Friday, November 7, 2008
SUDIKAH ANDA MEMBERIKAN SEDIKIT NYAWA ANDA UNTUK HIDUP ORANG LAIN
Allah berfirman di dalam surah al-Ma'idah[5.32]; Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam Qabil ke atas Habil) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.
Perkataan Ahya (menghidupkan)di dalam ayat di atas paling bermakna untuk difahami oleh sesetengah insan mulia yang terlibat dengan pendermaan organ. Para pesakit berbagai-bagai penyakit kronik yang menunggu hari dijemput Allah atau saban hari bergantung hidup dengan peralatan perubatan pastinya akan merasa amat bersyukur sekiranya mereka diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan dengan organ baru yang didermakan oleh insan-insan sihat yang berhati mulia.
Tanpa keikhlasan hati para penderma organ itu, anak-anak akan menjadi yatim, suami akan kehilangan isteri, isteri akan kehilangan suami, ayah akan kehilangan anak, masyarakat akan kehilangan gurunya dan banyak lagi komplikasi yang timbul kerana para pesakit kronik boleh jadi ibu kepada anak-anak, guru kepada para pelajar di sekolah dan sebagainya.
Saya tersentuh untuk menulis isu ini ialah kerana mengenang kakak ipar saya Tengku Norianee (guru JQAF di Seremban)yang sekarang ini berada di Singapura menjalani transplant tulang sum sum. Beliau telah menderma sum sum tulangnya untuk kakaknya Dr. Tengku Norbanee (doktor pakar di HUSM, Kubang Kerian) yang mengidap penyakit leukemia. Pastinya proses pemindahan itu membuatkan penderma merasa sakit dan tersiksa. Akan tetapi yakinlah sumbangan anda itu pastinya akan mendapat ganjaran pahala yang tiada taranya di sisi Allah. Para pembaca boleh melihat perkembangan transplant itu di (drbanee.blogspot.com)
Saya sendiri yang mengidap penyakit kegagalan buah pinggang tahap akhir, sekarang ini juga menunggu kedatangan buah pinggang baru yang dijadualkan akan didermakan oleh ibu saudara saya Siti Aesahah. Bayangkan sekarang ini saya terpaksa menjalani rawatan peritoneal dialysis (tukar air ke dalam lapisan bawah perut yang berfungsi sebagai buah pinggang tiruan) sebanyak 4 kali sehari. Rawatan ini perlu dilakukan setiap 6 jam dan untuk setiap sessi pertukaran mengambil masa selama 30 minit. Sekiranya tidak mendapat buah pinggang baru, saya akan terpaksa menjalani rawatan ini sepanjang hayat. Bayangkan! saya baru berusia 33 tahun, bagaimanakah masa depan saya? Pernah saya terfikir, bagaimana saya hendak menunaikan haji?
Dengan adanya ibu saudara saya yang pemurah, harapan baru jelas tampak di hadapan. Pada saat ini barulah saya sedar kan kepentingan tali persaudaraan yang ditekankan oleh Islam (al-Nisa':1). Sebenarnya sebelum ini kakak saya ingin menderma buah pinggangnya, akan tetapi kami tidak bernasib baik kerana darah saya dan darahnya tidak sesuai. Ketidaksesuaian ini akan menghasilkan komplikasi penolakan setelah penukaran berlaku. Untuk itu, pihak doktor mencadangkan agar saya mencari penderma lain iaitu ibu saudara.
Persoalannya, sekiranya anda diseru untuk menderma kepada siapa sahaja yang memerlukan adakah anda sanggup tampil ke depan. Semasa berada di unit dialysis Hospital Selayang,saya terlihat sebuah puisi yang menyentuh jiwa..bunyinya;
Setelah kematianku..usahlah kuburku dipuja atau dikalungkan bunga-bunga yang wanginya hanya sementara...
Usahlah juga gambarku ditampal untuk menjadi kenang-kenangan...
Usahlah namaku disebut dengan berbagai-bagai pujian,,,
Sebaliknya ambillah gegendang telingaku untuk didermakan, mudah-mudahan kanak-kanak yang pekak akan dapat mendengar semula.
Ambillah tanganku untuk didermakan, mudah-mudahan sikudung akan dapat menyuap makanan ke mulutnya semula.
Ambillah jantungku untuk didermakan, mudah-mudahan pesakit jantung yang ditangisi hampir pemergiannya akan bernyawa kembali menggembirakan hati keluarganya.
Ambillah buah pinggangku untuk didermakan, mudah-mudahan pesakit buah pinggang akan ceria semula.
Ambillah mataku untuk didermakan, mudah-mudahan sibuta akan dapat melihat sang mentari semula.
Ambillah setiap inci tubuhku untuk didermakan, mudah-mudahan aku akan terus hidup di dalam setiap individu yang memerlukan kehidupan dan peluang yang baru.
Aku pastinya akan berterima kasih kerana kematianku yang seorang akan digantikan dengan kehidupan yang ramai.
Aku akan gembira kerana kematianku akan disambut dengan senyuman oleh ibu bapa yang melihat anak-anaknya melihat semula dengan bantuan mataku, mendengar semula dengan gegendang telingaku, berjalan semula dengan bantuan kakiku.
Biarlah penderitaan mereka itu diganti kegembiraan dengan setiap inci tubuhku.
Membaca puisi ini saya sebak..Saya juga berniat, setiap inci tubuh saya akan diwasiatkan untuk perdermaan organ setelah saya mendapat buah pinggang baru daripada ibu saudara saya di akhir tahun ini. Samalah kita doa-doakannya.
salam sore us...ana doakan moga2 us shat sperti biasa and dapat ja;ani khidupan sprti biasa and yang penting dapat laksanakan rukun islam yang ke 5.insyaAllah...syafakallah
ReplyDeletesemoga diberikan kesihatan yang berpanjangan.Amin ya rabbal alamin
ReplyDelete