Tuesday, August 25, 2009
TERAPI HAIWAN PELIHARAAN MENURUT AL-QURAN
Haiwan peliharaan yang terdiri daripada binatang seperti kucing, anjing, burung, ikan, kuda dan sebagainya merupakan salah satu nikmat Allah kepada manusia. Di samping berguna untuk membantu urus tadbir kehidupan manusia, haiwan ini juga mampu untuk mengurangkan kadar tekanan perasaan yang dialami oleh pemiliknya.
Terapi haiwan peliharaan atau dinamakan pet therapy atau animal assisted therapy (AAT) ini sudah menjadi satu fenomena baru di Barat setelah para saintis yang melakukan kajian mendapati para pesakit yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berhadapan dengan tekanan perasaan berbanding dengan pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan.
Bahkan kajian di Hospital Bandaraya New York telah mendapati para pesakit jantung yang memiliki haiwan peliharaan lebih panjang usianya setelah keluar daripada hospital berbanding dengan pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Kewujudan haiwan peliharaan juga didapati lebih berkesan untuk memberikan semangat dan belaian kasih sayang berbanding dengan kehadiran teman hidup dan sahabat handai.
Selain itu, pemilikan haiwan peliharaan bukan sahaja boleh mengubati rasa kesunyian, malah mampu mendidik pemiliknya rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap entiti lain serta menjadi platform awal untuk bergaul secara lebih sihat dengan masyarakat.
Apa yang menarik perhatian ialah Islam melalui al-Quran sememangnya sudah sedia menggariskan prinsip rawatan sebegini. Menurut Islam, tubuh badan manusia terdiri daripada tiga unsur utama iaitu badan kasar atau fizikal, badan halus atau yang disebut sebagai emosi dan roh. Bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia muslim, ketiga-tiga unsur ini perlu dijaga rapi agar tidak memudaratkan keseluruhan system hidup manusia.
Seperti mana badan kasar dan rohani manusia yang memerlukan makanan, badan halus atau emosi manusia juga perlu diberi makanan. Makanan utama kepada emosi ialah persekitaran yang sihat, baik dan kurang tekanan. Ini kerana tekanan yang berterusan pada emosi boleh mendorong kepada berbagai penyakit mental yang kronik seperti skizofrenia dan sebagainya.
Walaupun al-Quran tidak pernah menggariskan secara khusus apakah rawatan utama untuk emosi, namun pemilikan kepada haiwan peliharaan sebagai unsur hiburan emosi sudah sedia disebutkan oleh al-Quran. Firman Allah:
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
(al-Nahl[16:8]).
Penggunaan perkataan perhiasan di dalam ayat ini secara tidak langsung merujuk kepada rawatan emosi atau terapi haiwan peliharaan. Fakta ini dikukuhkan lagi oleh kisah nabi Sulayman AS di dalam surah Sad, firman Allah:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.
(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: " Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan kerana mengingati Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam".
(Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): " Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).
(Sad[38:31-33]).
Kisah nabi Sulayman ini dengan jelas menunjukkan bagaimana baginda AS sendiri meminati haiwan peliharaan yang indah dan menarik perhatian kerana keindahannya. Bahkan cara baginda menghampiri serta membelai kuda-kuda itu juga merupakan di antara bentuk terapi emosi yang semakin diakui keberkesannya oleh para saintis moden.
Selain itu, prinsip umum terapi emosi juga telah disebut oleh al-Quran dengan firmanNya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
(al-A’raf[7:32]).
Kucing saya sedang sakit dan taknak makan2, saya cuba mencari ayat2 al-quran untuk dibacakan pada kucing saya supaya dia dapat kembali sihat dan berselera. kalau ada maklumat, bolehkah saudara berikan kepada saya? syukran
ReplyDelete