Monday, November 17, 2008

BISNES MATI DI HOSPITAL


Pagi ini semasa mengendalikan kelas Tafsir di Surau Titiwangsa, saya ditanya para pelajar dengan satu soalan yang menarik untuk dikongsi bersama. Soalan itu timbul apabila saya menghuraikan makna ayat surah al-A'raf[7:79]; Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". Para ulama' Tafsir berselisih pendapat tentang masa nabi Soleh mengucapkan kata-kata ini. Sesetengah mengatakan ucapan ini berlaku ketika sebelum datang azab Allah kepada mereka akibat daripada penyembelihan unta mukjizat nabi Soleh. Manakala sebahagian lain pula mengatakan ucapan ini diucapkan selepas kematian mereka.

Apa yang menimbulkan soalan ialah, bagaimanakah mungkin nabi Soleh bercakap dengan mayat-mayat yang sedang bergelimpangan. Adakah mereka mampu mendengar? Untuk menghuraikan situasi ini, saya membawa satu hadith yang menyatakan bagaimana Rasulullah juga bercakap dengan mayat-mayat kafir Quraisy yang mati di dalam peperangan Badar. Melihat percakapan baginda s.a.w itu, Umar r.a bertanya, wahai Rasulullah, bagaimana mungkin kamu berbicara dengan orang-orang yang sudah menjadi mayat? Rasulullah s.a.w menjawab, Demi yang jiwaku berada di dalam tangannya, mereka semua ini lebih mendengar kata-kataku ini daripada kamu (akan tetapi tidak mampu menjawab)..Aw Kama Qal....(Sahih al-Bukhari, Bab Pembunuhan Abi Jahal).

Saya mengatakan berdasarkan hadith di atas,sebenarnya orang-orang yang sudah mati mendengar, cuma tidak mampu menjawab. Lalu saya ditanya dengan soalan-soalan kematian bermula dari tahlil,talqin dan akhirnya berkaitan dengan upah menguruskan mayat. Para murid saya mengatakan urusan menguruskan mayat di Hospital-hospital sekitar KL, sama ada Hospital Kerajaan atau Swasta seolah-olah dikendalikan oleh syarikat Khusus. Syarikat tersebut menjalankan urusniaga secara pakej bermula daripada memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengkebumikan. Mereka ini mendapat pelanggan daripada bilik mayat hospital sama seperti peguam-peguam mendapat kes-kes melalui orang-orang yang terlibat dengan kemalangan di katil-katil hospital.

Selepas selesai segala urusan, bil pengurusan akan dikeluarkan. Dianggarkan bil tersebut boleh mencecah hingga RM 2000-3000. Saya menyatakan kaedah tersebut semestinya membebankan keluarga simati yang baru ditimpa musibah. Sepatutnya kematian ini dibantu dengan segala macam bantuan, akan tetapi kematian ini dibebankan lagi dengan bil mati yang amat tinggi. Bahkan ini bertentangan dengan sunnah nabi s.a.w kerana baginda saw ketika mendengar tentang berita kematian Ja’far ibn Abi Talib telah bersabda : Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan) (hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud, Bab penyediaan makan untuk keluarga simati).

Keluarga simati yang baru ditimpa musibah (al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu bagi mengelakkan perkara-perkara buruk yang lain seperti sikap putus asa, kesedihan berpanjangan, penganiayaan hak anak-anak yatim dan sebagainya.

Saya teringat satu peristiwa yang saya alami sendiri kira-kira 5 tahun dahulu di Institut Jantung Negara. Pada ketika itu, besan ayah saya datang dari kampung (Rantau Panjang) ke IJN untuk merawat anak bongsunya yang sedang sakit tenat menghidap sakit jantung berlubang. Keluarga besan ayah saya ini bukanlah orang berada, datang pun dengan bas. Selepas menjalani rawatan, anak bongsunya itu (berusia 12 tahun) telah meninggal dunia di wad IJN. Mayat arwah kemudiannya dipindahkan ke bilik mayat. Sampai di bilik mayat, ada sekumpulan pekerja yang kelihatannya seperti bekerja secara sukarela mengurus mayat mulai daripada memandi serta mengkafan simati. Saya yang berada di lokasi kejadian turut mengikut solat jenazah yang dipimpin oleh seorang lelaki Indonesia yang saya kira seorang ustaz.

Ketika mayat diurus, keluarga simati sedang menangis kesedihan dan cuba diredakan oleh saudara mara yang datang. Mereka mungkin tidak menyedari segala urusan memandikan mayat itu akan dikenakan kos yang tinggi. Setelah selesai disembahyangkan, seorang lelaki India yang menaiki kereta Mercedes datang menemui ibu simati lalu menghulurkan bil yang berjumlah RM 1500. Beliau menyatakan ini selepas mengambil kira diskaun kerana mayat simati adalah seorang kanak-kanak.

Ibu simati yang mendapat bil tersebut, secara tiba-tiba menjerit seperti orang kena histeria, lalu berkata: Ya Allah! Dahlah anak aku mati, mu pula nak datang perah duit dari aku! Lalu tangisan beliau bertambah kuat. Saya terkejut besar dengan bil tersebut, kerana inilah kali pertama saya melihat perkara sebegini di dalam hidup saya. Lalu saya dan abang saya pergi berbincang dengan lelaki yang menghulurkan bil tadi. Setelah menelefon ketuanya, harga pengurusan diturunkan kepada RM 700.

Walaupun sudah diturunkan, ibu simati masih menangis, sambil berkata: Hei! Aku ni orang susah (miskin), datang dari jauh nak bawa anak berubat, tiba-tiba anak aku mati, nah sekarang kamu pula nak susahkan aku dengan bayaran pengurusan sebanyak ini, manalah aku nak cari duit! Datang sini pun dah habis beribu dah! Nah ambil duit aku mana yang ada ni! Selepas menyerahkan kira-kira RM 100, ibu simati berlalu pergi. Lelaki yang menghulurkan bil itu terpaksa berpada dengan bayaran itu sahaja.

Melihat peristiwa tersebut berlaku di depan mata, saya merasa sayu dan sebak bercampur marah. Ini sememangnya tidak betul dan bid'ah! Walaubagaimanapun, perkara ini perlu ditangani dengan sewajarnya kerana di dalam dunia hari ini sukar untuk mencari orang menguruskan jenazah secara sukarela. Tambahan lagi simati yang tiada kaitan kekeluargaan dengan pengurusnya. Namun tindakan mengenakan bil yang terlampau tinggi serta mengkomersialkan urusan ini sememangnya tidak betul.

Oleh itu, di samping menghukumkannya sebagai bid'ah, apakah alternatif yang boleh kita sediakan? Fakta yang tidak dapat dielak ialah, akan sanantiasa ada orang yang mati saban hari. Kalau nak mengharap sukarelawan pengurusan jenazah, ternyata amat sukar.

Saya berpendapat urusan kematian ini perlu diurus oleh pihak-pihak yang lebih releven seperti pihak zakat, masjid atau surau. Selain itu, penglibatan setiap individu dengan program khairat kematian juga mungkin boleh membantu situasi ini.
Alangkah eloknya sekiranya pihak zakat atau Jabatan Agama mempunyai unit khusus untuk menguruskan jenazah. Kalau perlu dikenankan bayaran pun biarlah berpatutan. Jangan sampai kematian orang lain ditunggu-tunggu oleh sesetengah ahli perniagaan untuk mendapat untung di sebalik pengurusan simati.

Janganlah kita membiarkan kesedihan keluarga simati itu berganda dengan amalan sedemikian. Bayangkanlah kalau kita sendiri yang mengalami situasi di atas, apakah perasaan kita?

ABDULLAH BUKHARI
ANTI PENINDASAN

2 comments:

  1. Assalamualaikum wbt.

    Kerana itu diri kita perlu dibekalkan dengan ilmu fardhu Ain yang dipandang entang. Pengurusan jenazah, bukan sukar jika ada ilmunya.

    Saya pernah hadapi satu pengalaman, pakcik saya meninggal, alhamdulillah, bilal dan imam ada untuk memandikannya, tapi malangnya sepupu-sepupu saya macam termangu-mangu tak tahu nak buat apa.

    Hinggalah sampai ke kubur. Jenazah sudah dikubur, saya menaiki van jenazah jadi sampai sama dengan jenazah.

    Sepupu-sepupu saya tidak sampai lagi sedangkan jenazah itu ayah mereka. Orang kampung dah gelisah, lambat sangat, takkan bersiap ke kubur macam nak pergi kenduri. Mereka pandang saya, saya pandang mereka, akhirnya saya dengan orang kampung yang turunkan jenazah dalam liang lahad sebab anak-anak jenazah lambat sangat.

    Sudah diletak dalam lahad, pasti mahu ditimbus, saya geram juga anak-anak si mati boleh biar sahaja saya an beberapa orang kampung menimbus dan meratakan tanah tanpa sedikit pun mereka bantu. Sudahlah ketika itu bulan Ramadhan, dengan panas terik. Tapi mengenangkan tanggungjawab sesama Muslim, kita buat jua.

    Akhirnya dah lama-lama, saya pun macam dah tak larat, peluh dah penuh, barulah seorang anak lelakinya tolong sama, itu pun lepas disuruh oleh si isteri.

    Dan waktu pengebumian sebelum ke kubur, habis atas keranda di letak bunga seperti Hindu gamaknya. Saya pikul keranda, sambil pikul tu saya tarik satu satu bunga-bunga tu dan campak.

    Habis kebumi, jenazah sudah di kambus, saya angkat tangan baca doa sendiri untuk jenazah lepas tu terus pulang, tinggalkan majlis yang ketika itu sedang tahlil dan talqin.

    Malamnya kenduri arwah, rumah si mati sebelah rumah saya, ayah ajak ke kenduri arwah, saya tolak, malam esoknya ada lagi, ayah ajak, saya tolak, malam ketiga ayah tak ajak lagi sebab dia dah faham saya tak akan pergi..

    Saya sedih bila masyarakat memberatkan benda yang tak sunnah bahkan bid'ah sedangkan ilmu fardhu ain macam urus jenazah di abaikan,sampai ayah sendiri meninggal tak tahu nak buat apa.

    Dan malang lagi apabila tanggungjawab fardhu kifayah ini dikomersialkan. Islam seolah menjadi agama yang memeras wang si miskin. Tapi ini semua silap kita, jika kita ada ilmu dan mampu uruskan jenazah, nescaya syarikat-syarikat bid'ah ini tidak akan laku lagi. Ia wujud apabila ada demand.

    ReplyDelete
  2. hari tu saya ada pesan kat ayah saya, kalau saya mati nanti jangan buat kenduri kat saya...nampak macam seronok pula bila saya mati orang buat kenduri...ayah saya diam saja...

    ReplyDelete