Saturday, November 8, 2008

BAHAYA ISLAM JAHIL!


Islam jahil adalah istilah yang saya gunakan untuk menggambarkan umat Islam di negara kita yang Islamnya hanya pada nama, tetapi jahil tentang isi kandungan Islam itu sendiri. Mereka ini bagaikan mayat hidup yang hanya berfikir untuk mencari makan dan hiburan. Agama pada mereka adalah ritual semata. Mereka ini boleh jadi kawan-kawan kita atau adik-beradik kita sendiri. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang paling besar mendirikan komuniti umat Islam di Malaysia. Kewujudan mereka menjadi cabaran kepada golongan agama.

Oleh itu, kumpulan agama perlu berusaha sedaya mungkin dengan segala wasilah yang ada untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Kejahilan mereka kadang kala boleh membawa mereka kepada berbagai-bagai fahaman yang sesat dan salah. Saya yang terlibat secara langsung dengan masyarakat awam(memiliki beberapa kuliah Tafsir al-Quran mingguan secara tetap di beberapa tempat di Kuala Lumpur)sering kali bertemu dengan kumpulan ini yang melontarkan berbagai-bagai idea yang di luar jangkaan kita.

Antara yang pernah saya bertemu ialah; Al-Quran ini sebenarnya bukan berbahasa Arab tetapi berbahasa Syiria Aramik. Ada kumpulan yang dipimpin oleh seorang ustazah kaya yang memakai baju melayu dan kopiah???? (kumpulan ini wujud di sekitar Bangsar sekitar tahun 1990an,aktiviti hujung minggu kumpulan ini ialah menurun di tempat-tempat sunyi mencari harta karun, kebanyakan anggota atau pengikut ustazah ini ialah golongan elit Bangsar), ada kumpulan yang mengadaptasi idea anti Hadith dan mengamalkan idea gerak rasa, ketua mereka dipanggil baginda Mokhtar (juga kumpulan elit yang sangat kaya)

Pada bulan Ramadhan yang lepas,semasa hendak mula berjemaah Asar di surau dekat rumah saya, kami didatangi oleh sebuah kereta kancil yang masuk ke perkarangan surau. Di dalam kereta ada 2 wanita dan 2 lelaki. 2 orang daripada mereka berambut merah. Kedua-dua wanita di dalam kereta itu tidak bertudung, tambah parah lagi salah seorang daripadanya hanya memakai singlet. Seorang lelaki turun lalu bertemu dengan jemaah (saat hampir iqamah) menyatakan hendak menjemput ahli jemaah ke rumahnya untuk doa selamat kerana mereka baru berpindah. Solat asar didirikan, pemuda tadi tidak ikut bersolat sebaliknya turun kembali ke keretanya menunggu jemaah habis bersolat. Setelah habis bersolat beliau naik kembali ke surau dan memberikan alamat rumah barunya. Bayangkan, inilah anggota masayarakat kita yang hanya memandang agama sekadar ritual.

Sebab itulah apabila saya dijemput untuk majlis sedemikian (ritual tahlil atau doa selamat), saya akan meletakkan syarat pengisian ilmu bersama ritual dengan tujuan untuk menyedarkan mereka tentang fungsi Islam kepada manusia. Saya berpendapat peluang pengumpulan tetamu semasa majlis sedemikian perlu dimanafaatkan dengan pengisian ilmu. (rujuk posting sebelum ini yang bertajuk utamakan ilmu daripada ritual)

Pernah pada suatu ketika saya disoal oleh seorang murid wanita (juga dari kalangan elit); Ustaz! Apakah nasib nabi Isa di akhirat kelak? Saya bertanya;kenapa kakak cakap macam tu? Wanita itu berkata lagi;Yalah, kenapa dia sanggup buat macam tu? kenapa dia sanggup mensyirikkan Allah dengan mengatakan dia tu anak tuhan seperti yang dipegang oleh orang-orang Kristian?

Saya mengucap panjang! Selama ini beliau beranggapan bahawa agama Kristian direka oleh nabi Isa! Bayangkanlah tahap kefahaman mereka ini terhadap agama Islam. Iman dan ilmu mereka ternyata amat nipis dan senang dirobek oleh nilai kebendaan dan berbagai-bagai ajaran yang jauh menyimpang dari Islam yang tulen.

Untuk itu,orang-orang agama perlu sedar akan tanggungjawab sebenar mereka iaitu membawa amanah ilmu untuk memastikan semua umat manusia yang jahil dibimbing kepada agama Allah yang sebenar. Amat menyedihkan sekali sekiranya sesetengah ustaz hanya tahu menyerang Asya'irah atau Wahabi sahaja. Perjuangan mereka berkisar pada dua arena tersebut sahaja.

Pernah sekali ketika saya menjadi imam terawih di sebuah masjid di Gombak, setiausaha masjid memberitahu pada malam Nuzul al-Quran nanti, akan diadakan ceramah tentang bahaya Wahabi oleh seorang ustaz yang pakar tentang Wahabi. Seolah-olah isu bahaya Wahabi lebih utama daripada membawa masyarakat kepada penghayatan al-Quran yang sebenar. Ada juga sesetengah golongan yang website atau blognya hanya difokuskan untuk menyatakan kesalahan pihak lawan mereka. Sedarlah wahai semua! Cabaran sebenar orang agama ialah untuk menyedarkan jutaan lagi masyarakat Islam yang masih jahil.

Mereka ini seperti berada di tepi jurang yang mungkin hanya menunggu hari untuk terjerumus ke dalam lembah yang lebih teruk dan menyesatkan. Kenalilah musuh sebenar anda, jangan silap bertarung dengan musuh yang sebenarnya saudara seIslam anda. Sudah cukup umat ini berpecah belah dengan berbagai-bagai fahamannya. Bertolak ansurlah di dalam perkara yang kita perselisihkan, bersatulah pada perkara yang kita sama-sama persetujui. Dunia Islam akan kuat dan maju kembali.

Awasi virus Islam jahil!

1 comment:

  1. salam ustaz,

    saya petik tulisan ustaz di perenggan 2;

    "...ada kumpulan yang mengadaptasi idea anti Hadith dan mengamalkan idea gerak rasa, ketua mereka dipanggil baginda Mokhtar (juga kumpulan elit yang sangat kaya)."

    boleh tuan ustaz jelaskan dengan lebih lanjut mengenai amalan mereka, iaitu "gerak rasa" sepertimana yang mereka fahami.

    dan kalau tak menjadi keberatan, mohon juga tuan ustaz jelaskan mengenai "gerak rasa" yang tuan ustaz fahami.

    terima kasih.

    ReplyDelete