Wednesday, September 8, 2010

TAHNIK ALIYAH HAKIMAH DAN DEFINISI REZEKI

Seringkali ketika berdoa supaya dimurahkan rezeki, kita akan beranggapan rezeki itu hanyalah helaian RM yang memudahkan kita membeli apa sahaja yang kita mahu. Sebenarnya rezeki itu luas tafsirannya. Segala kebaikan yang Allah kurniakan kepada kita adalah rezeki yang tidak terhitung. Antara rezeki yang sering kita lupa mensyukurinya adalah:

1-Kesihatan tubuh badan.
2-Anak-anak yang soleh dan tidak berkerenah.
3-Kawan sahabat yang ikhlas.
4-Jiran yang baik.
5-Pekerjaan yang bersesuaian.
6-Ilmu yang berguna untuk kehidupan.
7-Negara yang stabil dan aman.

Kesemua yang saya sebutkan di atas sudah saya rasai ni'mat kehadirannya dalam tempoh terdekat terutama sekalai selepas transplant.

Ia bermula dengan pembedahan buah pinggang pada 5 Ogos lalu. Saya berjumpa dengan pesakit lain di Hospital Selayang yang baru menjalani pembedahan yang sama di China dengan kos RM 200,000.

Saya tidak perlu menghabiskan kos sebegitu banyak kerana Allah memberi rezeki kepada saya dengan emak saudara yang menyayangi saya dan berkorban memberikan buah pinggangnya tanpa apa-apa bayaran.

Saya juga dikurniakan anak perempuan yanag comel dan sihat walaupun isteri terpaksa dibedah selepas bersalin. Sebenarnya pembedahan isteri saya juga menjadi sebab saya mendapat bantuan keluarga angkat (Dato Seri Ghani) yang amat istimewa. Sebelum ini hubungan kami sudah baik namun masih terhalang oleh rasa malu, namun peristiwa ini seolah memecahkan halangan tersebut dan kami dijaga rapi oleh ayahanda Dato Ghani dan keluarga dengan sempurna. Ini juga rezeki kerana tanpa jagaan beliau, hidup kami berdua yang sama-sama berpantang selepas pembedahan pastinya akan huru hara.

Malam Isnin lepas kami meraikan bayi yang baru lahir dengan majlis Tahnik di rumah Dato' Ghani. Para jemputan terdiri daripada murid kelas Tafsir saya di Titiwangsa. Kehadiran mereka berkongsi kegembiraan saya mendapat kesihatan, kesihatan isteri dan bayi yang baru lahir juga rezeki yang tidak ternilai harganya.

Setakat ini saya dipandang mulia oleh para murid saya di Titiwangsa kerana ilmu yang saya sampaikan kepada mereka. Ilmu pinjaman Allah ini juga rezeki tertinggi yang telah Allah kurniakan kepada saya. Tanpa ilmu Allah tersebut, pastinya Abdullah Bokhari bukanlah sesiapa pun pada mata manusia. Alhamdulillah!

Oleh itu, para pembaca semua perlu meluaskan skop rezeki yang sering disalah tafsir oleh orang awam. Berdoalah kita diberikan keluasan rezeki dan keberkatan padanya.

Berikut adalah gambar sepanjang majlis Tahnik Aliyah Hakimah pada malam Selasa lepas..










No comments:

Post a Comment