Wednesday, June 24, 2009

ANJUR DEBAT PERDANA BINCANG ISU KERAJAAN PERPADUAN


Walaupun isu berkaitan dengan kerajaan perpaduan sudah dimuktamadkan oleh pihak PAS dan Pakatan Rakyat, namun bunyi krikitan daripada berbagai-bagai pihak masih kedengaran. Sesetengah bunyi itu mengandung kutukan di atas penolakan terhadap hasrat murni ini dan ada juga yang mengandungi harapan agar perpaduan yang diidamkan itu tidak langsung berkubur dengan keputusan tersebut.

Tambah membimbangkan sekiranya harapan perpaduan yang dicanang baru-baru ini sekadar menjadi batu loncatan untuk sesetengah ahli politik mempromosikan diri serta menyerang pihak lawan. Tidak dinafikan perpaduan merupakan satu tuntutan agama yang perlu dijalankan oleh semua umat Islam tanpa mengira bangsa atau fahaman politik (Ali ‘Imran[3:103], al-Ma’idah[5:2]), namun begitu yang menjadi peroalannya ialah terjemahan kepada pengertian perpaduan itu yang berbeza. Perbezaan pengertian ini sudah pasti akan mewujudkan suasana yang tidak senang di kalangan rakyat bawahan.
Keresahan rakyat bawahan yang dihambat oleh isu perpaduan perlu diubati segera oleh pihak kerajaan dengan memberikan penjelasan yang adil dan telus. Oleh itu, satu wacana atau debat terbuka perlu dibuat untuk membersihkan kabus pemikiran dan keraguan berkaitan isu ini.

Tindakan secara terbuka memberikan peluang kepada pihak-pihak yang bertelagah untuk bertemu muka dan berhujah mempertahankan pendirian masing-masing sebenarnya bertepatan dengan roh Islam dan al-Quran.

Islam sebagai suatu agama yang adil banyak kali menegaskan agar keadilan diberikan dengan saksama kepada semua (al-Nisa’[4:135],al-Ma’idah[5:8], al-An’am[6:152]). Lihat saja bagaimana nabi Daud AS telah ditegur oleh Allah kerana tidak mendengar penjelasan secara telus daripada kedua-dua pihak yang bertelagah. Firman Allah:
Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;

Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: " Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

" Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ' Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ', dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu".

Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
(Sad[38:21-26]).

Walaupun keputusan yang diberikan oleh baginda AS berkenaan dengan kambing itu benar, tidak dibantah oleh pihak kedua dan bertepatan dengan kehendak Allah SWT, namun hak untuk memberikan penjelasan tidak diberikan kepada pihak kedua. Kegopohan sebagai seorang manusia inilah yang mengundang teguran Allah kepada baginda AS. Sebagai seorang pemerintah yang adil, baginda AS sepatutnya mendengar dengan telus hujah kedua-dua pihak sebelum memutusan sebarang keputusan.

Untuk merealisasikan kehendak al-Quran ini, Pihak RTM atau Kementerian Penerangan yang menjadi nadi media penyiaran di Malaysia perlu berani untuk menganjurkan satu rancangan debat terbuka sebagaimana debat tentang kenaikan harga minyak yang berlaku di antara Dato Seri Shaberi Chek dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu.

Jemputlah tokoh-tokoh utama di dalam isu ini seperti pencetus ideanya, Dato Seri Abdul Hadi, penentangnya Dato Nik Aziz, wakil BN dan pemerhati bebas seperti Dato Seri Harussani Mufti Perak. Berikan ruang kepada mereka untuk menjelaskan hujah dan fakta yang menyokong pendirian mereka. Biarlah rakyat bawahan mendapat maklumat serta huraian hujah secara terang lagi bersuluh. Usah lagi rakyat bawahan disogok dengan propaganda media politik daripada kedua-dua pihak samada pembangkang ataupun kerajaan.

Masalah yang menimpa kebanyakan ahli politik di Malaysia sekarang ini ialah masing-masing bermati-matian mempertahankan hujah mereka tanpa mengambil kira apakah persepsi dan penerimaan rakyat bawahan. Masing-masing pihak samada pembangkang atau kerajaan dihidap oleh penyakit “Syok Sendiri” dengan hujah mereka. Mana mungkin mereka mengatakan mereka benar sebelum mereka dinilai oleh juri awam. Untuk menjadikan debat tersebut lebih realistik, biarlah undian sms dibuat sepertimana lagaknya rancangan realiti yang memonopili rancangan di TV Malaysia sekarang ini. Di akhir debat, paparkan juga di skrin TV peratusan keputusan undian samada setuju dengan kerajaan perpaduan ataupun tidak.

Sebagai sebuah Negara yang menuju ke matlamat Negara maju menjelang 2020 yang tidak sampai 11 tahun pun lagi ini, rakyatnya perlu diberikan pendedahan ke arah berfikir secara yang maju dan terbuka dari segenap segi. Janganlah slogan ketelusan, liberalisasi atau keterbukaan yang dilaungkan oeh pihak kerajaan hanya bermain di sebelah pihak sahaja tanpa memberikan peluang kepada pihak pembangkang menjelaskan yang kusut. Keterbukaan sebegini juga boleh melahirkan ahli politik Malaysia yang lebih matang, berintergriti dan benar-benar anak jantan.

No comments:

Post a Comment