Monday, April 13, 2009

ANCAMAN AEDES & AL-QURAN


Pagi ini (Isnin-13/4/2009) semasa mengajar di masjid Ibnu Sina Titiwangsa, seperti biasa kelas saya akan menjadi hangat dengan interaksi dua hala di antara saya dan murid. Kaedah ini menjadikan kelas lebih hangat dan interaktif. Lebih interaktif sekiranya Haji Arifin (penyokong kuat PAS) ikut serta di dalam kelas pengajian.

Bersesuaian dengan tajuk, pada pagi ini saya mengajar surah al-Anfal[8:19-26]. Fenomena menarik muncul apabila sampai kepada tafsiran ayat ke 25;

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Saya seperti biasa menjelaskan maksud ayat ini secara terperinci bermula daripada Asbab Nuzulnya sehinggalah maksud yang hendak diutarakan oleh Allah di dalam firmanNya itu. Menurut Ibn Kathir, ayat ini turun menceritakan pertelingkahan masa hadapan yang bakal berlaku di antara para sahabat nabi, khususnya di dalam perang Jamal di antara Ali, al-Zubayr, Talhah dan sebagainya. Mereka berkata : Kami telah membaca ayat ini sejak zaman berzaman tanpa diperlihatkan siapakah yang dimaksudkan oleh ayat ini, sedangkan ayat ini sebenarnya ditujukan kepada kami.

Bukanlah kepada siapa ayat ini ditujukan yang penting untuk dibincangkan. Tetapi apa maksud yang hendak disampaikan oleh Allah. Kesimpulannya ialah tentang kepentingan Amar Ma'ruf & Nahi Mungkar kerana sekiranya sebarang kemungkaran berlaku dengan berleluasa di dalam masyarakat, maka azab Allah akan menimpa semua yang tinggal di tempat berlakunya maksiat itu.

Bila dikatakan maksiat, kita biasanya akan terbayang hanya sebarang maksiat yang biasa seperti berleluasanya zina, minum arak, penyelewengan dan sebagainya. Saya katakan kepada para murid saya bahawa Islam tidak mengiktiraf idea JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG atau KUBUR ASING-ASING kerana sebarang kemungkaran yang berlaku akan dirasai bahangnya oleh semua anggota masyarakat termasuklah yang soleh sekalipun. Ayat ini juga menerangkan bgaimana sistem masyarakat yang sebenar adalah yang berpegang teguh dengan prinsip Amar Ma'ruf & Nahi Mungkar.

Penjelasan saya ini disokong lagi dengan hadith nabi yang menarik:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1195.

Dari Nukman bin Basyir r.a., dan Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi larangan Tuhan dan yang melanggarnya, adalah seperti suatu kaum yang mengadakan undian di atas kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang yang di bawah, jikalau hendak mengambil air minum, terpaksa melalui orang yang di atas. Mereka berfikir: Baiklah kita buat sebuah lobang air di tempat kita sehingga kita tidak mengganggu orang yang di atas kita. Jika orang yang di atas membiarkan maksud mereka, tentulah semua mereka binasa. Sebaliknya jika orang yang di atas melarang, maka mereka selamatlah semuanya."



Sedang saya menerangkan ayat tersebut, tiba-tiba Haji Arifin mencelah dengan kenyataan yang cukup menarik. Katanya, " Ustaz! Ayat ini memang sesuai dipakai sebagai langkah pencegahan denggi, memandangkan ancaman denggi sudah menjadi satu ancaman yang cukup besar kepada negara(Lihat di sini).

Saya berkata: " Wah! Ini bagus sekali dan saya kira boleh menjadi satu tafsiran baru! Sikap pengotor sesetengah anggota masyarakat yang mengabaikan air yang bertakung akan membiakkan nyamuk aedes. Lalu secara umumnya nyamuk itu akan mendatang penyakit yang amat merbahaya sehingga mampu meragut nyawa..kenapa saya tidak terfikir sebelum ini tentang ayat ini?

Tanpa segan silu, saya mengucapkan terima kasih saya kepada Haji Arifin, lalu mencatit idea yang diajukannya itu. Saya cuba untuk mengamalkan akhlak tawaduk dan sedia untuk belajar dari siapa sahaja walaupun murid saya. Satu frasa yang diucapkan oleh ulama' Hadith di dalam Muqaddimah Ibn Salah sememangnya menjadi inspirasi saya di dalam menuntut ilmu;

روينا عن وكيع بن الجراح رضي الله عنه قال: لا ينبل الرجل من أصحاب الحديث حتى يكتب عمن هو فوقه، وعمن هو مثله، وعمن هو دونه

Tidak akan benar-benar cerdik seseorang lelaki di dalam ilmu hadith sehinggalah beliau sanggup menulis (belajar) daripada seseorang yang di atasnya (gurunya),juga daripada seseorang yang setaraf dengannya dan daripada seseorang yang di bawahnya (muridnya).

Sikap ini saya yakin akan membuahkan hasil ilmu yang banyak kepada kita. Kita tidak alim dalam semua bidang, oleh itu terbukalah di dalam belajar. Anda bagaimana?

No comments:

Post a Comment