Thursday, July 16, 2009

HILANGNYA SEBUTIR MUTIARA!

Semalam (15/7/2009)semasa mengajar di kelas jam 12 tengahari, saya mendapat sms dari Ustaz Mustafa (pensyarah KIRKHS) memberitahu bahawa seorang pelajar IRKHS, Siti Hajar bt Mohd Shafie telah meninggal dunia. Saya terkejut dan amat terharu dengan berita ini. Berikutan itu, sebelum zohor saya dan Ustaz Muhammad (pensyarah Tilawah UIAM) berangkat ke rumah arwah di Kg. Pandan untuk menziarahinya.

Apa yang istimewa sangat dengan arwah ni? Mungkin soalan ini akan diajukan kepada saya. Memang Siti Hajar seorang gadis yang istimewa, beliau adalah anak kepada tokoh al-Quran yang tersohor di Malaysia, Dr. Shafie Mohd Amin. Beliau merupakan Hafizah yang sudah menghafaz al-Quran dengan bimbingan ayahnya semenjak kecil lagi.


Dr Shafie

Saya mulai mengenali arwah semasa menjadi imam terawih jemputan di Masjid a-Taqwa Taman Tun pada tahun 1997-1998.Ketika itu, saya berduet mengimami solat terawih dengan ayahnya Ustaz Shafie. Ustaz Shafie biasanya akan datang awal dan membawa bersama-sama anak-anaknya termasuk Siti Hajar. Siti Hajar ketika itu masih kecil dan berusia 9 tahun, tapi sudah habis menghafaz al-Quran. Selepas maghrib, beliau akan membantu menyemak bacaan saya untuk diimamkan di dalam solat kelak. Boleh dikatakan al-Quran 30 juzuk di dalam minda arwah mengalir deras tanpa halangan kerana disiplin ayahnya yang senantiasa anak-anaknya menjaga kualiti hafazan mereka.

Setelah sekian lama terputus berita berkaitan dengannya, saya menemuinya kembali di UIAM. Beliau sekarang menjadi pelajar IRK. Namun begitu baru-baru ini beliau jatuh sakit, dan dikatakan terkena strok. Doktor yang merawat pula mengatakan sukar untuk mengenalpasti penyakitnya dan hanya memberikan tempoh jangka hayatnya selama 3 hari sahaja. Telahan itu meleset, beliau dapat bertahan kira-kira 3 bulan dan meninggal dunia semalam.

Siti Hajar adalah anak ketiga, daripada 13 adik beradik. Kesemua adik beradiknya menghafaz al-Quran. Ternyata Ustaz Shafie memang benar-benar berjaya mendidik anak-anaknya. Seingat saya anak-anak beliau tidak banyak kerenah, tidak lalai kerana sepanjang masa dengan al-Quran. Kakak Siti Hajar , Rabe'a tidak kurang hebatnya juga dari segi kemantapan hafazan. Mereka berdua mengambil subjek Tahfiz di UIAM dan kedua-duanya mendapat markah : 99-100.

Kehilangan arwah amat terasa untuk umat Islam kerana amat sukar untuk melahirkan seorang Hafizah yang sebegini berkualiti. Kedua-duanya tidak pernah bersekolah secara formal, tetapi berjaya juga ke Universiti hanya dengan belajar secara persendirian. Prinsip ayahnya mengatakan bahawa al-Quran adalah ibu segala ilmu. Dapat menguasai al-Quran, ilmu lain akan menjadi mudah dicapai. Benar sekali!

Akhir kata, posting kali ini saya dedikasikan khusus sebagai megingati arwah yang saya berani andaikan sebagai ahli syurga kerana sikap, pengorbanan dan pengabdian dirinya kepada al-Quran. Semalam semasa memeluk Ustaz Shafie saya menenangkan beliau dengan berkata. "Ustaz usah risau, Hajar ni anak soleh, Insya Allah tempatnya di syurga!"

Mata Ustaz Shafie kelihatan berkaca setelah mendengar kata-kata saya itu. Pengajaran akhir untuk kita semua, apakah persediaan kita semua untuk berpindah ke negeri barzakh? Memang mati hanyalah satu transisi peralihan alam sahaja. Namun begitu sudah menjadi fitrah manusia akan merasa sedih dengan sebarang kematian yang menimpa. Tambah menyedihkan lagi apabila yang mati diketahui tidak bersedia untuk menerima kematian. Apalah nasibnya di sana nanti. Adapun Siti Hajar, saya yakin akan kekenyangan dengan bekal al-Quran yang dipegangnya sepanjang 21 tahun hidupnya di dunia.

Ya Allah! tempatkanlah beliau di kalangan roh para syuhada' dan pejuang agamamu!