Sunday, July 31, 2011

USTAZ! SAYA DAH MUAK DENGAN TAZKIRAH RAMADHAN!



PERLU ADA KELAINAN PADA TAZKIRAH RAMADHAN.

Teringat saya peristiwa di ambang Ramdahan 2 tahun lepas. Kelas Tafsir saya dalam Program Kursus Umum Tilawah al-Quran anjuran IfLA, CELPAD, UIAM biasanya akan berakhir semesternya sebelum Ramadhan. Para peserta di kelas tersebut akan mengadakan jamuan tutup kelas merangkap jamuan menjelang awal Ramdahan.

Ketika berbicara sambil makan, seorang murid saya bergurau tentang pengisian (Tazkirah) Ramadhan yang bakal menjelma. Murid saya berkata: Ustaz! Saya dah hafaz semua nass dan dalil berkaitan Ramadhan! Kadang-kadang penceramah yang datang asyik dok pusing isu yang sama saja. Kita jemaah pun dah naik muak!

Menurutnya tazkirah Ramdhan saban tahun terlalu berulang isinya sehingga membosankan para jemaah. Kenyataan gurauan ini walaupun agak kasar, ada kebenarannya. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran kepada para penceramah agama dan ustaz. Kadang kala untuk mempromosikan agama Allah, kita perlu kreatif dan berfikir di luar kotak. Persepsi sesetengah orang awam yang cintakan agama sebegini perlu diraikan.

Antara pendekatan baru yang boleh dibuat adalah dengan mengulas isi kandungan al-Quran itu sendiri secara ringkas pada setiap malam Ramadhan. Kali pertama saya didedahkan dengan pendekatan sebegini adalah melalui amalan Tuan Guru Nik Aziz semasa beliau memimpin solat terawih di Masjidnya di Kg. Pulau Melaka, Kota Jembal, Kota Bharu.

Setelah saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1993, saya tidak melihat pendekatan tersebut sehinggalah pada tahun 1996 saya dijemput menjadi Imam Terawih di Surau al-Nur, Bandar Baru Bangi berhampiran Dar al-Syifa’. AJK dan jemaah surau meminta kami, para imam hafiz agar memberikan tazkirah tentang kandungan ringkas setiap juzuk pada setiap malam sebelum menunaikan solat terawih. Permintaan ini mendorong saya untuk membaca, mencari rujukan dan memahami isi setiap juzuk.

Sekarang ini pun saya menggunakan pendekatan yang sama setiap kali Ramadhan. Saya amat bersyukur kerana pihak Masjid Ibnu Sina Tasik Titiwangsa agak terbuka dalam aspek ini. Pihak masjid memberikan saya ruang dalam kira-kira 10 minit setiap malam sebelum terawih untuk mengulas isi kandungan juzuk yang bakal dibaca.


Kaedah yang sama juga saya cuba terapkan untuk kaki tangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Minggu lepas saya mendapat jemputan untuk memberikan ceramah Ramadhan untuk kaki tangan Perpustakaan UIAM.

Tajuk ceramah yang dijadualkan pada 19 Ogos (19 Ramadhan) itu adalah: Ramadhan Bulan Sedekah. Saya menerima jemputan tersebut dengan 2 syarat:

1) Tajuk asal mesti diubah kepada Tadabbur juzuk 19 al-Quran bersempena hari ke 19 Ramadhan.

2) Setiap kaki tangan Perpustakaan UIAM mesti membawa mushaf terjemaan masing-masing (kongsi Mushaf tidak dibenarkan).

Alhamdulillah, kedua syarat tersebut dipersetujui oleh pihak yang menjemput. Saya sengaja menukar tajuk demi untuk mencari kelainan dan saya juga percaya ramai yang BELUM PERNAH TADABBUR juzuk 19.

Al-Quran yang mengandungi 6236 ayat, 114 surah dan 30 juzuk seperti sebuah lautan yang luas. Di dalamnya terkandung segala macam khazanah alam dan sumber makanan rohani yang perlu diambil manafaat oleh umat Islam. Tambahan pula bulan Ramadhan yang menjadi bulan penurunan al-Quran seperti bulan menuai dan mengail hasil dari al-Quran itu sendiri. Alangkah malangnya sekiranya bulan ini berlalu tanpa kita berpeluang untuk mengambil barang sedikit dari isinya!

2 comments: