Sunday, August 30, 2009

Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil


Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.

Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.

Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.

Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.

Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.

Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.

Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.

Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).

Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).

Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.

Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.

Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.

Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).

Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.

Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).

2 comments:

  1. alhamdulillah, artikel yang bagus. elok kalau siarkan di akhbar. (tak pasti kalau dah ada tersiar)

    teruskan membuka mata dan minda masyarakat

    ReplyDelete
  2. ada dalam utusan malaysia isnin lepas, tapi hari ini,2-9 dah orang balas dalam forum utusan.

    ReplyDelete