Thursday, April 9, 2009

DI ANTARA ILMU DAN MAKLUMAT-DR. ALI JUM'AH


Tengahari ini(10/4/2009-Jumaat), sebelum masuknya waktu zohor,sayup-sayup kedengaran kuliah berbahasa Arab di dalam Masjid UIAM. Saya tertanya-tanya siapakah yang memberikan kuliah tersebt kerana ini bukan kebiasaan Masjid UIAM. Walaubagaimanapun saya tidak turut serta kerana sibuk di Pejabat.

Apabila masuk ke masjid UIAM untuk mendengar khutbah Jumaat, saya terkejut kerana yang memberikan khutbah ialah Dr. Ali Juma'ah, mufti Mesir sekarang. Rugi rasanya tidak berkesempatan mendengar kuliahnmya tadi. Ini kerana siaran maklumat tentang kedatangan beliau ke UIAM tidak diketahui umum. Walaubagaimanapun, di sini saya akan ulas butiran mutiara khutbahnya yang umumnya berkisar tentang kepentingan ilmu pengetahuan.

Beliau menekankan kepentingan ilmu yang berasaskan kepada wahyu (al-Quran) dan ilmu berasaskan kepada Alam (al-Kawn). Kedua-dua ilmu tersebut tidak sama sekali akan bercanggah malah saling sokong menyokong dan kuat menguat di antara satu sama lain.

Teringat saya tentang tafsiran yang cukup saintifik yang telah dilakukan oleh al-Marhum Dato Haji Muhammad Noor, mantan mufti Kelantan ketika mentafsirkan perihal asasl usul sihir di dalam ayat 102 surah al-Baqarah:

Ayat ini juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa tiap-tiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, ada mempunyai kuasa tenaga yang menimbulkan kesan apabila diketahui rahsia-rahsia tenaga yang terdapat dalam sesuatu benda itu. Ilmu sihir itu memang ada mengandungi hikmat yang Tuhan berikan bagi melahirkan sesuatu perkara yang dapat memberi sesuatu kesan, seperti pembenci atau pengasih. Demikian juga benda-benda yang wujud dalam alam ini, masing-masing telah Tuhan berikan kuasa tenaga yang menimbulkan kesan yang istimewa pada benda-benda itu, seperti kesan tenaga yang ada pada atom, hiderojen dan lain-lain. Tenaga kuasa tersebut akan dapat menimbulkan sesuatu kejadian kalau sekiranya dapat diketahui rahsia-rahsia kejadiannya serta cara-cara peraturannya yang telah ditentukan Tuhan. Misalnya dari kemajuan pengetahuan sains orang dapat mengetahui hiderojen dan oksigen apabila dicampurkan akan melahirkan benda lain iaitu air. Demikian juga bahan-bahan kimia yang lain……….Oleh yang demikian, seseorang ahli sains itu tidak lebih hanyalah sebagai penyelidik rahsia kejadian Tuhan yang telah sedia ada untuk menghasilkan sesuatu menurut dasar peraturan undang-undang alam yang Tuhan tentukan semenjak azali. Apabila rahsia-rahsia itu dapat diketahui maka dapatlah dia menghasilkan sesuatu mengikut apa yang dirancangkan.(Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan al-Rahman, hal 40-41)

Dr. Ali Juma'ah juga menyebit hasil yang diperolehi daripada ilmu iaitu, sifat tawaduk atau rendah diri dengan kejahilan kita. Makin dipelajari, kita akan terasa semakin tidak mengetahui, lalu rasa itu diterjemahkan dengan rasa tawaduk bahawasanya hanya Allahlah sahaja yang Maha Mengetahui (al-Hakim & al-Khabir). Bersesuaian juga dengan firman Allah yang cukup memberi kesan kepada saya:

(Surah Yusuf[12.76]):dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.

Sekiranya sebarang ilmu yang diperolehi tidfak mendekatkan diri tuannya kepada Allah atau melahirkan rasa tawaduk, itu hanyalah maklumat kosong yang tersusun di dalam otak kita.

Seterusnya apa yang menarik ialah kata-kata beliau semasa mengakhiri khutbah pertama...berdoalah kamu semua mudah-mudahan ini adalah waktu yang mustajab doa... Ini satu perkara yang menarik kerana kebiasaannhya masyarakat kita di Malaysia selepas habis khutbah pertama akan sama ada berselawat atau berdoa secara sendirian. Sedangkan ini disebut sebagai satu waktu yang mustajab doanya. Sepatutnya para khatib melakukan perkara yang sama menyarankan agar semua jemaah berdoa.

Demikianlah sedikit sebanyak fakta dan mutiara yang sempat saya ingat di dalam khutbah beliau sebentar tadi. Mudah-mudahan kita mendapat manafaat bersama.

No comments:

Post a Comment