Thursday, July 21, 2011

SEMALAM (KHAMIS 21 JULAI 2011) YANG MENGINSAFKAN

Semalam (Khamis, 21 Julai 2011) telah membuka mata saya tentang kekurangan diri serta mengajar erti sebenar ayat dari surah Yusuf:

نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

[12:76] (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.

PERISTIWA PERTAMA: BERSAMA USTAZ SAIFUDIN MAULUP DI PUSAT PENDIDIKAN AL-ISRHAD (9am -2pm).

Semalam saya terlibat menguji para pekerja Tabung Haji Seremban dalam ujian Penentuan Tahap bacaan al-Quran kerana pihak pengurusan Tabung Haji Pusat berhasrat membekalkan kakitangan mereka dengan kemahiran bacaan al-Quran. Sebelum sampai ke Tabung Haji Seremban kami (saya dan Ustaz Zulkhairi [ketua Jabatan Tilawah al-Quran, CELPAD,UIAM]) singgah terlebih dahulu di sekolah agama rakyat (Pusat Pendidikan al-Irshad) kelolaan kawan lama kami semasa belajar di Dar al-Quran Jakim (1993-1997).


Ustaz Zulkhairi, saya & Ustaz Saifudin Maulup


Selepas pulang dari Mesir pada tahun 2002, Ustaz Saifudin Maulup telah mengambil alih sekolah agama rakyat di Kg. Labu Negeri Sembilan. Ringkasnya setelah bertahun berjuang, beliau berjaya memajukan sekolah tersebut sehingga tahap sekarang dan dinamakan Pusat Pendidikan al-Irshad. Sekolah tersebut masih dalam usaha pencarian dana untuk menubuhkan kompleks yang lebih berkualiti. Melihat kepada kegigihan beliau berjuang memajukan sekolah tersebut sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan wang dari poket sendiri jelas menunjukkan keikhlasan beliau dalam menegakkan Dakwah Islam di tempatnya.


Pelajar Tahfiz al-Irshad


Semasa pulang, saya berasa malu dengan diri sendiri kerana sumbangan yang teramat sedikit terhadap ummah jika hendak dibandingkan dengan perjuangan membangunkan al-Irshad oleh Ustaz Saifudin. Pastinya beliau sudah menanam benih sedekah jariah, ilmu bermanafaat dan doa anak soleh yang bakal menjadi sahamnya di akhirat kelak! Subhanallah.

Ustaz Saifudin yang mengamalkan sebuah Tariqat juga menjelaskan kepada saya tentang hakikat sebenar hidup secara sufi.Perbincangan kami juga membuka mata saya apa hakikat sebenarnya sufi dan proses penyucian jiwa di sisi Allah. Kadang-kadang kita terlalu asyik berdebat, melabel orang dengan berbagai label sehingga lupa untuk menyucikan jiwa. Akibatnya kita ditenggelami secara tidak sedar dengan penyakit Ujub, Riya’ dan sebagainya.

-Para pembaca yang budiman boleh membantu mengukuhkan lagi perjuangan Ustaz Saifudin dengan menyebarluaskan usaha beliau. Maklumat mengenai Pusat Pendidikan al-Irshad boleh didapati di link ini.

PERISTIWA KEDUA: LIQA’ DAIE & ASATIZAH DI SG MERAB (JAM 7:30 PM- 12:15 AM)


Jam 6:30 petang saya memandu sendirian meredah kesesakan jalan raya di KL untuk ke Sg. Merab , Bangi untuk menghadiri buat kali pertama Liqa’ Daie & Asatizah. Liqa’ ini pada awalnya dianjurkan oleh Ustaz Dr. Zaharuddin (rujuk link ini). Liqa’ ini mengumpulkan beberapa tokoh ilmuan agama ternama tanahair yang banyak memberikan sumbangan ilmu kepada umat Islam di Malaysia. Pertemuan ini bertujuan menyatukan para ilmuwan dan pendakwah agama yang datang dari berbagai kepakaran.

Apabila bertemu dengan ahli liqa’ ini, terasa diri saya amat kerdil dan jahil. Pertemuan sebegini amat bagus untuk menyedarkan semua bahawa bergerak berseorangan senang mendedahkan diri kepada berbagai masalah seperti Ujub, Syok sendiri dan terlebih pandai. Banyak isu semasa dibincangkan dalam liqa' ini, antaranya definisi Wasatiyyah yang menjadi prinsip Liqa' ini. Dr Zaharuddin yang menjadi moderator juga menjelaskan dalam setiap Liqa', para ahli yang selesai membaca sebuah buku baru yang baik boleh berbincang dan berkongsi maklumat tentang buku tersebut.

Ahli Liqa' yang mempunyai sebarang kemusykilan agama juga boleh bertanya pandangan semua ahli Liqa'. Dalam pertemuan terdahulu isu bedah batin dibangkitkan dan dalam Liqa' kali ini Ustaz Aizam menjelaskan hukum tentang isu tersebut.

Antara ahli liqa’ yang hadir ialah:

1) Dr. Zulkifli al-Bakri.
2) Dr. Abdul Basit
3) Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
4) Dr. Maszlee Malek
5) Dr. Zahazan
6) Ustaz Hasrizal
7) Ustaz Aizam Masood
8) Dr. Wifaq USIM
9) Ustaz Norhisham
10) Ustaz Syauqi UPM
11) Dr. Khairudin Aman Razali
12) Ustaz Zamri Mari mengaji TV9
13) Ustaz Nidzam Abd Kadir
14) Ustaz Ahmad Husni

Dan beberapa tokoh lain.





Sepulangnya dari pertemuan ini, saya bersyukur kerana diberikan peluang bersama mereka dan menanamkan azam agar dapat berusaha lebih lanjut memberikan sumbangan kepada Islam mengikut kepakaran yang saya miliki. Insya Allah.

Sesungguhnya semalam adalaah hari khamis yanag cukup indah dengan 2 pengalaman berharga di 2 tempat yang berbeza. Alhamdulillah!!

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Segala puji bagi Allah yang dengan ni’matNya sempurnalah segala amal soleh!
(Sunan Ibn Majah).

No comments:

Post a Comment