Thursday, November 20, 2008

MALAYSIA TANPA MUFTI PERLIS


Dengan berakhirnya bulan November ini, Malaysia mungkin akan sunyi seketika daripada ulasan atau pendapat yang diutarakan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Sepanjang tempoh penglibatan beliau sebagai Mufti kerajaan negeri Perlis, kita dapati bidang agama di Malaysia seolah-olah sudah melangkah ke era baru di mana orang agama mulai mendapat tempat di dalam apa sahaja perbincangan. Walaupun kerap tampil dengan berbagai isu kontroversi, tidak dapat dinafikan bahawa Mufti muda ini telah mencipta satu fenomena yang menunjukkan perlunya paradigma baru di kalangan orang agama.

Mufi Perlis dilihat benar-benar menggunakan media massa sama ada media cetak atau media alternatif sebagai medium penyampaian maklumat dan buah fikiran. Sememangnya sebelum perlantikan beliau, umat Islam di Malaysia sudah mempunyai ramai mufti di setiap negeri, namun jawatan mufti ini kelihatan terlalu kudus di puncak gunung dan sukar didekati pemikirannya. Jarang sekali mufti-mufti ini tampil dengan teguran berani atau mengulas isu-isu semasa dan terlibat dengan politik secara serius. Kita akui sebenarnya semua mufti di Malaysia telah memainkan peranan mereka di dalam memperbetul, menegur dan membimbing masyarakat, akan tetapi sumbangan mereka mungkin tidak dapat dirasa kerana kelemahan dan kekurangan di dalam aspek penyampaian.

Mufti Perlis tampak menyerlah di dalam penampilannya mengutarakan pendapat kerana kemampuannya menjalin hubungan baik dengan pihak media cetak dan penggunaan media alternatif seperti internet, laman web rasmi, blog dan sebagainya. Namun begitu tidak kurang juga yang beranggapan beliau seringkali mencari publisiti melalui isu-isu yang dibangkitkannya. Hakikatnya, publisiti tersebut ternyata berjaya membawa buah fikirannya ke tengah masyarakat. Lalu banyak juga yang mendapat manafaat dan mempelajari Islam melalui publisiti tersebut.

Di samping penggunaan media, beliau juga membawa inspirasi orang muda, yang mana ramai daripada kalangan peminat beliau ialah orang-orang muda yang merupakan pengguna terbesar kepada media alternatif. Apa sahaja yang beliau ceramahkan akan segera dimasukkan ke dalam laman webnya serta laman youtube dan sebagainya. Para mufti lain di Malaysia perlu juga menggunakan pendekatan mesra orang muda kerana orang muda yang masih segar pemikirannya merupakan aset penting kepada umat ini. Lihat sahaja bagaimana Allah memuji tentang sumbangan orang muda di dalam al-Quran (al-Kahf:13-16 & 60,al-Anbiya’:60). Begitu juga sirah Rasulullah s.a.w membuktikan dakwah Islam banyak dipelopori oleh orang muda di kalangan sahabat baginda.

Bertitik tolak daripada fakta di atas, faktor medium penyampaian dan bantuan orang muda perlu dipergunakan sepenuhnya oleh para mufti dan agamawan di Malaysia untuk mengenengahkan ajaran Islam yang segar dan praktikal. Media massa dengan berbagai-bagai bentuknya merupakan suatu tuntutan penting yang boleh befungsi seperti sihir moden memukau setiap orang yang menggunakannya bahkan kepada golongan bukan Islam sendiri (Lihat email-email bukan Islam yang dihantar ke laman web Mufti Perlis, www.dr.maza.com).

Kita mengharap agar selepas November ini, lebih banyak laman web peribadi para mufti dibina untuk menjadi cermin peta pemikiran mereka kepada masyarakat. Begitu juga lebih banyak kolum “Pena Mufti” di dalam akhbar tempatan dikelola oleh mufti-mufti di seluruh Malaysia. Sebagai rakyat biasa, penulis ingin sekali melihat bagaimanakah peta pemikiran para mufti yang memegang kata putus kepada masalah hukum hakam baru umat Islam di Malaysia. Perkongsian ilmiah daripada para mufti amat penting dan jangan biarkan segelintir sahaja yang memonopoli medium tersebut yang akhirnya akan mengakibatkan seolah-olah para mufti dan agamawan di Malaysia ini hanyalah kumpulan minoriti yang sudah ketandusan pemikiran baru yang memikat dan bernas.



ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM
MENUNGGU MUFTI-MUFTI LAIN!

No comments:

Post a Comment