Sunday, August 26, 2012

TAK SALAH WANITA MEMINANG LELAKI


Alhamdulillah! Tengah hari semalam (26 Ogos 2012) saya dijemput untuk memberi tazkirah tentang SUNNAH NABI SAW DALAM PERTUNANGAN di rumah ayah angkat di Taman Tun Dr. Ismail. Hj Suhaimi Mokhtar (Ayah Wan) ingin mencipta kelainan & meraih keberkatan dengan pengisian ilmiah dalam majlis tersebut. Ringkasnya SUNNAH NABI SAW DALAM PERTUNANGAN boleh dibahagi kepada 2 fasa:

FASA 1- SEBELUM BERTUNANG;

1) Memilih calon beragama:


تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

 

Wanita dinikahi kerana 4 kriteria; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Akan tetapi utamakan kriteria agama, nescaya bergembiralah kamu (Sahih al-Bukhari & Muslim).

 

*Nabi Syu'aib AS meminang Nabi Musa kerana yakin dengan kesolehannya, firman Allah:

قالَ إِنّى أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَىَّ هٰتَينِ عَلىٰ أَن تَأجُرَنى ثَمٰنِىَ حِجَجٍ ۖ فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ ۖ وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ ۚ سَتَجِدُنى إِن شاءَ اللَّهُ مِنَ الصّٰلِحينَ

Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya (al-Qasas[28:27]).

* Hadirin tersenyum bila saya kata PIHAK PEREMPUAN pun boleh meminang lelaki! Khadijah pun meminang Rasulullah SAW.


2) Melihat wajah bakal tunang

انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

Lihatlah kepadanya (bakal isterimu), kerana itu lebih membantu untuk mengekalkan hubungan antara kamu berdua (Sunan al-Tirmdhi & Ibn Majah).


Nabi juga pernah berpesan kepada seorang sahabatnya yang hendak berkahwin tetapi tidak pernah melihat bakal isteri:

فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الْأَنْصَارِ شَيْئًا

 
Pergi dan lihatlah padanya (wajah bakal isterimu), kerana sesungguhnya pada MATA wanita orang Ansar ada sesuatu (kekurangan yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah lelaki) (Sahih  Muslim & Sunan al-Nasa’i).


3) Mengenal pasti status bakal tunang agar tidak meminang tunang orang. Sabda nabi:

لَا يَخْطُبُ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

 Janganlah seorang lelaki itu meminang atas pinangan saudaranya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

 
Ia juga sama agar tidak meminang wanita kematian suami yang masih berada dalam eddahnya KECUALI secara berkias. HARAM kalau meminang mereka secara terang:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُمْ بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنْتُمْ فِي أَنْفُسِكُمْ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لَا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلًا مَعْرُوفًا وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنْفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar (al-Baqarah[2:235]).

4) Sunnah membaca khutbah meminang pada hari meminang. Khutbah nikah jauh lebih dituntut berbanding khutbah peminangan. Ia juga menjadi amalan Salaf Soleh. Khutbah meminang perlu dimulakan dgn Pujian Allah, selawat & pesanan Taqwa (rujuk al-Fiqh al-Manhaji pd bab muqaddimah perkahwinan).

FASA 2 – SUNNAH SELEPAS BERTUNANG;

1) Menjaga batasan kerana hubungan tetap HARAM selagi belum dikahwinkan. Sabda nabi:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Jangan sekali-kali mana-mana lelaki berdua-duaan dengan mana-mana wanita kecuali (ketika) diiringan bersama wanita itu mahramnya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Batasan ini merangkumi semua hubungan yang DI LUAR KEPERLUAN seperti pergaulan BERLEBIHAN dalam FACEBOOK, SMS, tel & sebagainya. MANIS perkahwinan akan hilang bila ia sudah DIKECAPI ketika bertunang dgn PELANGGARAN BATASAN AGAMA.

2) menambah ilmu berkaitan tanggungjawab sebuah perkahwinan dan berumahtangga sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Banyak perceraian berlaku kerana kekurangan ilmu cara MENTADBIR URUS SEBUAH PERKAHWINAN.

 
PENUTUP;

Asas kesolehan dan kesejahteraan sesebuah perkahwinan bermula sejak pertunangan lagi. Pelanggaran batasan agama pada saat bertunang bakal menghilangkan berkat sesebuah perkahwinan. Perkahwinan pula seumpama pelayaran 2 pasangan dalam sebuah lautan yang memiliki seribu satu DUGAAN seperti gelora ombak, angin taufan. Perkahwinan juga menjanjikan seribu satu ni’mat seperti mana hasil laut yang mempunyai berbagai faedah seperti sumber protein yang segar dan mutiara yang mencantikkan sang kelasi. Oleh itu, amat penting sekali pasangan yang baru bertunang menambah ilmu berkaitan perkahwinan menurut kehendak Allah agar segala dugaan dan ni’mat sebuah perkahwinan dapat ditangani dengan baik.

 



 

 

 

 

No comments:

Post a Comment