Thursday, April 15, 2010

RUMAH AKU KENA MASUK PENCURI, TAQDIR ALLAH DAN BERKAT DOA!


Hari ini (Khamis @15 Mac 2010) cukup meletihkan, meresahkan dan menggerunkan apabila mendengar cerita Mujtaba yang diacukan pisau oleh penceroboh rumah kami malam tadi (Khamis @ 15 Mac 2010 @ 2-3 pagi). Pagi-pagi lagi saya diganggu oleh isteri saya yang bertanyakan di manakah telefon bimbitnya. Setelah menelefon berkali-kali, masih tiada nada dering. Setelah bersiap untuk ke tempat kerja, saya dapati dompet saya di bawah pun kehilangan sesuatu iaitu sampul duit RM 150 yang diperolehi daripada salah satu kelas Tafsir saya. Yang peliknya dompet tidak terusik begitu juga baki duit-duit lain.

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja dan sekolah anak-anak, Khairi (jiran dari rumah no 37 Jalan SM 1/1) menghantar sms mengatakan rumah jiran sebelah kiri saya (Guna @ no 47) dipecah masuk pencuri malam tadi. Mujtaba tiba-tiba memberitahu bahawa malam semalam dia melihat dengan jelas seorang lelaki memakai topi putih berbaju hitam duduk mencangkung dalam biliknya menyelongkar laci almari Asma dan Adna. Mujtaba tersedar lalu bertanya…(siapa tu) Walid ke?...Lelaki itu menjawab..siapa tu? Suspek menggunakan telefon bimbitnya untuk menyuluh keadaan bilik dan sambil itu, dia mengacukan pisaunya kepada Mujtaba. Mujtaba sengaja memejamkan mata untuk berpura-pura tidur. Setelah gagal memperolehi apa-apa,suspek keluar dari drying area bilik Mujtaba, membuka Grill kemudiannya memanjat ke rumah Guna.

Saya yang mendengar cerita Mujtaba terkejut besar, rupanya, sampul duit dan telefon isteri saya itu memang angkara si penceroboh. Setelah menghantar anak-anak saya ke sekolah, segera balik ke rumah dan dibawa masuk ke rumah Guna untuk memerhatikan keadaan sekeliling. Ternyata si penceroboh/pencuri amat handal dan licik. Semua kunci rumah Guna dan saya dibuka tanpa bekas. Suspek disyaki masuk ikut pintu dapur rumah saya, kemudiannya mengambil duit dan HP isteri lalu menuju ke atas masuk ke bilik Mujtaba. Suspek mengunci pintu bilik Mujtaba dan menyelongkar laci almari. Ketika inilah Mujtaba tersedar kehadirannya.

Yang menariknya, saya tersedar jam 4:30 untuk membuka suis utama yang tertutup kerana litar pintas. Seperti biasa saya akan menjengah bilik anak-anak dan mendapati biliknya terkunci. Saya masuk melalui tandas dan mendapati semuanya baik. Mungkin saya sudah terlewat hampir sejam dua.

Malamnya selepas selesai kuliah maghrib di surau, saya bersama Guna bergegas ke Balai Polis Selayang untuk membuat laporan. Kami sekeluarga pergi kerana Mujtaba adalah saksi utama yang melihat suspek. Kami berada di Balai Polis sehingga jam 11:30 malam. Polis kemudian datang untuk membuat siasatan pada jam 1 pagi. Polis mendapati grill belakang rumah Guna ada ruang kosong yang cukup untuk memuatkan tubuh suspek. Guna kerugian hampir RM 20,000 termasuk duit tunai RM 1500 & barangan kemas ibunya.

ANALISIS PERISTIWA:



1- Setiap hari saya membaca ayat al-Kursi & wirid-wirid lain sebagai pendinding diri, rumah & anak isteri. Pendinding itu terdapat pada beberepa tempat iaitu:

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). Apabila sampai pada ayat di atas, saya akan fokus sambil berdoa-Engkau mampu menjaga seluas langit dan bumi, maka tolonglah senantiasa jaga diriku, isteriku, anak-anakku & harta bendaku.

Juga pada ayat ke 2 & 3 surah al-Falaq:
مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

Ertinya: (Aku mohon perlindunganMu) dari kejahatan semua makhluk (pencuri!!!), juga dari kejahatan malam bila ia semakin gelap (orang buat jahat seperti kisah di atas berlaku pada lewat malam).

Juga doa nabi :

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Ertinya: Dengan Nama Allah yang tidak akan memberi mudarat bersama namaNya sesuatu apa pun di langit dan di bumi , dan dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Sesiapa yang membaca doa ini apa-apa pun tidak akan dapat memberi mudarat padanya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidhi, IBn Majah dan Musnad Ahmad)

Seperti yang saya perhatikan, banyak perkara tidak logic berlaku pada malam itu..banyak barang-barang berharga yang saya letakkan di atas meja di ruang tamu bawah, antaranya- semua kunci rumah, kunci motosikal (bersama alarm), kunci kereta isteri (Viva), kunci Honda City, External Hard Disc 500 Gz, beg duit isteri, beg duit saya dan beberapa item berharga lagi. Namun yang peliknya hanya HP isteri saya yang murah serta sampul duit yang berada dalam dompet sahaja yang disambar.

Sebelah bilik tidur Mujtaba pula saya letakkan note book UIA yang bernilai hampir RM 6000 secara terbuka yang tidak langsung diusik. Saya yakin berkat doa-doa di atas telah menghalang selera dan idea si pencuri untuk mengambilnya.

Benarlah kata nabi :

لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَلَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ

Ertinya: Tidak akan tertolak Qada’ itu kecuali dengan doa dan tidak akan menambah pada umur kecuali kebaikan (Sunan al-Tirmidhi).

Saya percaya sekiranya saya langsung tidak mengamalkan doa-doa yang disarankan oleh nabi SAW itu, pastinya kerugian saya akan lebih besar. Bahkan mungkin boleh membawa kepada kecederaan anak-anak atau kehilangan nyawa.

2- Keyakinan Mujtaba dengan doa nabi. Saya memang selalu berpesan kepada anak-anak agar senantiasa membaca doa di atas
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Mujtaba menceritakan ketika dia mendapati lelaki itu cuba mengacukan pisau kepadanya, dia berpura-pura tidur dan membaca doa tersebut sebanyak mungkin dalam hatinya. Ajaibnya, pencuri beranggapan dia masih tidur dan tidak menyentuhnya walaupun dia sudah tersedar dan menegeur …siapa tu? Walid ke? Bayangkan kalau saya tidak berdoa untuk anak-anak? Dan dia sendiri pun tidak berdoa dengan doa itu, apa akan jadi pada dirinya, adik-adiknya ? yang berusia 8 tahun dan 6 tahun (kedua-duanya perempuan)


3-Persoalan taqdir.Kadangkala orang bertanya mengapa masih kena rompak dan curi sedangkan kita sudah berdoa? Jawapannya amat senang:usaha kita walau sehebat mana sekalipun, sama sekali tidak akan dapat menolak taqdir Allah yang sudah ditetapkan semenjak azali. Tambahan pula kita juga tidak mengetahui apakah taqdir kita, oleh itu langkah terbaik ialah dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan senantiasa berdoa kepada Allah kerana doa adalah senjata orang mu'min (Mustadrak al-Hakim).

Firman Allah:

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

al-Tawbah[9.51] Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

Juga firman Allah:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
al-Hadid[57.22] Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

4- Senantiasa berdoa ketika senang menjadi rahsia maqbulnya doa ketika susah seperti kisah nabi Yunus:

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ


al-Saffat[37.139] Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. [37.140] (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. [37.141] (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). [37.142] Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.
[37.143] Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), [37.144] Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

Para ulama' Tafsir mengatakan, antara rahsia penerimaan doa Yunus ketika kesusahan dalam perut ikan itu adalah kebiasaannya berdoa kepada Allah ketika senang.


KESIMPULANNYA..SAYA PERLU LEBIH BERINGAT DENGAN KESELAMATAN RUMAH, SELAMA INI KITA BERANGGAPAN KUNCI SELAPIS SUDAH CUKUP, TERBUKTI..IKHTIAR KITA MASIH RENDAH..KUATKAN LANGKAH KESELAMATAN DAN BERDOA KERANA ALLAH SAHAJA KUASA YANG MAMPU MENGHALANG SI JAHAT YANG CUBA MELAKUKAN BENCANA KEPADA HARTA KITA..PESANAN KEPADA SEMUA PENDUDUK SELAYANG MULIA..BERHATI-HATI SELALU DENGAN KESELAMATAN RUMAH ANDA KERANA MENGIKUT INSP REEZAL (PEGAWAI PENYIASAT BALAI POLIS SELAYANG YANG MELAKUKAN SIASATAN SEMALAM)..SELAYANG MULIA KAWASAN PANAS...DIHARAP PERSATUAN BERBUAT SESUATU!

Sunday, April 11, 2010

ADAKAH MENGUTIP CUKAI HARAAAMMMM?

Setakat kajian, ilmu dan pemerhatian saya yang sikit dan terbatas ini..inilah hasilnya...

Menjelang April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia akan sesak dengan para pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab murni mereka terhadap Negara. Mengikut akta cukai pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan bercukai mereka. Pendapatan yang mereka perolehi sama ada melalui sector awam atau swasta adalah hasil daripada naungan Negara yang makmur. Tanpa kemakmuran Malaysia, mustahil mereka boleh mencapai pendapatan yang berguna untuk kehidupan mereka. Ringkasnya hubungan antara pembayar cukai dengan kemakmuran Negara umpama simpulan rantai yang saling bertimbal balik dan tidak mungkin dipisahkan. Andai keduanya dipisahkan, sengsaralah rakyat dan pincanglah kemakmuran Negara.

Namun begitu, ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat. Mereka juga berhujah dengan sebuah hadith nabi SAW:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Hadith tersebut seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN yang mengutip cukai bagi pihak kerajaan menjadi haram dan zalim. Ia juga membayangkan bahawa semua kakitangan LHDN turut sama bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga. Sebenarnya hadith di atas perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan yang bakal timbul.

Pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan social dalam masyarakat. Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi di antara orang miskin dan orang kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada 8 kumpulan (asnaf) sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Tawbah[6:60]). Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara yang lain seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.

Berbeza perihalnya dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus Negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti Jizyah: cukai kepala kepada golongan bukan Islam (al-Tawbah[9:29]), Ghanimah: harta rampasan perang (al-Anfal[8:1]), Khumus: 1/5 daripada keseluruhan ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul (al-Anfal[8:41]) dan Fi’ : harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran (al-Hasyr[59:6-7]). Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada Khumus kepada pengurusan Negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya Futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.

Sayyidina ‘Umar al-Khattab RA semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10% yang dipanggil ‘Usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari Negara musuh), 5 % kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah Negara Islam) dan 2.5% kepada peniaga muslim (Muwatta’ Malik & Sunan al-Bayhaqi). Pengurangan cukai diberikan kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.

Mekanisme cukai yang dibuat oleh ‘Umar ini tidak lain adalah untuk menampung perbelanjaan Negara Islam yang semakin mendesak. Berpegang kepada zahir hadith yang menyatakan “pengutip cukai tidak akan masuk syurga” tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan sayyidina ‘Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga. Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadith yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang sudah dijamin syurga (Musnad Ahmad). Juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafa’ al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidhi, Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Menurut Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadith yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif iaitu (Sahib Muks). Ringkasnya, perkataan Muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan kuncu-kuncunya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana yang sepatutnya. Akibat daripada cukai sebegini jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai sebegini.

Menurut majoriti ulama’, pengenaan cukai oleh pemerintah sebenarnya berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai Masalih al-Mursalah iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-Sunnah. Dengan kata lainnya, pengenaan cukai oleh pemerintah menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga mereka (lihat Fatawa al-Azhar di bawah tajuk - الزكاة والضرائب).

Islam menegaskan bahawa para pemerintah wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Sabda nabi SAW: Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mendengar dan mematuhi arahan pemimpin sama ada yang disukai atau dibenci (akan arahan itu) selagimana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat, apabila mereka menyuruh melakukan maksiat, maka tiada boleh lagi mendengar dan taat (Sahih al-Bukhari & Muslim). Kepatuhan kepada pemimpin dijelaskan lagi oleh al-Quran : Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (al-Nisa’[4.59]).

Contoh terbaik bagi menimbulkan semangat patriotism kepada Negara dalam konteks membayar cukai, ialah kisah peperangan Tabuk yang berlaku pada musim panas tahun ke 9Hijrah. Demi untuk menjaga kedaulatan Negara Islam Madinah, baginda Rasulullah SAW telah mengerah penduduk Islam Madinah ke sempadan Syam (Tabuk) bagi menyekat kemaraan tentera Rom yang berhasrat untuk menakluk bumi Madinah. Misi perang Tabuk bukan hanya melibatkan pengorbanan jiwa raga, bahkan lebih utama lagi melibatkan pengorbanan harta.

Surah al-Tawbah (surah ke 9) yang merekodkan peristiwa perang ini mengarahkan umat Islam Madinah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa raga mereka. Cara al-Quran yang mendahulukan sebutan jihad dengan harta sebelum jihad dengan jiwa jelas membuktikan keutamaan sumbangan harta kepada Negara mengatasi perkara lain (al-Tawbah[9:44,81 & 88]). Teori ini disokong lagi oleh ayat-ayat lain dalam al-Quran yang juga mendahulukan jihad harta sebelum jihad jiwa al-Nisa’[4:95], al-Anfal[8:72], al-Tawbah[9:20], al-Hujurat[49:15]).

Allah juga mencela sikap kedekut sesetengah orang Islam yang enggan membelanjakan hartanya untuk mengisi dana perang. Firman Allah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya
(al-Baqarah92:195]).

Pembayaran cukai kepada Negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta kerana keselamatan Negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah Negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.

Setiap sen yang disumbangkan kepada Negara dalam bentuk cukai seumpama sedekah jariah kepada negara yang telah berjasa sekian lama memayung kita. Apabila membayar cukai, kita mesti menanamkan rasa bangga dengan kemajuan Negara seperti bangganya seorang ayah atas kejayaan anaknya. Si ayah tanpa segan silu akan berkata: Itulah anak saya. Kejayaannya itu adalah hasil titik peluh saya yang mendidiknya semenjak kecil. Dalam konteks Negara, dialog itu dibayangkan berbunyi : Inilah Malaysia yang makmur hasil daripada sedekah jariah saya dalam bentuk cukai kepadanya. Saya mempunyai saham dalam setiap inci kemajuan yang dimiliki oleh bumi Malaysia.

*** DULU SEBELUM BACA SENDIRI MENGENAI CUKAI, BAYAR DENGAN RASA TERPAKSA..TAPI SEKARANG..ADALAH SEDIKIT KESEDARAN..TAPI SAYA TETAP LEBIHKAN BAYAR ZAKAT..ITU MENJADI CABARAN KEPADA LEMBAGA HASIL UNTUK ISLAMKAN SISTEM CUKAI..TAPI BAGAIMANA?