Thursday, February 5, 2009

MATLAMAT BERPOLITIK YANG TERSASAR

Kemelut politik yang melanda negeri Perak dengan aksi lompat melompat serta pertukaran kerajaan sememangnya perit untuk dihadapi semua. Namun begitu semua perkara yang berlaku sudah menjadi ketentuan Allah yang perlu dikaji dan dipelajari hikmahnya (al-Tawbah[9:51] & al-Hadid[57:22]). Fenomena ini kelihatannya telah mencorakkan peta baru kepada cara berpolitik di Malaysia. Tujuan asal berpolitik untuk membela nasib rakyat kelihatannya sudah bertukar kepada perjuangan membela perut sendiri serta perebutan kuasa dan jawatan. Gaya berpolitik yang sedemikian sebenarnya sudah jauh tersasar daripada kehendak berpolitik menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Kepentingan politik sememangnya tidak dapat dinafikan kerana ianya merupakan mekanisma utama yang menggerakkan hampir keseluruhan tindakan sesebuah kerajaan. Dengan kuasa politik, semua urusan pentadbiran dan penguatkuasaan sebarang polisi akan berjalan lancar. Oleh sebab itu, baginda Rasulullah SAW ketika ditawarkan jawatan politik di Mekah menolak saranan tersebut kerana baginda SAW sebagai seorang ahli politik yang bijaksana tahu bahawa kuasa politik di Mekah hanyalah boneka yang tidak mungkin membantu perkembangan Islam.

Namun apabila baginda SAW ditawarkan kuasa politik di Madinah, baginda tidak menolak bahkan memanafaatkan sepenuhnya mandat tersebut dengan menubuhkan negara Islam Madinah. Bertitik tolak daripada kuasa politik itu, baginda SAW telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan terbaik dalam sejarah manusia yang dipenuhi dengan keadilan dan roh Islam yang sebenar.

Contoh yang ditinggalkan oleh baginda Rasuullah SAW tersebut seharusnya menjadi ikutan teladan oleh semua ahli politik di Malaysia khususnya yang beragama Islam tanpa mengira apa sahaja parti anutan mereka. Perlu ditegaskan, ahli politik di dalam Islam sebenarnya memegang jawatan khalifah Allah di muka bumi untuk melaksanakan arahan pentadbiran yang disuruh oleh Allah. Mereka bertanggungjawab terus kepada Allah di Padang Mahsyar kelak sebagaimana sabda nabi SAW: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap kepimpinannya (Sahih al-Bukhari).

Jawatan tersebut bukanlah tiket untuk mereka bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dan peluang keduniaan yang terpamer di depan mata, sebaliknya ianya adalah amanah yang perlu dijaga dengan sepatutnya. Perkataan pemimpin atau khalifah yang bermaksud pengganti menggambarkan bahawa manusia hanyalah pengganti sementara di muka bumi yang masih terikat dengan kehendak pemimpin sebenar iaitu Allah Ta’ala Penguasa alam semesta.



Pengganti sementara tidak berhak sama sekali untuk menukar polisi atau kehendak yang telah digariskan oleh pemerintah sebenar. Perkara yang sama telah digambarkan oleh Allah ketika penyerahan tugas memimpin Bani Israil kepada nabi Harun AS sepeninggalan nabi Musa AS ke Gunung Tur Sinai selama 40 hari untuk bermunajat. Firman Allah: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan"(al-A’raf[7.142]).

Selain itu, para ahli politik yang beragama Islam perlu mengetahui dengan jelas bahawa kehendak Allah SWT selaku pemimpin sebenar di dunia ini terkandung dalam 4 aspek yang disebut di dalam ayat berikut, firman Allah:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22.41]).



Aspek solat, zakat, amar ma’ruf dan nahi munkar merupakan asas perjuangan utama semua khalifah Allah di muka bumi. Sekiranya 4 perkara tersebut tidak dapat diperjuangkan bermakna seseorang ahli politik itu dengan sendirinya terlucut jawatannya dan tidak lagi akan dipandng oleh Allah SWT walaupun tetap menyandang jawatan tersebut di mata manusia. Sekiranya perintah dan kehendak pemimpin sebenar iaitu Allah SWT tidak dilaksanakan dengan betul dan penuh amanah, maka sistem masyarakat dan negara yang terkandung di dalam sunnah alam ini akan rosak binasa dan pincang dengan berbagai gejala negatif seperti penindasan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Kepada ahli politik yang galak berlumba-lumba mengejar jawatan impian, janganlah sampai amanah kepimpinan yang dipegang menjadi penyebab terhumbannya mereka ke neraka, sebaliknya jadikanlah ia sebagai punca kebahagiaan di syurga yang berkekalan. Renungkanlah ayat-ayat berikut untuk menimbulkan kegerunan tentang betapa beratnya amanah politik ini,: (al-Baqarah[2:166-167,al-A’raf[7:38-39],Ibrahim[14:21-22],al-‘Ankabut[29:12-13],al-Ahzab[33:66-68], Saba’[34:31-33]). Jangan juga sampai umat Islam di Malaysia berta’awwuz (meminta perlindungan dengan Allah SWT) dengan lafaz Ta’awwuz yang baru iaitu: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatan syaitan yang direjam dan juga kejahatan ahli politik yang tidak amanah serta sering menyalahgunakan kuasa. Fikirkanlah!

No comments:

Post a Comment