Thursday, November 20, 2008
JANGAN HANYA TAHU BERSILAT DI GELANGGANG SENDIRI
Semester ini, saya masih lagi mengajar subjek Tilawah dan Tafsir di kelas Pengajian al-Quran Untuk Orang Awam di IfLA, CELPAD (http://www.iiu.edu.my/celpad/kutaq/). Tilawah & Tafsir adalah peringkat pengajian selepas peringkat Tajwid 3 yang ditawarkan di dalam Kursus terbabit. Peringkat ini telah saya cadangkan kepada pihak pengurusan IfLA dan kemudiannya menjadi satu tahap rasmi sehingga ke hari ini. Di dalam tahap ini, peserta akan didedahkan dengan kaedah pembacaan al-Quran secara bertajwid (praktikal) serta pemahaman maksud sesuatu ayat. Di semester-semester awal tahap ini, saya menyentuh tentang Usul Tafsir dan tafsiran mendalam kepada beberapa surah penting dan popular di kalangan orang Melayu seperti al-Fatihah, 3 Qul dan Yasin.
Semester ini pula, saya memfokuskan perbincangan kepada isu ancaman sebenar kepada umat Islam kini. Saya tanyakan kepada para pelajar yang terdiri daripada masyarakat awam, apakah ancaman sebenar umat Islam kini? Lalu berbagai-bagai jawapan yang timbul..Kesudahannya saya katakan kepada mereka ancaman yang paling bahaya ialah Kejahilan. Bila jahil bertapak di dalam sanubari umat Islam, maka berbagai-bagai ancaman lain pula akan datang seperti ajaran sesat, Ayah Pin, Islam Liberal dan sebagainya. Untuk itu umat Islam perlu banyak belajar untuk mengatasi ancaman kejahilan yang bakal mengheret mereka ke lembah kesesatan.
Pada minggu ketiga pula saya menyentuh isu tentang Islam Liberal yang sememangnya menjadi ancaman baru kepada umat Islam di Malaysia. Mereka bahaya kerana cuba keluar daripada tradisi keilmuan Islam yang sudah teguh prinsipnya mencecah 1400 tahun semenjak zaman nabi dan sahabat lagi. Saya takrifkan Islam Liberal di Malaysia sebagai kaedah berfikir luar biasa sekelompok umat Islam yang merasakan diri mereka tahu tentang Islam, akan tetapi masih jahil dan jauh daripada Islam sebenar. Kelompok Islam Liberal di Malaysia muncul di dalam berbagai-bagai pakaian antaranya; pelampau pejuang hak asasi manusia, anti Hadith, Fanatik Feminism, penggiat seni filem, penentang hukum aurat, pengampu pemerintah dan sebagainya.
Pada minggu berikutnya saya bawakan pula isu perdebatan tentang kewajipan menutup aurat bagi wanita. Untuk menjadikan kelas lebih panas dan berkesan, saya gunakan cara pembelajaran yang penuh provokatif sebagaimana yang saya alami semasa belajar dengan Dr. Abdul Hayei di peringkat Master di UM pada tahun 2000 dahulu. Ini kerana provokasi ilmiah kadangkala boleh melahirkan reaksi ilmiah yang lain dengan syarat provokasi tersebut mesti dibimbing dengan sewajarnya oleh guru. Terlebih dahulu saya utarakan hujah-hujah golongan yang menentang aurat dan meminta para pelajar saya cuba memberikan jawapan. Lalu berbagai-bagai jawapan yang keluar daripada mereka, ada yang ilmiah, ada emosi dan ada yang berlandaskan logik akal.
Setelah mendengar alasan-alasan mereka, barulah saya menjelaskan tentang jawapan sebenar yang sepatutnya diberikan kepada golongan penentang ini. Hujah tersebut merangkumi hujah naqli daripada al-Quran dan al-Hadith, serta hujah akal(Perincian mengenai hujah-hujah itu akan saya jelaskan di dalam posting yang lain, Insya'Allah). Saya katakan kepada para pelajar, amat penting bagi mereka mengetahui apakah hujah pihak lawan sebelum membalas balik hujah mereka. Saya juga katakan kepada mereka ,umat Islam sepatutnya jangan hanya tahu bersilat di gelanggang sendiri, kerana teman segelanggang masih mempunyai belas kasiohan di dalam setiap pukulan yang diberikan. Akan tetapi musuh hanya tahu untuk memusnah atau mencederakan kita sahaja. Ditakuti kelemahan kita di dalam menjawab hujah musuh menyebabkan orang ketiga yang menyaksikan pertembungan kita dengan kelompok yang menyeleweng ini beranggapan bahawa Islam itu adalah suatu agama yang goyah, tidak benar dan mudah dikalahkan. Ini sebenarnya fitnah yang terbesar kepada umat Islam, iaitu, kejahilan kita terhadap agama kita menyebabkan wajah Islam menjadi buruk dan hodoh pada mata bukan Islam. Benarlah firman Allah; [Yunus 10.85] Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
Salah satu fitnah itu ialah kelemahan kita di dalam menghuraikan intisari Islam yang sebenar menyebabkan Islam pada mata bukan Islam menjadi lemah.
Kesimpulannya umat Islam kini perlu lebih maju di dalam menyebarkan Islam. Kita perlu sedar bahawa kita berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran daripada segenap penjuru. Persediaan ilmu yang secukupnyta meliputi cara serangan musuh perlu dikuasai agar kita akan terus gagah berhadapan dengan siapapun. Jangan hanya berdegar-degar memforumkan Islam di kaca TV, tapi bila berhadapan dengan Lawyer bukan Islam sehebat Karpal, kita mati hujah dan hilang punca kerana hanya tahu bersilat di gelanggang sendiri.
ABDULLAH BUKHARI
Jauhi diri anda dari musibah kejahilan
No comments:
Post a Comment