Wednesday, September 8, 2010

ISU SELEPAS PANTANG, PERTUKARAN TEMPAT KERJA & KISAH NABI YUSUF AS

Selepas selesai pantang saya dan isteri, kami mungkin akan berhadapan beberapa masalah lain terutama sekali ketahanan tubuh badan dan emosi. Pergerakan dan pemakanan saya perlu dikawal selia dengan baik dalam tempoh setahun pertama selepas Transplant. Manakala isteri pula mesti dikawal selia dari segi fizikal dan emosinya berikutan pembedahan tempoh hari. Cuma apa yang merunsingkan saya adalah jarak perjalanan ke tempat kerja isteri yang jauh iaitu di Klang.

Sebelum ini, isteri saya pernah membuat permohonan pertukaran ke Jabatan Undang-undang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Jalan Duta bersama dengan surat sokongan yang menyatakan masalah kesihatan saya, namun permohonan tersebut hampa dengan alasan sebarang pertukaran mesti dibuat secara suka sama suka.

Pada 15 Mac 2010 lalu, semasa menghadiri mesyuarat dengan Dato KP LHDN untuk membincangkan isu siaran kempen cukai di TV, salah seorang kakitangan LHDN menyarankan saya menggunakan peluang tersebut untuk meminta sokongan Dato KP untuk pertukaran isteri saya. Katanya: Apa salahnya Ustaz! Orang berbudi, kita berbahasa. Saya katakan kepadanya..itu melanggar prinsip saya..saya tidak akan mengambil kesempatan.


Sejurus selepas selamat keluar daripada hospital, ramai teman isteri saya di jabatan Undang-Undang menyarankan agar isteri memohon kembali pertukaran dengan menggunakan 2alasan yang cukup kuat iaitu masalah kesihatan kami berdua. Allah seakan membuka ruang baru untuk kami kembali mencuba, namun masih tiada jaminan permohonan ini akan berjaya kerana ia melibatkan polisi LHDN. Sebolehnya saya tidak mahu mengganggu kerja orang lain sepertimana saya tidak mahu orang lain menggunakan kabel atau orang dalam untuk menggangu kerja kita. Inilah keadilan dalam kerja.

Prinsip saya diasaskan kepada kisah nabi Yusuf AS ketika berada di dalam penjara selepas diftinah oleh wanita Mesir. Firman Allah:

Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)” (Yusuf[12:36]).

Selain berdakwah kepada 2 teman sepenjaranya, nabi Yusuf AS berpesan kepada pemerah anggur raja Mesir agar menceritakan fitnah yang mengheret baginda ke penjara itu dan meminta pertolongannya untuk melepaskan baginda daripada hukuman yang zalim itu.
Firman Allah:

Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun (Yusuf[12:42]).

Ayat di atas menjelaskan seakan-akan nabi Yusuf cuba menggunakan kabel atau kuasa orang dalam untuk melepaskan dirinya dari penjara. Berikutan permintaan, baginda seakan dihukum oleh Allah kerana mengharapkan bantuan makhluk dan terlupa bantuan Allah yang sudah sekian lama membantu baginda. Hukuman itu dikenakan kepada baginda apabila pemerah anggur raja Mesir terlupa menceritakan kisah baginda yang mengakibatkan baginda terpenjara beberapa tahun lagi (Tafsir al-Razi).

Imam al-Razi juga menjelaskan berdasarkan pengalamannya hidup selama 57 tahun, sebarang pergantungan kepada makhluk akan menambahkan lagi penderitaan. Hanya pergantungan kepada Allah sahaja yang pasti akan menyelamatkan atau melepaskan hamba daripada sebarang masalah (Tafsir al-Razi).

Kami bukanlah manusia sempurna sehebat nabi Yusuf atau Imam al-Razi, namun motivasi daripada kisah ini amat berguna untuk kita semua bagi merealisasikan maksud sebenar Tawhid yang selalu diulang sebut dalam surah al-Fatihah:

Hanya padaMu kami Sembah dan hanya padaMu sahaja kami minta bantuan.

Secara bahasanya ayat ke 5 surah al-Fatihah sudah meyakinkan kita bahawa hanya kepada Allah sahaja kita perlu mengabdikan diri dan memohon pertolongan.

Bagaimanakah pertolongan itu akan datang? Allah Maha berkuasa, dengan syarat kita sudah melalui proses biasa yang disebut oleh al-Quran sebagai Sunnatullah. Dalam kes isteri saya, beliau akan membuat permohonan baru dengan mengisi borang dan dikepilkan bersama 2 surat sokongan doktor yang menjelaskan status kesihatan saya dan beliau sendiri. Mudah-mudahan sikap dan pendirian kami ini yang tidak mahu menggunakan kabel dalam proses pertukaran mendapat keredhaan Allah dan menjanjikan kemanisan hidup yang berpanjangan. Hanya Allah sahajalah tempat kami bergantung.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Ustaz..

    Saya terfikir sejenak tadi.. Dan saya mengambil kesimpulan, itulah yang sebaik2nya keputusan. Sudah banyak pahit getir ujian Allah yang telah Ustaz lalui dalam dua bulan ini seolah2 yang teramat teruk itu sudah dilalui (the worst has been through)... Membaca memoir2 dalam blog Ustaz, saya rasa amat2terharu dengan ujian dan perjuangan Ustaz. Tanpa Ustaz mengetahuinya, ilmu yang Ustaz sampaikan kepada saya saban minggu telah memberi banyak kekuatan kepada saya dan telah banyak memperbaiki diri saya. Oleh itu saya tahu Ustaz akan terus kuat menghadapi apa2 kesulitan pun. InsyaAllah, satu hari nanti berkat keimanan Ustaz, saya yakin segala kesulitan Ustaz akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. (Mahmood Zuhdi)

    ReplyDelete