengan disiplin yang tegas. Antara kaedah terbaik mengekalkan hafazan adalah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk dalam solat terawih.
Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan dan semangat kepada saya (semenjak tahun 1995) untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam solat terawih selama 9 tahun. Diakui tahun pertama (1997) dan kedua (1998) mengkhatamkan bacaan dalam solat terawih AMAT PERIT sekali pegalamannya. Saya terpaksa membuat persediaan sepanjang hari bermula dari Subuh sehingga ke Maghrib. Ia sama seperti berenang meredah ombak besar di tepi pantai, namun setelah 9 kali mengkhatamkan al-Quran dalam solat, ombak itu menjadi tenang dan senang ditangani.
Saya mengumpamakan situasi diri saya yang sudah 20 tahun bergelumang dengan ulangan hafazan seperti perenang yang sudah sampai ke tengah lautan yang tenang ombaknya, manakala mereka berdua yang baru habis belajar di Darul Quran seperti perenang yang sedang bergelumang dengan ombak ganas di tepi pantai.
Amat malang sekali para penghafaz al-Quran yang sudah menghabiskan masa 3 tahun di Darul Quran untuk menghafaz, namun GAGAL MENJAGA HAFAZAN dengan alasan ketiadaan suasana. Suasana senantiasa berubah, andalah yang perlu mencipta suasana tersebut. Golongan yang lupa hampir semua surah dan juzuk yang pernah dihafaz seumpama orang yang tewas dalam renangan meredah ombak. Akhirnya mereka ditolak ombak ke tepian dan tidak sanggup lagi merasa peritnya tujahan ombak.
Percayalah, perenang yang berjaya meredah ombak dan sampai ke tengah laut yang tenang akan dapat merasai berbagai ni’mat laut atau AL-QURAN itu! Saya sering berdoa agar saya dimasukkan dalam kumpulan ketiga yang disebut oleh Allah dalam ayat ini:
ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (Fatir[35:32]).
No comments:
Post a Comment