Wednesday, June 24, 2009

CERITA HANTU SELAYANG!


Lama sungguh rasanya tak menulis di dalam blog ini, ini kerana hambatan kerja yang terlalu banyak dan kesibukan rawatan Dialisis saya di Hospital yang datangnya bertali arus.

Melihat kepada tajuk saja mungkin ramai yang tertanya-tanya..eh Ustaz Lah pun percaya hantu ke? Kenapa Selayang? Jawapannya mudah sahaja kerana peristiwa ini berlaku di Selayang dekat dengan rumah saya dan sebenarnya bukan hantu tapi gangguan jin. Saya sendiri pun tak percaya sangat dengan cerita hantu ni,namun posting kali ini sekadar menceritakan pengalaman!

Ini ceritanya..

Pada satu malam kira bulan lepas (tarikh tak dapat diingat dengan jelas, tapi yang pasti semasa cuti sekolah yang lepas), baru saja saya nak melelapkan mata kira-kira jam 2 pagi, seorang jemaah Masjid (Ahmad-bukan nama sebenar) telah menelefon saya meminta segera ke rumah Azman (juga bukan nama sebenar) di BBS (Bandar Baru Selayang)kerana isteri Azman kerasukan jin.

Pada mulanya saya menolak kerana saya bukanlah ahli di dalam masalah sebegini, saya cadangkan nama lain, namun Ahmad gagal menghubungi Ustaz tersebut, lalu terpaksalah saya meredah kesejukan malam ke rumah Azman.

Ketika sampai, kelihatan isteri Azman dalam keadaan yang menggerunkan, matanya merah, mukanya nampak pelik, dah orang tak sedar. Saya mulalah membaca ayat-ayat yang saya tahu, sesudah membaca kira-kira 5 minit, isteri Azman mulai memberikan reaksi, beliau mulai bergerak, menggeliat, matanya mulai liar merenung tajam ke arah saya. Seram juga melihat renungan sebegitu, meremang bulu tengkok.

Saya meningkatkan bacaan, dan saya sampai kepada ayat 1-10 surah al-Saffat. Di ketika ini, isteri Azman (Rosina-bukan nama sebenar) mulai menunjukkan reaksi antara sedar tak sedar, lalu saya segera mengarahklannya memakai kembali tudungnya. Setelah memakai tudung, tiba-tiba isteri Azman yang bernama Rosina tadi memperkenalkan dirinya sebagai Zainab. Dia berkata, saya Zainab! Tadi yang merasuk namanya Mary, bila Ustaz sampai, Mary dah keluar, Zainab memang dah bersedia di pintu, lalu sekarang Zainab pula yang menguasai.

Saya bertanya, Zainab ini agamanya apa? Beliau menjawab dalam pelat Sabahnya, aku ni Islam, dan aku memang menjaga Roslina ni dari dulu lagi, semenjak aku kafir sehingga aku memeluk Islam. Aku jaga dia kerana suaminya (Azman) selalu menyakitkan hatinya.
Tidak percaya akan cakapnya.

Saya segera membalas, : buat apa kamu nak jaga dia? Tak perlu! Allah dah sedia menjaga dia, kamu mesti keluar! Sebagai seorang Islam kamu tidak sepatutnya menganiayai saudara Islam yang lain dengan menakluki akalnya.

Tiba-tiba si Zainab mencelah: Hei! Aku ni Jinlah bukan orang, saya hampir tertawa dengan sanggahannya. Dalam hati saya berkata..OOh, rupanya dia ingat lagi dia ni Jin.

Saya terus menasihati si Zainab untuk menginggalkan Rosina, bila nasihat saya semakin panjang, sekali lagi Zainab mencelah yang membuatkan saya hampir tertawa lagi sekali..

Hoi! kamu janganlah nak ceramah pula, aku ni bukannya tak biasa dengar ceramah..dah biasa sangat!

Tanpa bicara panjang saya suruh Zainab meninggalkan tubuh Rosina, dengan ugutan untuk membakarnya. Zainab dengan biadabnya mencabar saya..Bakarlah! Tergerak dengan cabaran ini saya mulai membaca kembali ayat-ayat suci, berikutan itu Zainab kelihatan gelisah dan barulah Rosina yang sebenar sedar.

Diringkaskan cerita, malam itu hampir pukul 3 baru saya balik ke rumah. namun apa yang saya kesan pada sakit Rosina ini ialah bukan 100% gangguan makhluk halus tetapi bercampur juga dengan gangguan emosi kerana inginkan perhatian yang lebih daripada suaminya. Rasa saya ini dikukuhkan lagi dengan pengesahan oleh Ahmad yang sememangnya tahu masalah yang dialami oleh keluarga ini.

KESIMPULANNYA:

1- Walaupun Jin yang merasuk Rosina ini datangnya dalam dua personaliti, kita tidak sama sekali boleh membenarkannya kerana kita tidak dapat melihat Jin dan mengesahkan pengakuan ini. Boleh jadi cuma satu Jin sahaja yang merasuk, tetapi dipermain-mainkan kita dengan gelagat 2 personaliti yang berbeza. Ingat kata nabi! Setan ni penipu besar!

2-Berdialog dengan Jin sebenarnya tidak banyak memberikan faedah, bahkan di dalam banyak keadaan, lebih banyak fitnah yang terhasil daripada dialog sedemikian.Contohnya Jin akan cuba mereka-reka cerita untuk melaga-lagakan manusia.

3-Gangguan emosi sedikit sebanyak boleh melemahkan tubuh dan mental, lalu tubuh serta mental yang lemah boleh mengakibatkan gangguan Jin. Ini saya alami sendiri ketika sakit buah pinggang saya memuncak dan dimasukkan ke wad sebelum pemasangan tiub di perut untuk rawatan CAPD (Dialisis Air). Hampir setiap malam saya diganggu dengan mimpi yang mengerikan seperti dikejar hantu, terjatuh ke lubang kubur dan sebagainya. Bila tanya doktor dia kata toksin seperti urea yang terlampau tinggi menyebabkan otak kita banyak berhalusinasi. Nampaknya Jin ni pun belajar sains juga, dia lihat emosi dan fizikal kita tak stabil terus diganggunya.

4-Kita tidak boleh terlalu cepat mengatakan kita dirasuk, terkena sihir orang atau sebagainya. Sikap sedemikian sebenarnya memupuk sikap buruk sangka yang tidak banyak faedahnya. Orang yang banyak buruk sangka akan takutkan bayang-bayang sendiri.

5-Amat penting bagi setiap individu Muslim mempunyai benteng iman, tauhid yang kukuh bagi menghalang sebarang gangguan Jin. Pernah tak kita dengar cerita para ulama' kena rasuk?

6-Kita perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga dengan gangguan Jin di dalam diri yang menghasut untuk melakukan kejahatan berbanding dengan gangguan fizikal dalam bentuk HANTU oleh jin. Ini kerana Jin atau syaitan yang berada di dalam hati kita lebih bahaya kerana mampu untuk mendorong kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah.

No comments:

Post a Comment