Friday, April 17, 2009

PIMPINAN AGAMA MESTI TURUN PADANG SECARA FIZIKAL DAN MAYA

Kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah menggariskan bahawa para pimpinan negara khususnya para menteri mesti turun ke padang dan mampu berinteraksi secara mesra dengan rakyat bawahan demi untuk memastikan masalah dan hasrat mereka mampu didengar oleh pemimpin lantikan mereka. Langkah ini ternyata telah terlebih dahulu dilakukan oleh beliau secara fizikal ataupun secara maya dengan melancarkan laman webnya yang tersendiri di (http://www.1malaysia.com.my)

Sebenarnya sikap turun ke padang ini bukan hanya terbatas kepada para pemimpin biasa sahaja, bahkan harus juga dilakukan oleh para pimpinan agama seperti para mufti. Amat menyedihkan sekali sekiranya jawatan yang dipegang oleh para pimpinan agama hanyalah jawatan rasmi yang berfungsi pada waktu-waktu tertentu sahaja tanpa dapat dimanafaati oleh rakyat bawahan sedangkan gaji yang diperuntukkan untuk mereka merupakan hasil daripada cukai rakyat bawahan. Jawatan mereka tidak seharusnya terbatas di ruang pejabat yang tampak begitu ekslusif dan sukar didekati oleh masyarakat bawahan. Setakat yang diperhatikan, para pimpinan agama seperti mufti lebih menonjol di dalam rancangan Bicara Mufti dan Forum Perdana Ehwal Islam sahaja. Skop penampilan para mufti seharusnya perlu diperluaskan untuk memasarkan pemikiran bernas mereka kepada masyarakat awam. Oleh itu kemunculan yang lebih kerap di dalam media perdana dan media alternatif amatlah membantu.


Para pimpinan agama khususnya para mufti perlu mempunyai beberapa mekanisme untuk menghubungkan mereka dengan rakyat bawahan yang sememangnya memerlukan bimbingan mereka terutama sekali di dalam masalah yang bersangkut paut dengan perihal agama. Mekanisme yang paling praktikal di zaman moden ini ialah penggunaan teknologi internet yang merangkumi laman web dan blog peribadi.

Penggunaan teknologi tersebut amat berguna untuk berinteraksi dengan masyarakat bawahan tanpa halangan birokrasi. Para pengunjung laman web atau blog peribadi tidak perlu bersusah payah membuat temujanji untuk bertemu para pimpinan agama dan mengajukan soalan. Sekiranya para pimpinan agama mempunyai laman web yang interaktif, dikemaskini setiap hari dan menarik, sudah pasti ramai penganut Islam di Malaysia akan berpusu-pusu mengunjunginya untuk bertanya soalan atau mengambil manafaat ilmiah.


Allah Ta’ala semenjak hari pertama menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad SAW telah menggalakkan umat manusia menggunakan teknologi penyampaian untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Allah berfirman :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq[96:1-5]).

Qalam atau apa yang diterjemahkan sebagai pena di dalam ayat ini merupakan alat atau elemen yang penting di dalam proses penyampaian maklumat pada zaman silam. Manakala pada zaman moden pula, perkataan pena itu boleh ditafsirkan sebagai teknologi zaman moden yang merangkumi penggunaan internet dan sebagainya. Segala teknologi moden ini juga adalah refleksi daripada pena Allah kerana pena atau Qalam Allah sememangnya tidak sama dengan pena yang dimiliki oleh manusia kerana zat dan sifat Allah SWT ternyata berbeza dengan makhlukNya (al-Syura[42:11]).


Hidup di era globalisasi, dunia tanpa sempadan adalah sama seperti hidup di zaman darurat peperangan kerana sudah sekian lama golongan musuh Islam bergerak secara fizikal dan di alam maya untuk menyebarkan berbagai-bagai fahaman mereka yang salah. Tanpa disedari umat Islam boleh terpengaruh dengan serangan-serangan sedemikian. Para pimpinan agama sebagai Jeneral-jeneral angkatan tentera Islam di Malaysia harus terkehadapan mengatur strategi untuk menangkis serangan-serangan ini dengan penggunaan teknologi yang sama.

Selain itu, pihak pimpinan agama juga perlu turun padang secara fizikal dan lebih kerap agar mereka lebih dikenali oleh masyarakat awam. Langkah ini boleh dilakukan dengan mengadakan kuliah mingguan yang wajib bagi tempat-tempat tertentu mengikut susunan jadual yang khusus. Jadual kuliah itu pula diiklankan secara meluas di dalam media arus perdana seperti Television, akhbar harian dan radio.

Keterbatasan hubungan di antara pimpinan agama dengan masyarakat bawahan boleh menjadi benteng pemisah di antara kedua-dua institusi tersebut. Fenomena ini juga menyebabkan masyarakat awam yang jahil sukar untuk menghormati institusi pimpinan agama sehingga ada suara-suara sumbang yang berani mempertikaikan keputusan yang telah dikeluarkan oleh sidang pimpinan agama seperti isu Yoga baru-baru ini.

Masyarakat bawahan boleh diumpamakan seperi batu-bata yang bersusun padu menyokong antara satu sama lain yang bakal membina sebuah rumah yang diibaratkan pula sebagai institusi masyarakat dan negara. Para pimpinan agama pula diibaratkan seperti tukang rumah yang mengurus tadbir susun atur batu-bata tersebut. Sekiranya tukang rumah mengabaikan tugasnya menyelia dan menjaga keseragaman susunan batu-bata tersebut, rumah akan pincang, tak elok dilihat dan akhirnya runtuh menyembah bumi.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk para pimpinan agama. Bagindalah mufti, bagindalah jeneral perang, bagindalah perdana menteri, baginda raja yang berdaulat, bagindalah imam solat dan sebagainya. Tugasan baginda SAW begitu luas tanpa batasan kerana baginda benar-benar menjalankan tugasannya sebagai pemimpin agama yang sejati. Oleh itu para pimpinan agama di Malaysia perlu benar-benar turun padang bertemu rakyat bawahan secara hakiki dan di alam maya agar amanah kedaulatan Islam di muka bumi Allah benar-benar terlaksana sebagaimana firman Allah:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22:41]).

No comments:

Post a Comment