Friday, August 17, 2012

PESANAN 'IDUL FITRI OLEH MURSHID

Sempena sambutan hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelma pada 1 Syawwal 1433H ini, pihak Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin memberikan nasihat berkaitan Hari Raya ‘Idul Fitri dan juga aspek keselamatan Jalan Raya semasa pulang berhari raya.
Sambutan hari raya adalah suatu anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam (al-Baqarah[2:185]). Kepulangan berhari raya sepatutnya menjadi suatu kesinambungan rahmat tersebut dengan menjaga adab semasa berada di jalan raya dan menyambut ‘Idul Fitri. Pesanan ini merangkumi dua perkara iaitu;

SAMBUTAN ‘IDUL FITRI
Sambutan ‘Idul Fitri sejurus berakhirnya sekolah Ramadhan adalah suatu lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat taqwa sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
Anugerah Taqwa yang diperolehi dari latihan Ramadhan bakal menjadi pembimbing bagi umat Islam untuk menempuh kehidupan sepanjang hayat sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal[8:29]).
Oleh itu, sewajibnya ‘Idul Fitri disambut dalam kerangka taqwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang bakal merosakkan amalan yang sudah dikerjakan pada bulan Ramadhan mesti dielakkan. Oleh itu, MURSHID menegaskan beberapa panduan kepada pihak berikut:
1) Umat Islam perlu mengambil perhatian tentang adab dan garis panduan sambutan ‘Idul Fitri menurut Islam, antaranya:
· Memastikan zakat fitrah untuk diri sendiri dan tanggungan ditunaikan sebelum selesai menunaikan solat sunat ‘Idul Fitri.
 · Memperbanyakkan ingatan terhadap Allah dan ketaatn terhadapNya dalam setiap tindakan sewaktu musim raya.
 · Menjauhi rasuah dalam bisnes dalam bentuk duit atau hamper raya sama ada selaku pemberi atau penerima.
· Menjauhi sifat banding-membanding pemilikan harta di antara satu sama lain sewaktu berhari raya. Tindakan tersebut tidak lain hanyaalah akan membawa kepada perasaaan ujub dan takbur bagi mereka yang mempunyai lebihan harta manakala rendah diri kepada mereka yang kurang. Sedangkan menurut ajaran Islam, kita adalah bersaudara dan kemuliaan tidak terletak pada harta fizikal individu namun pada taqwa di dalam hati.
 · Mengelakkan dosa dalam keghairahan berhari raya seperti pembaziran dan pemborosan melampau dalam perbelanjaan membeli peralatan hari raya dan juga penganjuran rumah terbuka.
 · Mengelakkan dalam menambahkan hutang bagi hal yang tidak mendesak sempena menyambut hari raya.
 · Hindari diri dari memperagakan pakaian yang tidak menepati syariat Islam, tidak menjaga batasan hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sehingga bercampur gaul dan saling bersentuhan.
 · Mengelakkan sifat bakhil jika berkemampuan dan menjaga nafqah yang wajib bagi keluarga, kebajikan ibu bapa, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga dan sebagainya dengan menyediakan jamuan yang selayakknya dengan kemampuan diri serta mengeratkan silaturahim.
 · Mengambil peluang keemasan pahala berganda berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal serta tidak mencerita dan menghebahkan bilangan puasa sunat syawal yang sedang atau telah dilakukan tanpa keperluan kerana ia hanya akan membatalkan pahala puasa berkenaan.

2) Mencadangkan agar otoriti agama yang berwajib serta berkuasa di Malaysia memberikan garis panduan khusus tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam sambutan hari raya menurut Islam khususnya yang merangkumi beberapa perkara utama seperti penyediaan garis panduan rancangan TV dalam sambutan hari raya kerana media penyiaran memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat. MURSHID amat berharap agar status “IBADAH” dalam sambutan hari raya tidak dirosakkan dengan stigma “PERAYAAN BUDAYA” dan lambakan hiburan dalam media penyiaran dalam sambutan hari raya. Kalau perlu konsep LOGO HALAL dalam penerbitan sesebuah rancangan TV sempena sambutan hari raya turut dipraktikkan dengan perlantikan pakar dalam bidang hiburan Islam

 3) Pihak media cetak dan penyiaran perlu lebih sensitif dengan kehendak Islam terutama sekali dalam isu yang melibatkan IBADAH seperti sambutan hari raya. MURSHID menyeru agar pihak media menjadi agen dakwah kepada masyarakat, bukan hanya pengaut keuntungan yang asyik mencapai sasaran RATING.

KESELAMATAN JALAN RAYA

Kemalangan dan kecelakaan di jalan raya boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti sikap pemandu, keadaan kenderaan, keadaan cuaca dan keadaan alam sekitar atau jalan raya yang digunakan. Oleh itu, aspek pengurusan risiko perlu diperhatikan oleh semua pihak dan untuk itu MURSHID mencadangkan beberapa perkara iaitu;
 1) Menyeru para pemandu jalan raya yang bakal pulang berhari raya agar membuat persiapan sebaik mungkin dengan mengambil kira 2 aspek;
 · Persiapan fizikal merangkumi keadaan kenderaan yang selamat, kecerdasan minda semasa memandu, keadaan cuaca serta kesesuaian waktu. Sebarang kepincangan pada aspek persiapan fizikal mungkin akan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Perlu diingat tanggungjawab menjaga keselamatan jalan raya turut melibatkan ahli keluarga sendiri dan keluarga orang lain.
 · Persiapan rohani dan mental. Pemanduan untuk suatu jarak yang jauh seumpama jihad yang memerlukan kesabaran dan ketinggian akhlak. Sikap tidak sabar ketika memandu bakal mengundang masalah yang turut sama membahayakan diri sendiri dan orang lain. Akhlak yang buruk semasa berada di jalan raya amat bertentangan dengan ajaran Islam dan melibatkan persoalan dosa dan pahala. Larangan memudaratkan orang lain jelas disebut oleh sebuah hadith:
 لا ضرر ولا ضرار
Tidak boleh memberikan mudarat dan memudaratkan orang lain (Sunan Ibn Majah).

 2) Menyeru pihak berwajib yang berkaitan secara langsung dengan aspek keselamatan jalan raya seperti pihak POLIS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan syarikat pengendali lebuh raya agar menggunakan pendekatan yang lebih mesra Islam untuk menyedarkan pihak pengguna jalan raya tentang aspek keselamatan yang sebenarnya melibatkan soal dosa dan pahala.
Pihak MURSHID mencadangkan agar Ayat al-Quran yang terpilih digunakan sebagai bahan kempen keselamatan jalan raya. Umat Islam yang mempercayai keunggulan al-Quran sudah pasti akan lebih terkesan dengan mesej Allah kepada mereka di sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Ayat-ayat tersebut boleh ditulis dengan besar dan jelas, bersama-sama dengan terjemahannya untuk diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama seluruh Negara. Lebih-lebih lagi diletakkan pada tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi. Antara ayat al-Quran yang boleh dicadangkan adalah:
  • Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (Al-Baqarah[2:195])
  • Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali ‘Imran[3:185], al-Anbiya’[21:35] dan al-`Ankabut[27:57]).
  • Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (Al-Nisa’[4:78]).
  •  
  • Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’[4:29]).
  •  
  • Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’[17:33]).
  •  
  • Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah[2:153]).
  •  
  • Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu (Al-Ra’d[13:24]).
  •  
3) Pihak media (cetak atau eletronik) perlu memainkan peranan pro-aktif dalam menyiarkan kempen keselamatan jalan raya yang lebih Islamik seperti mengambil fatwa terpilih daripada badan fatwa dunia bagi lebih menyedarkan lagi para pengguna jalan raya.
 Sekian,
 Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
 28 Ramadan 1433 Hijri

 Ahli-ahli MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
 2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
 3. Dr. Zahazan Mohamed
 4. Dr. Maszlee Malek
 5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
 6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
 7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
 8. Dr. Mohd Sukki Othman
 9. Ustaz Roslan Mohamed
 10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
 11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
 12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
 13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
 14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
 15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
 16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
 17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
 18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
 19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
 20. Xifu Abd Naser Abd Rahman
                                                             

No comments:

Post a Comment