Alhamdulillah tengahari ini, Jumaat 14/12/2012
berkesempatan mendengar khutbah Jumaat oleh Mufti Musa Menk dari Zimbabwe di
Masjid UIAM. Mufti menyentuh isu peperiksaan dan ujian. Pemilihan tajuk
sebegini dibuat kerana mood peperiksaan yang dialami oleh para pelajar UIAM. Antara
isi kandungan khutbah yang boleh dikongsi adalah:
KHUTBAH PERTAMA:
- Kita perlu bersyukur kepada Allah di atas
segala ni’mat yang diberi, antaranya adalah ni’mat untuk mencari kelemahan diri
dan seterusnya mencari cara untuk menghilang atau mengurangkan kelemahan
tersebut. Ia disebut sebagai MUHASABAH.
- Sebagai manusia kita tidak mungkin dapat hidup tanpa Allah. Oleh itu
senantiasalah berdamping dengan Allah sepanjang masa dan bukannya hanya pada
musim peperiksaan.
- Antara ni’mat Allah kepada kita adalah ni’mat membaca dan menulis sedangkan
kita dilahirkan secara jahil sebagaimana firman Allah:
وَاللَّهُ
أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ
لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Ertinya: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan
tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur (al-Nahl[16:78]).
- Antara kebaikan peperiksaan adalah kita tidak tahu apakah keputusan kita
selagi belum mendapat keputusan. Dengan rasa ketidaktahuan itu, kita terpaksa
bergantung kepada Allah dengan cara berdoa. Ini antara ni’mat yang jarang kita
sedari.
- Namun begitu, apa yang lebih penting adalah mendapat keputusan yang baik
lagi cemerlang sehingga ke alam barzakh dan akhirat.
- Dalam interaksi kita dengan Allah melalui doa, kita harus sedar bahawa doa
hanyalah berfungsi sebahagian sahaja daripada keseluruhan kehidupan kita,
manakala bahagian berikutnya tetap bergantung kepada usaha kita. Usaha ikhtiar
dan doa adalah 2 perkara yang amat disukai Allah. Ia selari dengan kehiduan
manusia di dunia yang memerlukan usaha ikhtiar atau dalam lafaz Arabnya (الأخذ بالأسباب) iaitu bertindak melalui sebab musabab. Nabi SAW
sendiri menekankan aspek ini dengan sabdanya:
الْمُؤْمِنُ
الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي
كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ
وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا
وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ
الشَّيْطَانِ
Ertinya: Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah,
daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu ada kebaikan
(bagi kedua mereka). Bersungguhlah pada apa yang bermanfaat bagimu, mintalah
tolong kepada Allah dan jangan berasa lemah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu
(keburukan) maka jangan dikata: Kalaulah aku melakukan itu dan ini, akan tetapi
katakanlah: Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya, kerana sesungguhnya
perkataan KALAU itu membuka kepada perbuatan (hasutan) syaitan (Sahih Muslim).
-Kita juga mesti tahu tujuan utama kita bukan semata-mata mahukan kejayaan
dalam ujian di dunia tetapi yang lebih utama kejayaan dalam ujian di akhirat
kelak. Tujuan hidup orang beriman di dunia ini memerlukan pembelajaran dan
usaha yang berterusan seumur hidup. Oleh itu, kita mesti tahu bahawa Allah
senantiasa memerhatikan kita setiap saat.
- Kebanggaan sebenar bagi seorang mu’min adalah kejayaan atau graduasi pada
hari akhirat dengan pemberian kitab amalan dengan tangan kanan sebagamana
firmanNya:
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ
اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ (19) إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ (20)
فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (21) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (22) قُطُوفُهَا
دَانِيَةٌ (23) كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ
الْخَالِيَةِ (24)
Ertinya: Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan
kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di
sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! "Sesungguhnya aku telah
mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari
yang ditentukan)!" Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang
senang lenang lagi memuaskan, - Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), - Buah-buahannya
dekat untuk dipetik. (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan
dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat
yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah
kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!" (al-Haqah[69:19-24]).
- Sebagai mu’min sejati kita mesti lebih mengutamakan tentang
graduasi akhirat berbanding graduasi dunia kerana keterlaluan mengejar kejayaan
dalam graduasi dunia mungkin menyebabkan kita terlupa graduasi akhirat.
- Untuk menjamin kejayaan graduasi akhirat kita mesti merebut segala peluang
yang ada di dunia. Sesetengah kita amat beruntung kerana mempunyai peluang
untuk belajar dan meni’mati kesenangan hidup berbanding saudara muslim kita di
negara lain yang secara berterusan ditindas dan tidak memiliki peuang untuk
belajar pun. Rebutlah peluang sebagaimana sabda nabi:
إغتنم خمسا قبل خمس : حياتك قبل موتك ، وفراغك قبل شغلك ،
وغناك قبل فقرك ، وشبابك قبل هرمك ، وصحتك قبل سقمك
Ertinya: Rebut 5 perkara sebelum 5 perkara: Hidup sebelum matimu, lapang
sebelum tiba matimu, kaya sebelum tiba miskinmu, muda sebelum tiba waktu tuamu
dan sihat sebelum tiba waktu sakitmu (Musannaf Ibn Abi Syaybah)
Kesimpulannya, kehidupan di dunia sebenarnya adalah universiti kehidupan
yang selalu menyebabkan kita berdepan dengan ujian.
- Kita mesti
memastikan hari ini lebih baik dari semalam. Jika ia tidak berlaku, bermakna
kita menjadi orang yang paling rugi. Usaha memastikan hari ini lebih baik dari
semalam bertepatan dengan firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا
اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap
diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan (al-Hasyr[59:18]).
KHUTBAH KEDUA:
- Sekiranya anda gagal dalam ujian atau peperiksaan di dunia, jangan jadikan
ia sebab untuk anda berasa tertekan kerana kegagalan sebenar adalah kegagalan
pada hari kiamat kelak. Orang yang gagal menerima kegagalan di dunia sebenar
orang yang tidak mempunyai iman yang cukup tentang penentuan taqdir Allah.
- Ketika berhadapan dengan ujian di dunia, kebiasaannya manusia akan banyak
bedampingan dengan Allah dengan ibadat sunat dan doa demi menjamin pengurniaan
kejayaan dari Allah. Perlu diingat bahawa hubungan kita dengan Allah tidak
sepatutnya bermusim kerana ia seumpama memperbudakkan Allah. Seolah-olah Allah
amat memerlukan doa dan ibadat kita. Maha suci Allah dari semua itu. Jangan
kita memperbudak-budakan Allah dengan ibadat bermusim sebagaimana kanak-kanak
diperbodohkan dengan gula-gula. Jangan juga hanya mengenal Allah apabila menghidap sakit kronik. Kita mesti senantiasa mengingati Allah sebagaimana sabda nabi SAW:
احْفَظْ اللَّهَ
يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ أَمَامَكَ تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ
يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ
وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ
Ertinya: Jagalah (hak) Allah, sudah pasti Dia akan menjagamu, jagalah (hak)
Allah, maka kamu akan mendapatinya (seakan-akan berada) di depanmu. Kenalilah
(ingat) Dia pada waktu senangmu sudah pasti Dia akan mengenalmu pada waktu susahmu.
Apabila kamu memohon sesuatu makan mohonlah kepada Allah dan apabila kamu mahu
meminta pertolongan maka mintalah pertolongan itu kepada Allah (Musnad Ahmad
dan Mustadrak al-Hakim).
Sekian, inilah antara sedikit sebanyak yang mampu saya kongsi. Semoga memberi manafaat kepada semua.
thank you ustaz
ReplyDeleteTerima kasih Ustaz atas perkongsian ilmu....Wasalam
ReplyDelete